14 January 2009

MP Batu Pahat cadang Petronas bayar zakat.

KUALA LUMPUR, 12 Jan :- Kongres Ekonomi Islam Ketiga telah dirasmikan oleh YAB Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Naji Tun Razak yang dihadiri oleh sekitar 500 orang tetamu termasuk peserta Kongres.

Ahli Parlimen Batu Pahat, Dr. Puad Zakarshi sempat mencuri perhatian peserta Kongres dengan soalan kepada pembentang kertas kerja dengan soalan mengenai dimanakah syarikat GLC menabung wangnya dan cadangan supaya Petronas membayar Zakat.

Menjawab soalan tersebut, Timbalan Gabenor Bank Negara Malaysia, Dato' Muhammad Ibrahim mengatakan menjadi dasar pihak bank tidak dapat mendedahkan mengenai kedudukan akaun penabung.

Saranan supaya Petronas membayar zakat tidak mendapat respon dari pembentang kertas kerja.

PAS desak Malaysia usir Duta Amerika

KUALA LUMPUR, 12 Jan - PAS mendesak kerajaan Malaysia segera mengusir keluar Duta Amerika dari negara ini kerana negara tersebut bersekongkol dengan Israel menyerang Gaza.

Menurut Ketua Penerangan PAS Pusat, Mahfuz Omar kerajaan Malaysia perlu mengambil langkah sedemikian sebagai tanda komitmen mereka dalam isu keganasan rejim Zionis terhadap penduduk Gaza.

"Jika kerajaan Malaysia serius membantah tindakan Israel dan apa yang dipersetujui Amerika, tindakan mengusir Duta Amerika perlu segera dilakukan.

"Jika enggan berbuat demikian bermakna mereka (kerajaan Malaysia) merestui apa yang diputuskan oleh Amerika iaitu membenarkan Israel terus menyerang Gaza," tegas beliau.

Jelas Mahfuz, tindakan sedemikian perlu dilakukan selain dari tindakan memboikot barangan dari Amerika.

Selain dari mengusir Duta Amerika, PAS juga kata Mahfuz mendesak agar kerajaan Malaysia memanggil Duta Mesir dan mendesak Mesir agar membuka sempadan di Rafah agar bantuan dapat disalurkan kepada Palestin.

"Jika Mesir enggan berbuat demikian, Malaysia boleh mendesak negara-negara OIC supaya memboikot Mesir," jelas Mahfuz.

Mahfuz tidak dapat hadir ke Mesyuarat Khas Dewan Rakyat membincangkan isu di Palestin hari ini menjalni pembedahan kecil Sabtu lalu dan masih berada di wad Hospital Besar Alor Star.Harakahdaily.

PAS, BN rayu pengundi luar balik

Selepas mulai yakin undi Cina akan memihak kepadanya, PAS kini bergelut untuk meraih pengundi Melayu bagi memastikan kemenangan calonnya pada pilihanraya kecil Kuala Terengganu.

Parti itu mengharapkan para penyokongnya di luar Terengganu pulang untuk memastikan kemenangan calonnya Mohd Abdul Wahid Endut pada Sabtu ini.

PAS berdepan dengan calon BN Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh dan calon bebas Azharudin Mamat @ Adam.

Sumber-sumber parti Islam memberitahu, ia telah mengenal pasti pengundi kawasan parlimen tersebut dan telah menghubungi sebahagian mereka di Selangor dan Kuala Lumpur.

Sekurang-kurangnya tujuh buah bas disediakan untuk membawa mereka pulang dari Lembah Kelang..

Malaysiakini juga menerima salinan mesej SMS semalam daripada PAS yang mengingatkan pengundi luar di Kuala Lumpur agar pulang menunaikan tanggungjawab memangkah bulan purnama.

Sumber-sumber itu bagaimanapun enggan mendedahkan jumlah sebenar pengundi luar yang PAS telah kenal pasti.

Difahamkan kira-kira 10 peratus daripada 80,229 pengundi kawasan parlimen ini berada di luar Kuala Terengganu - 5,000 daripada jumlah ini berada di daerah-daerah lain di seluruh negeri itu.

Mengulas penubuhan jawatankuasa pengundi luar Umno bahagian, Wan Ahmad Farid semalam menyatakan ia mengenal pasti kira-kira 6,000 orang yang telah diingatkan untuk kembali.

Menurutnya, BN mengenal pasti tempat kerja, tempat belajar dan nombor telefon pengundi-pengundi luar berkenaan.

Walaupun Wan Ahmad Farid menafikan pihaknya membayar wang perjalanan pengundi luar ini, difahamkan PAS dan BN menyediakan sejumlah peruntukan besar wang untuk memancing pengundi luar pulang menyokong parti masing-masing.