03 January 2009

Wahid penuhi ciri kemenangan PAS


PAS memilih Mohd Abdul Wahid Endut untuk bertanding kerusi parlimen Kuala Terengganu kerana beliau mempunyai faktor-faktor kemenangan di kerusi itu.

Setiausaha PAS negeri Yahaya Ali berkata, antaranya ahli dan penyokong PAS mahukan beliau bertanding di kerusi tersebut.

"Beliau sudah lima penggal menang di Wakaf Mempelam dan ini menunjukkan orang ramai mahukan beliau.

"Kita percaya beliau mempunyai pengaruh yang kuat di Kuala Terengganu kerana beliau juga yang dipertua PAS kawasan Kuala Terengganu," katanya ketika diminta mengulas pemilihan mengejut Abdul Wahid sebagai calon PAS dalam pilihanraya kecil itu yang bermula Selasa depan.


Pemilihannya diumumkan oleh Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang di Stadium Negeri di Kuala Terengganu malam tadi.

Yahaya yang juga timbalan pengarah pilihanraya PAS bagi pilihanraya kecil tersebut berkata, pemilihan Abdul Wahid tidak akan memecahkan undi para penyokong PAS.

Diminta mengulas alasan Abdul Wahid dicalonkan oleh parti itu sedangkan namanya bukan pilihan utama, Yahaya berkata, pilihan atau tidak itu "hanya senarai yang dibuat orang ramai".

Katanya, orang ramai bebas membuat pilihan mereka tetapi akhirnya pucuk pimpinan yang menentukan setelah mengambil kira pelbagai faktor.

"Pemimpin lebih tahu hendak membuat pilihan, jadi tidak perlu lagi bercakap mengenai pemilihan Abdul Wahid sebagai calon.

"(Dan) insya Allah beliau akan menang," katanya.

Abdul Wahid akan berdepan dengan ketua Umno bahagian Kuala Terengganu, Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh bagi merebut kerusi tersebut pada hari pengundian 17 Januari ini.

Pilihanraya kecil tersebut diadakan berikutan kematian penyandangnya Datuk Razali Ismail, akhir November lalu. http://www.malaysiakini.com/.

Pejuang bahasa Melayu demo ala Bersih

Pejuang-pejuang bahasa Melayu, yang membantah pengajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris, bercadang menganjurkan perhimpunan besar seperti Gabungan Pilihan raya Bersih dan Adil (Bersih) pada 2007.

Demonstrasi besar itu, yang digelar "Himpunan 100 Ribu Selamatkan Bahasa Melayu", bagi menyerahkan memorandum kepada Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong di Istana Negara.

Keputusan mengadakannya dicapai dalam mesyuarat sekumpulan NGO Melayu dan parti pembangkang di Kuala Lumpur akhir bulan lalu, kata ketua pengarah jawatankuasa pelaksana kempen tersebut Hasni Abas dalam satu kenyataan hari ini.


Dihubungi Malaysiakini, beliau berkata memorandum kepada Tuanku Mizan Zainal Abidin, antaranya, memohon campur tangan baginda sebagai ketua negara bagi mengembalikan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar dua subjek itu.

"Orang mungkin lupa, (dan) menganggap kerajaan (BN) dan Umno sebagai ketua negara. Sebenarnya Yang Dipertuan Agong lah ketua negara," katanya.

Hasni berkata, 100,000 rakyat dan pejuang bahasa dijadual berarak dari Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) ke istana, kira-kira satu kilometer.

"Kita harap (perhimpunan ini) dapat menjadi lontaran pertama (kepada kerajaan)," tambah Hasni, juga pengerusi kesatuan sekerja DBP.

Menurutnya lagi, perhimpunan itu dijangka diadakan Mac depan atau selewat-lewatnya Mei.

Jika tiada masalah, katanya, perhimpunan itu akan dibuat sebelum satu lagi perhimpunan gergasi bagi membantah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) yang dijadual Mac.

"Orang Melayu ini semangat mereka (berkobar-kobar) enam bulan sahaja. Kalau lama-lama sangat, takut lupa," katanya, berseloroh.

Selain Kesatuan Pekerja-pekerja DBP, NGO dan parti politik yang terlibat termasuklah Dewan Pemuda PAS, Persatuan Linguistik Malaysia, Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) dan Gabungan Mahasiswa Islam Semalaysia (Gamis).

Gabungan itu, yang turut menghimpunkan tokoh-tokoh pencinta bahasa kebangsaan, menggelarkan kumpulan mereka Sekretariat Selamatkan Bahasa Melayu.

Hasni berkata, bekas ketua pengarah DBP Datuk Dr Hassan Ahmad bakal menerajui badan induk sekretariat itu.

Urusetia itu juga, tambahnya, menganjurkan perjumpaan lanjutan dengan semua NGO dan parti politik, termasuk BN, yang memperjuangkan penggunaan bahasa ibunda sebagai pengantar pengajaran Sains dan Matematik pada hujung bulan ini.

Bersih - gabungan 71 NGO dan parti pembangkang utama - berjaya menghimpunkan kira-kira 40,000 penyokong mereka berarak ke Istana Negara (foto kanan) pada 10 November dua tahun lalu bagi mengemukakan empat tuntutan, antaranya menghapuskan undi pos dan memperkenalkan dasar dakwat tidak mudah padam di jari pengundi. http://www.malaysiakini.com.

Demonstrasi aman bantah Israel di Mesjid Negeri Ipoh

IPOH, 2 Jan,:- Satu Demonstrasi aman membantah tindakan zionis Yahudi menyerang dan membunuh umat Islam yang tidak berdosa di Gaza Palestin telah diadakan di perkarangan Masjid Negeri Ipoh hari ini.

Demonstrasi itu dihadiri sekitar 500 jemaah yang menunggu selepas habisnya solat Jumaat di masjid yang sama.

Antara yang memberikan ucapan dalam majlis itu ialah Ketua Dewan pemuda PAS Perak, Ust. Norazli Musa, Wakil NGO Jamaie, Sdr. Khalilul Rahman, dan wakil dari Dewan Muslimat PAS, Ust. Norbaayah.

Laungan supaya dihancurkan Yahudi bergema berselang seli dengan ucapan yang diberikan.
Sebagai tanda simpati satu kutipan derma telah diadakan bagi disalurkan kepada rakyat Palestin yang memerlukan.

Sebelum itu Imam Jumaat yang membaca khutbah Jumaat khusus mengenai rakyat Palestin yang tertindas itu menyeru semua jemaah supaya mengambil langkah yang sewajarnya bagi menunjukkan bantahan kepada serangan itu. katanya antara langkah yang dapat diambil ialah dengan mengadakan sembahyang sunat hajat, memboikot barangan dan unsur-unsur yang berhubung dengan Yahudi dan Amerika serta mengadakan demonstrasi aman.

Sesudah sembahyang Jumaat hampir semua jemaah yang memenuhi masjid mengadakan solat hajat bagi memohon dari Allah supaya diselamatkan rakyat Palestin yang tidak berdosa.

Calon PAS di Kuala Terengganu, PAS akan dituduh ketandusan calon.

BN sudah tentu akan menuduh PAS ketandusan calon apabila membuat keputusan memilih ADUN Wakaf Mempelam, YB Mohd Abdul Wahid Endut untuk mewakilinya pada Pilihan raya Kecil Kuala Terengganu seperti yang diumumkan oleh Presiden PAS malam tadi.

Saya yakin mulai hari ini para wartawan dan media lain akan mengumpulkan temu ramah dan berita yang akan memberi alasan dan hujah bagi menguatkan tohmahan tidak berasas tersebut.

Tidak menjadi suatu kesalahan dan suatu amalan yang baru dalam piliharaya dinegara kita termasuklah di Terengganu bila PAS memilih Wahid kerana undang-undang tidak menghalang untuk ADUN bertanding di kerusi parlimen.

Adakah BN takut sejarah yang dibuat oleh TG. Hj. Abdul Hadi Awang di Marang dan Hj.Mustafa Ali yang mampu menang di Parlimen dan DUN suatu masa dulu.

BN juga melakukan perkara yang sama apabila mencalonkan YB Arif Shah, ADUN Seberang Jaya bagi menentang Anwar Ibrahim pada Pilihan raya Kecil Permatang Pauh yang menyaksikan calon BN tersebut kalah teruk.

YB Wahid merupakan seorang ahli Politik yang sangat berpengalaman dan dikenali ramai bukan sahaja di Terengganu malah di peringkat nasional. Beliau pernah menjadi pimpinan Dewan Pemuda PAS Pusat selain telah beberapa penggal menjadi ADUN Wakaf Mempelam.

Beliau berasal dari keluarga yang terkenal di Kuala Terengganu. Keluarganya merupakan ahli perniagaan yang berjaya dan mempunyai wisma sendiri. Wahid sebenarnya sangat digeruni di DUN Terengganu kerana berani berhujah dengan fakta dan isi yang bernas.

Tidak syak lagi pemilihan beliau merupakan suatu pilihan yang tepat. BN sudah tentu semakin gundah gulana dengan pemilihan beliau ini. Sumber asal: mutaligat.blogspot.com.

PROFAIL CALON PAS KUALA TERENGGANU

HAJI ABDUL WAHID BIN ENDUT

UMUR : 51 TAHUN

PENGALAMAN KERJA
1. ADUN WAKAF MEMPELAM
2. PEGAWAI PUSAT PENGEMBANGAN DAN PENDIDIKAN LANJUTAN DI UPM

PENDIDIKAN TERTINGGI
1. DIPLOMA PERIKANAN DAN SAINS SAMUDERA (UPM)

JAWATAN DALAM PARTI
1. BENDAHARI PAS NEGERI TERENGGANU
2. YDP PAS KUALA TERENGGANU

NAMA ISTERI : HAJJAH WAN FATIMAH WAN ABDULLAH
PEKERJAAN : GURU
BILANGAN ANAK : 9 ORANG