31 January 2009

Drs. Khalil : Industri gaharu digalakkan.

IPOH, 29 Jan :- Kerajaan Negeri Perak amat menghargai usaha memperkenal dan memajukan penanaman pokok gaharu dan berharap dapat diperluaskan ke seluruh negeri perak. Kita tidak akan teragak-agak untuk menyokong apa saja usaha untuk memajukan industri ini. Demikian antara ucapan Pengerusi kelab Penyokong Kerajaan yang mewakili YAB Menteri Besar Perak, Drs. Khalil Idham Lim semasa merasmikan Kursus Pengenalan Penanaman Pokok Gaharu di Perak yang diadakan sebuah hotel di sini.

Khalil Juga menegaskan Kerajaan Negeri perak akan memberi sokongan dan kerjasama kepada yang berminat mengusahakan industri gaharu seperti penyediaan tapak asalkan memenuhi syarat yang diperlukan.

Kursus Sehari itu dianjurkan oleh NL Zian Enterprise & Groups adalah yang julung-julung kali diadakan di Negeri Perak itu telah berjaya mengumpul 80 orang peserta yang datang dari seluruh negeri Perak.

Hadir sama dalam program tersebut ialah Pengurus Besar Perbadanan Pertanian Negeri Perak, Hj. Mohd Hatta Yazid , Pegawai Khas Exco Pertanian, Syahrul Redzuan Hj. Idris, Penyelaras NL Zian enterprise & Groups, Norliza bt. Ahmad Darabi, dan Pegawai Kredit Agro Bank Ipoh.

Dipentas bersama dengan Pengurus Besar Perbadanan Pertanian, Hj. Mohd Hatta.

Drs. Khalil juga menyatakan keyakinannya kursus yang diadakan dapat membantu Kerajaan Perak dalam membangunkan usahawan anak Perak dalam industri berkenaan.

"Pengangguran yang meningkat akibat penutupan kilang menyebabkan kita perlu memikirkan kaedah terbaik untuk mengatasinya. Dalam keadaan ekonomi tidak menentu pertanian diharapkan menjadi alternatif yang terbaik untuk menampung sektor pekerjaan" Jelas Khalil.

Khalil juga menjelaskan Industri gaharu mempunyai permintaan yang amat tinggi namun penawaran gaharu tidak mencukupi. Keadaan ini menyebabkan harganya mencecah hingga RM 45 ribu sekilogram di Asia Bara.

Negara-negara di Asia Tenggara seperti Indonesia, Thailand dan Combodia hanya mampu membekalkan 20 % daripada pasaran dunia setakat ini.

Kebiasaannya pokok gaharu mengambil masa 20 hingga 45 tahun untuk membuahkan hasil, namun dengan teknologi terkini ianya dapat ditanam semula dan memberikan hasil selepas 5 hingga 6 tahun sahaja.

Khalil juga mendedahkan hasil kaji selidik tanah di Malaysia amat sesuai untuk menanam gaharu dengan teknologi dan kaedah penanaman yang betul dan sistematik.

Menerima cenderamata dari Penyelaras NL Zian, Norliza Ahmad Darabi.

Semasa memberi ucapan alu-aluan Penyelaras NL Zian enterprise, Norliza Ahmad Darabi mengucap terima kasih dan menghargai keprihatinan pihak YAB Menteri Besar dengan menghantar wakil untuk merasmikan kursus sehari itu.

Beliau juga memohon pihak kerajaan agar memerhatikan apa yang dilakukan oleh NL Zian Enterprise."

Peserta kursus.

Mahfudz dan Idham Lim di Batu Gajah.


Satu ceramah Umum anjuran PAS Kawasan batu gajah akan diadakan di Pejabat PAS Batu Gajah (dekat Pasaraya MINAT) pada 1 Februari ini pada jam 9.30 malam.

Penceramah jemputan pada malam tersebut terdiri daripada YB Tn Hj Dato Mahfuz Omar (Ahli Parlimen Pokok Sena) dan YB Khalil Idham Lim ( Timbalan Exco Agama, Negeri Perak). Orang ramai dijemput hadir untuk mendengar ulasan isu semasa khususnya tentang perkembangan politik di negeri Perak ini. .

Untuk Gerai Jualan Sila Hubungi:
Hj Ismail Arifin : 012 – 5062173 / Sdr Khairudin 017 – 4687704 .
Sumber : http://alhusseyn51.blogspot.com/

Teka-teki lompat parti di Negeri Sembilan.

Jika benar akan berlaku usaha melompat parti dalam masa terdekat di Negeri Sembilan, hanya tiga wakil rakyat Umno yang berpotensi menyertai Pakatan Rakyat, dakwa ketua bahagian Seremban.

Datuk Ishak Ismail berkata calon-calon itu kemungkinannya Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Serting, Shamsul Kahar Md Deli, Datuk Aziz Shamsuddin (Palong) dan Mustafa Salim (Lenggeng).

Dua daripada mereka, Aziz dan Mustafa, bagaimanapun menafikan mereka akan menyertai pembangkang.

Dihubungi hari ini, Ishak berkata desas-desus itu disampaikan orang kepadanya.

"Tetapi daripada bacaan saya, Aziz yang paling berpotensi akan menyertai PKR," katanya.

Aziz, ketika dihubungi petang ini berkata, beliau tidak ingin campur urusan PKR.

"Soal PKR ini saya cukup menyampah, saya tidak mahu," katanya.

Mustafa pula berkata, "walau apa terjadi" beliau tidak akan meninggalkan Umno.

"Saya menolak sekeras-kerasnya spekulasi saya akan menyertai PKR," katanya kepada Malaysiakini.

Manakala Shamsul Kahar yang juga exco pelajaran dan pendidikan tinggi kerajaan negeri tidak dapat dihubungi untuk mengesahkan spekulasi tersebut.

Ketua Wanita Umno bahagian Jempol, Noraini Idris berkata, orang mengaitkan nama Shamsul Kahar dan Aziz kerana kedua-dua mereka kalah dalam pertandingan bahagian baru-baru ini.

"Orang sengaja nak buruk-burukkan nama mereka. Saya tidak dengar khabar mereka nak masuk parti lain," katanya.

Ishak juga berkata, ketiga-tiga mereka dianggap mempunyai masalah kerana tewas dalam pertandingan peringkat bahagian masing-masing.

Aziz kalah di Jempol kepada penyandang jawatan ketua bahagian Datuk Lilah Yassin.

Shamsul Kahar pula tewas jawatan timbalan ketua bahagian itu kepada Mohd Salim Shariff, manakala Mustaffa sedang menghadapi tindakan undang-undang.

Ketika dihubungi, ketua Puteri Umno Seremban, Wan Salawati Abdullah berkata, beliau mendengar berita PKR memujuk bekas ketua-ketua cawangan Umno untuk memujuk wakil rakyat mereka supaya menyertai parti pembangkang tersebut..

"Ini berlaku di kawasan Seremban dan luar Seremban tetapi saya tidak tahu sama ada benar atau tidak.

"Saya baru dengar dari kawan-kawan di sini," katanya.

Bekas setiausaha Umno bahagian Seremban, Datuk Md Yusop Hermain Shah pula berkata, cakap Ishak tidak boleh dipercayai dengan mendakwa pemimpin itu "mahu memecahbelahkan Umno negeri".

Difahamkan ketua pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim akan menghadiri satu program PKR di Tampin, bulan depan.

Seorang pemimpin PKR negeri Badrul Hisham Shahrin berkata, Anwar akan mengumumkan tiga atau empat wakil rakyat Umno yang akan menyertai parti itu "dalam masa terdekat".

Beliau bagaimanapun tidak menamakan wakil-wakil rakyat terbabit.

Sebuah akhbar berbahasa Cina hari ini melaporkan beberapa Adun BN akan meninggalkan parti itu dan menyertai Pakatan - keputusan yang boleh menggugat kestabilan kerajaan BN itu.

Pada pilihanraya umum lalu, BN negeri memperoleh majoriti mudah dengan meraih 21 kerusi Dewan Undangan Negeri, manakala 15 lagi kerusi dimenangi pembangkang yang terdiri daripada DAP, PKR dan PAS (lihat jadual).

Desas-desus isu lompat parti - antara kedua-dua hala BN dan Pakatan Rakyat - muncul kembali susulan penyertaan Adun Bota, Perak Datuk Nasharuddin Hashim bersama PKR hujung minggu lalu.

Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Mohamad Hasan menafikan desas-desus beberapa Adunnya akan menyertai pembangkang. Malaysiakini.

MB Nafi nada ADUN Negeri Sembilan lompat parti

SEREMBAN , 30 Jan. :- Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan menafikan khabar angin kononnya ada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dari Barisan Nasional Negeri Sembilan akan menyertai pembangkang.

“Kalau ada dakwaan, suruh dia bagi nama. Yang DAP Perak risau sangat pasal apa, jagalah negeri Perak itu,” katanya kepada pemberita ketika ditanya mengenai dakwaan DAP Perak yang tersiar dalam akhbar berbahasa Cina kononnya ada ADUN dari Negeri Sembilan akan melompat parti.


MB Perak nafi dua Exco PKR sertai BN.

IPOH, 30 Jan. :- Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ir. Mohammad Nizar Jamaluddin hari ini membuat penafian mengenai laporan yang mendakwa anggota exco kerajaan negeri dari Parti PKR , Jamaluddin Mohd Radzi dan Kapt (B) Mohd Osman Mohd Jailu, akan menyertai Barisan Nasional.

“Spekulasi mengenai Jamaluddin dan Mohd Osman itu adalah tidak benar. Saya berusaha untuk berhubung dengan mereka,” katanya kepada pemberita bagi mengulas laporan sebuah akhbar berbahasa Inggeris semalam bahawa terdapat dua wakil rakyat daripada PKR akan keluar parti dan menjadi wakil bebas sebelum menyertai UMNO.

UMNO kini sebuah parti yang hampir mati .

KOTA BAHARU, 30 Jan. :- Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menyifatkan perkembangan dalam UMNO sekarang menunjukkan parti itu hilang daya tarikan sehingga ada pemimpinnya yang berpaling tadah.

Katanya kalau diibaratkan sebatang pokok, UMNO kini sebuah parti yang hampir mati dan akan gugur sendiri dahannya satu persatu sebelum menjadi pokok mati.

“UMNO kini tiada daya tarikan atau `graviti’ untuk menarik rakyat menyokong perjuangannya dan ini menyebabkan ramai ahli dan pemimpinnya mula berpaling tadah menyertai parti pembangkang, terutama Pas,” katanya ketika ditemui pada majlis rumah terbuka Anggota Exco Kerajaan Negeri Datuk Anuar Tan di sini hari ini.

Persoalan UMNO telah hilang daya tarikan diperkatakan oleh kebanyakan pemimpin UMNO sejak akhir-akhir ini.

Jadi atau tidak jadi ?

Keputusan mengenai cadangan AirAsia Bhd untuk membina sebuah lapangan terbang berharga RM1.6 bilion di Labu, Negeri Sembilan akan diketahui dalam dua hingga tiga minggu lagi, kata Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Ong Tee Keat.

"Sebenarnya (kerajaan) belum buat keputusan lagi. Apa yang penting segala maklumat dan butir-butir yang berbangkit akan diperhalusi secara terperinci," katanya selepas menghadiri majlis makan malam sempena Tahun Baru Cina yang dianjurkan MCA di sini, malam tadi. .

Ong berkata kerajaan memerlukan masa membuat sebarang keputusan kerana ia membabitkan banyak pihak.

Kelmarin media menyiarkan kerajaan telah menolak projek lapangan terbang tersebut. Kenyataan Menteri Pengangkutan saya anggap boleh mengelirukan pihak yang berkepentingan dan rakyat yang mengikuti perkembangan isu tersebut.

Usaha pancing dua ADUN PKR.

IPOH ,30 Jan:- DS Anwar Ibrahim hari ini mengadakan mesyuarat tertutup dengan barisan pimpinan kerajaan negeri dan parti gabungan Pakatan Rakyat di kediaman rasmi Menteri Besar di sini.

Mesyuarat itu dikatakan berkait rapat dengan perkembangan terbaru dalam senario politik negeri Perak, terutama dengan kemasukan Adun Bota Dato Nasarudin Hashim ke dalam Pakatan Rakyat dan desas-desus kononnya dua adun PKR yang akan menyeberang ke BN.

Pada malam ini DSAI akan berucap di stadium mini Bota bersama-sama Nasaruddin.

Tindakan BN bersungguh-sungguh memancing dua Adun PKR itu dikatakan sebagai tindak balas terhadap penyertaan Nasarudin ke dalam PKR. Tindakan Nasarudin itu amat memalukan UMNO dan menjejaskan seluruh reputasi parti itu. Selaras dengan itu UMNO berusaha keras untuk memancing dengan umpan lebih baik agar dua Adun itu melompat parti. http://anuarhashim.com/

Harga tiket bola stadium Ipoh dikurangkan.

IPOH: Persatuan Bola Sepak Perak (PAFA) menurunkan harga tiket bagi perlawanan bola sepak liga super di Stadium Ipoh, mulai Februari sebanyak 20 peratus daripada harga semasa.

Dato Seri Ir Haji Mohamad Nizar Jamaludin berkata, harga-harga tiket dikurangkan sebagai usaha mendorong lebih ramai peminat menyaksikan dan menyokong pasukan Liga Super Perak.

Tanpa penyokong, semangat sesebuah pasukan itu akan menjadi pudar, katanya berucap pada majlis makan malam bersama para pemain Liga Super dan Piala Presiden di kediaman rasmi beliau.

Harga tiket bagi tempat duduk terbuka dikurangkan daripada RM10 ke RM8 sahaja, manakala bagi kelab peminat ditawarkan pada harga RM6 daripada RM8. Bagi tempat duduk grand stand atau berbumbung pula dikurangkan daripada RM20 ke RM15 sahaja.
http://anuarhashim.com/

Majlis Rumah Terbuka Hari Raya Cina ADUN Titi Serong.

Tarikh/Hari :
1 Februari 2009 /AHAD

Masa :
2.00 hingga 4.00 Petang

Tempat :
Kediaman ADUN Titi Serong,
No. 15 Jalan Wawasan 8,
Taman Wawasan Jaya,
34200 Parit Buntar. PERAK
.
SEMUA DI JEMPUT HADIR.


Masih ada lagi yang akan berpaling tadah ?

Berita angin yang masih hangat diperkatakan oleh semua pihak mengenai masih ada ADUN BN yang akan berpaling tadah ke Pakatan Rakyat cuba di jawab oleh UMNO Perak kelmarin.

Kenyataan itu mendakwa tidak ada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dari Barisan Nasional (BN) berhasrat meninggalkan parti untuk menyertai Parti Pakatan Rakyat (PKR).

Kenyataan itu juga menafikan khabar angin yang mengatakan ada tiga lagi wakil rakyat BN akan mengikut jejak langkah ADUN Bota, Datuk Nasarudin Hashim menyertai PKR adalah tidak benar sama sekali.

Kita tunggu manakah yang benar ?

Sah Tajol letak jawatan, diganti oleh Najib.

Spekulasi mengenai jawatan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Perak berakhir apabila Majlis Tertinggi (MT) UMNO malam tadi menerima peletakan jawatan Datuk Seri Tajol Rosli Ghazali berkuat kuasa serta merta berdasarkan kehendak Tajol Rosli sendiri yang merasakan perlu ada pemimpin lain yang mengetuai UMNO Perak.

Presiden UMNO, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata, tempat Tajol Rosli digantikan oleh Timbalan Presiden parti, Datuk Seri Najib Tun Razak hanya akan menyandang jawatan tersebut sehingga berakhirnya Perhimpunan Agung UMNO Mac ini.''Sementara yang akan jadi Timbalan Pengerusi ialah Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.

sebelum ini berlaku kekeliruan dan tanda tanya apa bila dalam dua hari berturut-turut Tajol mengeluarkan kenyataan berbeza mengenai jawatan yang dipegangnya.

Tajol Rosli ketika ditemui selepas mesyuarat itu berkata, beliau meletakkan jawatan kerana merasakan tidak cukup kuat untuk mengetuai jentera kempen bagi menawan semula negeri itu.

Katanya, keputusan itu yang dibuat tanpa paksaan sesiapa itu adalah bagi memastikan kekuatan UMNO di negeri itu kembali kukuh.

''Pada Isnin lalu saya telah memaklumkan hasrat meletakkan jawatan kepada Datuk Seri Najib Tun Razak dan malam ini saya juga memaklumkan kepada mesyuarat MT bahawa saya tidak terpikul untuk memenangkan semula Perak dan alasan ini diterima dengan baik oleh MT.

''Saya merasakan kepimpinan baru yang dilantik untuk memimpin Perak adalah yang terbaik dan sekiranya mereka tidak boleh, tidak ada siapa lagi yang boleh melakukannya," katanya.

Terdahulu ketika bercakap kepada pemberita di Kampar, Perak, Tajol Rosli berkata, beliau akan meletakkan jawatan Ketua UMNO Bahagian Perak pada 29 Mac dan memutuskan tidak bertanding mempertahankan jawatan MT.

''Pada akhir Mac ini, saya bukan lagi ahli MT dan pada 29 Mac pula saya akan letak jawatan Ketua UMNO Bahagian Gerik dan bila habis MT gugurlah semua jawatan yang dilantik,'' jelasnya