08 January 2009

Amah dakwa didera majikan dan budak disyaki mati kena dera

KUALA LUMPUR: Seorang pembantu rumah warga tempatan mendakwa dirogol, didera dengan kejam termasuk ditendang dan ditumbuk serta diugut bunuh oleh majikannya di rumah mereka di Villa Lagenda, Batu Caves.

Mangsa berusia 18 tahun dari Sabah dan bekerja dengan majikannya sejak Oktober tahun lalu mendakwa dirogol enam kali oleh majikan.

Deritanya semakin bertambah apabila isteri majikan itu yang mengetahui perbuatan suaminya turut menderanya secara kejam menggunakan kayu, rotan, penyidai baju serta menumbuk dan menendang mangsa hingga menyebabkannya mengalami kecederaan seluruh badan.

Mangsa juga mendakwa majikannya mengugut akan membunuhnya jika melaporkan perbuatan mereka kepada polis.

Akibat tidak tahan menanggung seksaan dan risaukan keselamatan dirinya selepas diugut bunuh, mangsa bertindak melarikan diri dari rumah majikannya serta membuat laporan polis sebelum dihantar ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk pemeriksaan.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Senior Asisten Komisioner II Ku Chin Wah, berkata pengadu mendakwa didera isteri majikannya menggunakan pelbagai peralatan selepas mengetahui perbuatan suaminya merogol mangsa.

“Mangsa membuat laporan polis di Balai Polis Selayang petang tadi (semalam) dan mangsa kini berada di HKL untuk pemeriksaan lanjut dan siasatan akan dilakukan,” katanya.

Dalam satu kejadian yang lain seorang kanak-kanak lelaki berusia empat tahun meninggal dunia, dipercayai didera teman lelaki ibunya di Jalan Kok Doh, Taman Sejahtera, di sini, semalam.

N Easwaran, tinggal bersama ibunya selepas ibu bapanya bercerai, manakala teman lelaki ibunya dikatakan sering berkunjung ke rumah mangsa sejak tiga bulan lalu.

Difahamkan lelaki itu sudah berkahwin dan mempunyai dua anak.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Zakaria Pagan, berkata mangsa disahkan meninggal dunia ketika cuba diberi bantuan kecemasan oleh doktor bertugas di Hospital Selayang, jam 6.20 pagi.

Katanya, mangsa dipercayai didera berikutan penemuan kesan lebam pada hampir keseluruhan badannya.

“Berdasarkan siasatan awal, ibu mangsa berusia 28 tahun meminta bantuan jiran untuk menghantar anaknya ke Hospital Selayang berikutan keadaan mangsa yang demam panas dan sakit teruk.

“Setibanya di hospital, jiran mangsa dimaklumkan kematian dan membuat laporan polis bersama doktor empat jam kemudian,” katanya ketika dihubungi semalam.

Zakaria berkata, pihaknya yang menerima laporan menahan ibu mangsa tetapi teman lelakinya, berusia 30-an dipercayai menghilangkan diri.

“Ibu mangsa yang bekerja sebagai jurujual kini ditahan untuk membantu siasatan,” katanya. BH.

Kejam! Kejam! Kejam!



Penduduk Palestin berada di ambang maut apabila bantuan ubat-ubatan, air bersih dan makanan tidak dapat disalurkan akibat sekatan Israel.

Jawatankuasa Palang Merah Antarabangsa (ICRC) sifatkan keadaan di Gaza sangat-sangat berbahaya dan meruncing.

Semua hospital di Gaza kehabisan bekalan darah dan ubat-ubatan terutama vaksin tetanus untuk kanak-kanak.

Rejim Zionis tidak akan mengadakan gencatan senjata selagi Hamas tidak ‘berundur’ dan berhenti melepaskan tembakan roket ke wilayah Israel.-lagi berita

Awasi provokasi 'musuh' - Presiden PAS

KUALA TERENGGANU, 7 Jan-PAS mengingatkan para petugasnya agar tidak mudah terperangkap dengan sebarang usaha provokasi 'musuh' yang boleh merugikan parti.Sebaiknya, sebarang isu terutama berkaitan pengundi hantu diserahkan kepada pemimpin yang tentukan dan usah bertindak sendirian.

Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata demikian pada Majlis Ceramah Pemimpin Pakatan Rakyat di Kampung Tanjung Kapur, Kuala Terengganu, semalam.

Katanya, rakyat di daerah Kuala Terengganu yang terlibat dengan pilihan raya kecil ini sedia membuat perubahan ke arah pembentukan kerajaan yang lebih adil.

"Saya bimbang jika ada provokasi oleh pihak tertentu. Isu 'pengundi hantu' biar pemimpin yang tentukan dan usah kita (rakyat) kejar (bertindak) tahan bas tanpa arahan. Bas pelajar pun kejar juga, biar pemimpin yang tentukan itu,"ujarnya.

Beliau mendapat maklumat bahawa tindakan provokasi pihak musuh akan dilakukan bagi memburuk-burukkan parti PAS yang bertanding dalam pilihan raya kecil ini.

Katanya, rakyat terutama para pengundi perlu berada dalam suasana yang selesa, tenang, aman dan baik sepanjang tempoh kempen ini.

Menurutnya, rakyat perlu memilih calon yang benar-benar layak serta mampu membawa suara rakyat di Parlimen.

"Pilih (undi) calon yang mempunyai kemampuan untuk membawa suara rakyat di Parlimen supaya kita hadapi pilihan raya dengan cara yang tenang, dengan cara yang aman dan baik.

"Saya melihat rakyat di Kuala Terengganu ini bersedia untuk membuat perubahan sebagaimana yang berlaku di pantai barat.

"Saya dengar cerita akan berlaku provokasi, pakai lambang bulan, pakai kopiah macam kita (PAS) tetapi bertindak di luar kawalan dan arahan pemimpin,"ujarnya.

Katanya, rakyat tidak boleh hidup dengan baik, aman dan selamat selagi negara mempunyai pemimpin parti yang rasuah.

Menurutnya, Umno merupakan sebuah parti rasuah dan rakyat yang cerdik tidak mudah terpedaya dengan pelbagai taktik provokasi tersebut.

Justeru itu, kata Ustaz Abdul Hadi usaha mendekati rakyat perlu dilaksanakan dengan berhemah agar mereka (pengundi) tidak takut hendak keluar mengundi.

Menurutnya, jika negara mengamalkan cara pemilihan yang telus, adil dan baik semua pilihan raya yang diadakan bakal dimenangi oleh parti PAS dan Pakatan Rakyat.

Hadir sama pada majlis tersebut Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat; Timbalan Presiden PAS, Ustaz Nasaruddin Mat Isa; Pesuruhjaya PAS, Dato' Mustafa Ali dan Penasihat Parti KeADILan Rakyat (KeADILan), Dato' Seri Anwar Ibrahim; Naib Presiden KeADILan, Tian Chua serta beberapa pemimpin lain. - mks. _ HarakahDaily