05 January 2009

Jahat sungguh...

Pagi ini saya menerima panggilan talipon dari ADUN Changkat Jong, Hj.Anuar Sudin memaklumkan dia menerima SMS dari YAB Menteri Besar mengenai satu Sidang Akhbar yang akan dilakukan di bangunan SUK dan dia dijemput sama. Katanya dia tidak sempat hadir kerana beberapa hal di kawasan yang perlu diselesaikan.

Lalu saya teringat kepada Zahid dan Bagan Datoh dan meminta beliau memberi nombor talipon pimpinan PAS di sana yang dia ada nombornya. Dengan segera beliau SMS kepada saya no talipon Hj. Haris Timbalan YDP Kawasan.

Semasa yang menalipon Hj. Haris saya memaklumkan PAS Kawasan Bagan Datoh perlu melakukan sesuatu pada pagi ini, antaranya saya cadangkan pimpinan kawasan pergi melawat beberapa tadika KEMAS ,sesudah itu saya cadangkan adakan sidang akhbar dengan akhbar Cina serta melakukan Laporan Polis dengan fitnah yang dilempar oleh Zahid itu.

Kerana Zahid orang Bagan Datoh maka saya gambarkan kerja jahatnya "mungkin" berterusan dengan dia boleh lakunkan cerita kononnya pelajar KEMAS kena halau keluar dari bangunan pada hari pertama persekolahannya. Saya ingatkan di Terengganu dia sudah pernah buat tidak mustahil berlaku di Perak .

Alhamdulillah Hj. Haris faham apa yang ana maksudkan dan akan melakukan tindakan susulan dari permohonan ana tadi.
Begitu juga kepada pemimpin Pakatan Rakyat diseluruh Perak saya berharap mereka melakukan sesuatu dan bertindak dengan sewajarnya dalam menangani permasalahan ini. Buktikan kita tidak ganggu Tadika KEMAS mereka dan semuanya adalah Fitnah dari Zahid Hamidi.

Jahat sungguh......

HAK MILIK TANAH KEDIAMAN SELAMA-LAMANYA

Kerajaan Pakatan Rakyat negeri Perak yang diterajui oleh Pas telah menganugerahkan 11hak milik selama-lamanya untuk kampung baru kuala Rui, Grik baru-baru ini. Terdapat 134 kampung baru seperti ini diseluruh negeri Perak (yang terbanyak di Malaysia).

Janji menganugerahkan tanah kediaman sahaja bagi kampung-kampung Tersusun (RPT) dan kampung-kampung Baru dibuat dalam tawaran PRU-12, hanya oleh Barisan Alternatif (PAS + PKR) dan bukanya oleh DAP. Bahkan DAP tiada membuat sebarang tawaranpun kerana tidak berkeyakinan bolih menang PRU-12 bagi seluruh negeri Perak.

Namun setelah bergabung (BA + DAP) bagi membentuk kerajaan Pakatan Rakyat pada 9 Mac 2008, maka kerajaan PR (DAP, PKR dan PAS) menunaikan janji tersebut disamping janji-janji yang lain yang termaktub didalam tawaran asal BA, yang mana menjadi tanggungjawab kerajaan PR untuk memenuhinya. Ketika itu diluaskan tawaran ini sehingga merangkumi kampong adat orang asli juga.

Bagi melaksanakan tawaran tanah kediaman hak milik selama-lamanya ini, ia memakan masa tak kurang 7 bulan bagi kerajaan mengkaji dan menterjemahkan serta menafsir peruntukan undang-undang serta kanun Tanah Negara dan peraturan tanah Negeri. Ini termasuk juga peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan beserta Jadual sekali.

Pandangan dari berbagai sudut termasuk (Legal Opinion) oleh pakar-pakar tanah, syarikat-syarikat guaman, Bar Council dan pentadbir tanah telah diteliti dan akhirnya membolihkan perlaksanaanya. Ini termasuk formula penetapan kadar premium yang lebih tinggi dari pajakan. (Di anggarkan jika semua memilih untuk memohon hak-milik selama-lamanya bagi kampung-kampung baru sahaja, kerajaan akan mendapat pertambahan dana tak kurang dari RM300juta, tanpa memberi tanah baru.)

Maka tawaran dibuka dan arahan dikeluarkan melalui pejabat tanah daerah bagi pemberitahuan serta mula menerima permohonan dari rakyat yang berada dikedua-dua kampung tersebut. Permohonan telah diterima diseluruh negeri khusus didaerah-daerah yang terdapat banyak penempatan kampung baru dan juga RPT. Prosesan dibuat dan kebetulan pejabat tanah daerah Grik terawal mengeluarkan hakmilik selama-lamanya yang telah dapat dianugerahkan kepada 11 orang pemohon tersebut. Pada masa yang sama hakmilik kepada orng Melayu bagi tanah pertanian yang jauh lebih luas juga dikeluarkan. bersambung.....

DAKWAAN PALSU OLEH MENTERI DI JABATAN PERDANA MENTERI

"PERAK KUNCI DEWAN 700 TADIKA KEMAS". "TINDAKAN JEJAS 11,000 KANAK-KANAK: ZAHID." OLEH Abu Bakar al-Sidek. Begitulah bunyinya laporan di muka surat 11 Berita Minggu keluaran Ahad, 4 Januari 2009.

Saya ingin menafikan sekeras-kerasnya dengan dakwaan dan tohmahan yang dinyatakan oleh Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi melalui laporan akhbar tersebut dan juga akhbar arus perdana bahasa melayu yang lain pada hari yang sama.

Dinyatakan dalam laporan tersebut, " kerajaan Pakatan Rakyat di Perak mengunci pintu dewan yang akan di jadikan kira-kira 700 kelas bagi lebih 11,000 kanak-kanak Tadika Kemas yang akan memulakan persekolahan esok". Menteri berkenaan turut menyatakan, " tindakan kerajaan negeri gabungan Pas, DAP dan Parti Keadilan Rakyat itu menafikan hak untuk mendapat pendidikan kanak-kanak dari golongan kurang berada itu".


Kata menteri bekenaan lagi, " kerajaan negeri dibawah kepemimpinan Pesuruhjaya II Pas Perak, Datuk Seri Mohammad Nizar sebagai Menteri Besar tidak berhak berbuat demikian kerana dewan berkenaan dibina dengan dana Kerajaan Persekutuan." Tambah menteri berkenaan lagi, " Ini perbuatan zalim dan kejam terhadap murid tadika yang tidak berdosa sekali gus membuktikan pemimpin kerajaan negeri tidak prihatin dengan rakyat".

Kenyataan dan tuduhan berbau politik ini dibuat bagi mencemarkan nama baik kerajaan Pakatan Rakyat Perak terutama menjelang PRK K Terengganu. Sebenarnya kerajaan negeri Perak tidak pernah membuat apa-apa arahan atau keputusan mengenai penggunaan dewan orang ramai sebagai premis dan kelas Tadika Kemas. Ini sengaja diada-adakan oleh Zahid melalui dakwaan beberapa ketua JKKP barangkali di Bagan Datok, Perak.

Oleh yang demikian saya telah meminta petugas saya membuat laporan polis serta mengambil tindakan mahkamah bagi menjernihkan nama baik kerajaan serta saya sebagai Menteri Besar.

Di Perak ketika ini terdapat sms yang menyatakan beberapa dewan dewan akan sengaja dikunci (oleh orang suruhan ) pada malam ini bagi mencerminkan kebenaran dakwaan Zahid, apabila persekolahan dibuka esok pagi. Persepsi ini bagi mencemarkan imej kerajaan Pakatan Rakyat.

Maka dengan ini sekali lagi saya menegaskan bahawa kenyataan Zahid itu pembohongan semata-mata dan merupakan tindakan ketua UMNO yang tenggelam punca yang akan menerima kekalahan teruk di PRK K Terengganu pada 17 Januari nanti. Saya menafikan dengan tegasnya dawaan dan tohmahan Zahid tersebut. Dia akan menerima padahnya nanti akibat fitnah yang dilemparkanya terhadap saya dan kerajaan Pakatan Rakyat.
http://kamparinn.blogspot.com/

Isu Tadika KEMAS di Perak : Kenyataan akhbar Pengerusi BBC

Kira-kira 13,000 murid tadika di negeri ini mungkin terjejas pembelajaran mereka ekoran tindakan kerajaan negeri Perak mengarahkan Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) mengosongkan 700 premis tadika milik agensi itu dakwa Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi .

Menurutnya beberapa pegawai Kemas mendakwa mereka telah diarahkan oleh Pejabat Daerah supaya menyerahkan kunci dewan orang ramai dan pejabat Kemas kepada kerajaan negeri sejak beberapa bulan lalu.

Kenyataannya dalam Utusan Malaysia juga menyatakan sesetengah Pengerusi Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Persekutuan (JKKP) telah menyerahkan kunci premis berkenaan kepada Pengerusi Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung Negeri (JKKKN) kerana tidak mahu bertengkar dengan mereka.

Saya menafikan tohmahan yang tidak berasas yang dikeluarkan oleh Zahid Hamidi. Sesungguhnya apa yang didakwa oleh beliau saya anggap dakwaan yang tidak berasas dan kerana takut kan kepada "bayang-bayang" sendiri.

Janganlah membuat sesuatu kenyataan dan tohmahan yang standardnya sama dengan mentaliti pelajar KEMAS, atau sama mentaliti dengan pengerusi JKKP yang ada otak tapi tidak ada akal ?

Kenyataannya yang merujuk kepada "beberapa pegawai kemas", Pejabat Daerah dan Pengerusi JKKP adalah terlalu umum dan merupakan kenyataan yang tidak boleh diterima samasekali dan suautu fitnah yang tidak berasas. Apa lagi Sekira tuduhan itu dilemparkan kepada Pegawai Daerah tidakkah Zahid Hamidi sedar pegawai itu adalah Pegawai Tadbir Diplomatik yang ada kaitan langsung dengan Kerajaan Pusat.

Sekiranya beliau bertanggung jawab saya mencabar beliau mendedahkan secara specifik siapakah, dan dimana kejadian yang didakwa itu berlaku. Tunjukkan sifat haji mabrur yang diperolihi semasa Datuk Seri mengerjakan haji baru-baru ini.

Malah saya bersetuju dengan kenyataannya yang dipetik berkata "Kerajaan Perak tidak berhak mengguna dan mengendalikan program dalam bangunan yang dibina sendiri oleh Kerajaan Pusat," dan kerana itulah kami tidak melakukan apa-apa arahan dan tindakan apa lagi menganggu pentadbiran Tadika KEMAS.

Adakah setelah menunggu selama 9 bulan supaya Kerajaan Negeri Perak melakukan sesuatu tindakan balas dendam dan menganggu KEMAS tetapi ternyata tidak kami lakukan, dengan itu mereka cipta cerita mengatakan kami menganggu Tadika KEMAS.

Sebetulnya kami tidak ada masa untuk menganggu Tadika KEMAS, Nasihat saya teruskan kerja lama anda walaupun nampak sangat double standard.

Contohnya tanyalah di Parit Buntar berapa Tadika Kemas yang kami ganggu khususnya dalam DUN Titi Serong. Apa yang saya sedang rancang kan ialah akan pergi melawat semua tadika tersebut kalau mampu di awal persekolahan ini, sekadar bertanya khabar kepada guru dan ibubapa dan anak-anak yang bersekolah di situ.

YB.Drs. Khalil Idham Lim
Timbalan Exco Agama/Pengerusi BBC
Kerajaan Negeri Perak.

Gambar menarik Demo di Ipoh.

Gambar ini memberi seribu erti kepada kita semua yang mampu berfikir dengan waras.
Adakah kita masih sanggup berpeluk tubuh dan masih lagi dibuai oleh mimpi-mimpi yang indah sedangkan umat Islam di Palestin dan Gaza sedang bermandikan darah dan air mata.
Sesungguhnya kita tidak redha dengan tindakan ganas Zionis Israel dan didalangi oleh Amerika ke atas umat Islam di mana saja mereka berada. Mereka adalah saudara kita.
Marilah kita lakukan sesuatu sebagai jawapan yang jelas kepada Allah S.W.T bila dipertanyakan kelak apakah yang kita lakukan semasa umat islam ditindas dan dihina sedemikian rupa.
Mungkin OKU yang sedang berdemo di hadapan Masjid Negeri di Ipoh Jumaat lepas dengan sepanduknya "Amerika dan Israel Pembunuh Umat Islam" antara yang mampu menjawab soalan dari Allah S.W.T kelak.
Kita bagaimana?

Kerajaan Perak bertindak berdasarkan lunas undang-undang

SERI MANJUNG, 3 Jan :- Kerajaan Negeri Perak Pakatan Rakyat melakukan sesuatu tindakan dan dasar menurut lunas undang-undang serta mendapatkan nasihat yang secukupnya dari pakar undang-undang, oleh itu kita sangat bertanggung jawab dengan dasar pemberian geran kekal selama-lamanya kepada penduduk di Kampung Baru dan Kampung Tersusun. Demikian antara penjelasan Timbalan Exco Agama, Drs. Khalil Idham Lim yang mewakili YAB Menteri Besar Perak dalam ceramah Isu-Isu Semasa di sini.

Di awal ucapan beliau menyampaikan salam dari Menteri Besar yang hanya sempat berada dalam DUN Pasir Panjang itu di waktu siang dan disebabkan jadual diwaktu malamnya bertembung dengan yang hal lebih penting maka digantikan dengan ADUN Titi Serong itu.

Pada kesempatan itu beliau dengan bantuan LCD telah menjelaskan beberapa perkara yang dibangkit dan diputar belit oleh media cetak dan elektronik yang tidak bertanggungjawab.

Antara isu yang diperjelaskan ialah isu tanah, pembelian kereta Toyota Camry dan pendedahan pembaziran wang rakyat apabila kerajaan cuma menyewa bangunan Seri Perdana dan Seri Satria yang didiami oleh PM dan TPM dari Putrajaya Holding.

Antara hadirin yang hadir khusyuk mendengar penjelasan ADUN Titi Serong.


Pendedahan beliau mengenai Seri Perdana di mana sebanyak RM4.15 juta setahun atau RM345, 833.33 sebulan di sewa dari Putrajaya Holding . Sewa sehari ialah RM11,527.77 manakala kos menyelenggarakannya RM1.89 juta setahun atau RM158,051.40 sebulan artinya RM5,268.38 sehari.

Seri Satria pula disewa dengan nilai RM2.74 juta setahun atau RM228,333.33 sebulan iaitu RM7,611.11 sehari . Kos penyelenggaraannya adalah RM1.13 juta setahun iaitu RM94,156 sebulan iaitu RM 3, 138.53 sehari.

Tegas Drs. Khalil yang menyatakan fakta ini bukanlah rekaan tetapi pendedahan di parlimen , "RM27,545 sehari untuk membayar sewa dan menyelenggarakan kedua-dua istana pemimpin negara ini" siapa yang membazir ? soalnya.

Ceramah yang diadakan di Kampung Pasir Pandak yang terletak dan DUN Pasir Panjang itu mencipta sejarah kerana kali pertama diadakan ceramah penerangan dikubu kuat pembangkang itu.

Drs. Khalil menyampaikan sumbangan beg kepada seorang penerima sambil diperhati Hj. Noh dan Tazali Tamim.


Hadir sama dalam ceramah berkenaan ialah YDP PAS Kawasan Lumut, Hj. Noh Ahmad dan Timbalan Ketua bahagian Keadilan Lumut, Tazali Tamim yang menjadi penceramah pertama.

Menyampaikan sumbangan kerusi roda.


Pada kesempatan yang sama satu majlis penyerahan beg sekolah dan 2 kerusi roda sumbangan Isteri YAB MB telah disempurnakan oleh ADUN Titi Serong kepada yang terpilih.

Drs. Khalil : Palestine milik seluruh umat Islam.

SERI MANJUNG, 3 Jan :- Palestin adalah milik semua umat Islam di mana saja mereka berada, maka tunjukkan tanda simpati dengan apa cara sekalipun termasuk mengadakan demonstrasi, sembahyang hajat, menderma dan boikot barang Amerika dan Yahudi. Demikian antara kandungan Tazkirah maghrib Timbalan Exco Agama,Drs. Khalil Idham Lim yang mewakili YAB MB Perak yang tidak dapat hadir semasa memberi tazkirah di Surau MADAH di sini.

Tegasnya Islam meletakkan tali persaudaraan yang berbeza dengan agama lain, setelah mengucap dua kalimah syahadah kita jadi bersaudara.

Drs. Khalil menyeru supaya segala langkah yang perlu diambil untuk menunjukkan sikap yang sebenar ke atas kebiadaban Zionis Israel yang menyerang saudara seIslam yang tidak berdosa di Gaza.

"Sanggup kan kita berpeluk tubuh tanpa melakukan sesuatu apabila saudara kita di serang sedemikian rupa oleh Yahudi ? " Tanya beliau kepada jemaah yang hadir .

Jemaah memenuhi semua ruangan Surau MADAH.


Pada program tersebut dilancarkan kutipan derma untuk disalurkan kepada mangsa serangan Israel di Gaza, dan sesudah sembahyang Isyak diadakan sembahyang sunat hajat yang di imam kan oleh YDP PAS Kawasan Lumut, Hj. Noh Ahmad.

Hijrah

“Allah tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum kalau kaum itu sendiri tidak berusaha mengubah apa yang ada pada mereka” (QS. Ar-Ra‘d: 11).

Di dunia ini, manusia dituntut untuk selalu berfikir agar menghasilkan perubahan dan inovasi. Perubahan adalah sunnatullah, yang akan terjadi bila kita mahu mengusahakannya. Hal yang sama juga selalu dilakukan Rasulullah S.A.W, di antaranya, dengan melakukan hijrah.

Hijrahnya Rasulullah S.A.W dan kaumnya ke Yastrib yang kemudian dinamakan Madinah Al Munawarah adalah suatu hasil pemikiran demi mendapatkan suatu perubahan. Pada waktu itu, penduduk Makkah belum membuka diri untuk berubah ke jalan yang benar. Bahkan penentangan-penentangan besar dan keras dilakukan kepada usaha perubahan yang dilakukan Baginda Rasulullah. Menghadapi tentangan yang bahaya itu, Rasulullah S.A.W memikirkan jalan lain yang lebih selamat . Berpindah tempat dakwah adalah cadangan yang terbaik dan masuk akal. Ternyata tindakan itu menghasilkan kejayaan gemilang, sehingga Islam tersebar ke seluruh pelusuk dunia.

Peristiwa itu mengajak kita untuk selalu berusaha melakukan perubahan dalam hidup ini. Pasti ada peluang-peluang untuk menuju tangga kejayaan dalam kehidupan ini. Kalau tidak berhasil merebut peluang pertama kita mesti berusaha merebut peluang kedua dengan usaha yang lebih gigih. Siapa tahu kegagalan kita pada satu peluang kerana ada sebuah peluang keemasan lain yang sedang menunggu kita.

Tentunya, peluang-peluang itu tidak pernah terlintas dalam fikiran kita. Berfikir secara kritis dan optimis adalah cara yang paling mustajab untuk mendapati peluang-peluang perubahan. Dalam Al-Quran, Allah juga berkali-kali mempertanyakan apakah kita (manusia) tidak berfikir atau tidak menggunakan akal. Kerana itu, jangan berputus asa kerana hilangnya satu peluang. Berputus asa sama artinya dengan sengaja melupakan bahawa Allah Maha Kaya, juga Maha Pengasih, yang senantiasa menghamparkan banyak peluang lain, kalau kita mahu berusaha dan mensyukurinya.