02 January 2009

Wahid Endut calon Pas K. Terengganu

KUALA TERENGGANU, 1 Jan 2009 : - Ahli Dewan Undangan Negeri Wakaf Mempelam Abdul Wahid Endut diumumkan sebagai calon PAS dalam pilihan raya kecil Kuala Terengganu pada 17 Januari nanti.

Pengumuman itu dibuat oleh Presiden PAS Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang sebentar tadi di Stadium Negeri yang dihadiri lebih 10,000 penyokong.

Turut hadir sama dalam majlis penting itu Timbalan Presiden PAS Ustaz Nasharuddin Mat Isa, Naib Presiden PAS Mohammad Sabu, Setiausaha Agung PAS Dato' Kamaruddin Jaffar, Ketua Pemuda PAS Salahuddin Ayub dan beberapa pimpinan PAS Pusat yang lain.


Manakala di peringkat negeri dihadiri oleh Pesuruhjaya PAS Negeri Dato' Mustafa Ali, Timbalan Pengarah Pilihan Raya Dato' Wan Mutalib Embong, Adun Batu Buruk Dr Syed Azman Syed Nawawi dan saf kepimpinan negeri.

Abdul Wahid, 52 tahun adalah ADUN sejak lima penggal, lulusan Universiti Pertanian Malaysia (UPM) dalam bidang perikanan dan sains marin. Beliau memiliki rekod yang cemerlang sebagai Adun atau Exco selama sepenggal dan sebagai Adun pembangkang.

Wahid dianggap sebagai anak didik Pesuruhjaya PAS Terengganu, Dato' Mustafa Ali kerana kerusi Wakaf Mempelam yang beliau wakili kini adalah kerusi yang dimenangi oleh Mustafa ketika PAS melakukan 'comeback' di Terengganu pada tahun 1982.

Parlimen Kuala Terengganu mempunyai 4 Dewan Undangan Negeri (DUN) yang mana 3 daripadanya dimenangi oleh PAS manakala 1 DUN dimenangni BN (MCA)

DUN-DUN yang dimenangi oleh PAS ialah Wakaf Mempelam (Abdul Wahid Endut), Ladang (Tengku Hassan Tnegku Omar), dan Batu Buruk (Dr. Syed Azman Ahmad Nawawi)

Pilihan Raya Kecil Kuala Terengganu diadakan bagi mengisi kekosongan kerusi Parlimen P036 berikutan kematian mengejut penyandangnya, Dato Razali Ismail yang juga Timbalan Menteri Pelajaran Malaysia pada 27 Oktober lalu.

Pada PRU ke-12, 8 Mac 2008 lalu Dato' Razali calon BN menang tipis dengan majoriti 628 undi menewaskan calon PAS, Mohamad Sabu dan calon Bebas, Maimun Yusuf hanya mendapat 685 undi. Jumlah pengundi berdaftar di Parlimen Kuala Terengganu ialah 80,229 orang termasuk 1,035 pengundi pos. http://www.harakahdaily.net/

Drs. Khalil : 2008 tahun bersejarah bagi Pakatan Rakyat.

KAMPAR, 31 Dis,:- Tahun 2008 merupakan tahun bersejarah bagi rakyat di negeri Perak, Kedah, Pulau Pinang dan Selangor apabila tsunami politik menyaksikan negeri tersebut jatuh kepada Kerajaan pakatan Rakyat, Demikian antara ucapan ADUN Titi Serong, Drs. Khalil Idham Lim dalam Majlis Ceramah sempena Tahun baru di sini.

Ceramah anjuran PAS Kawasan Kampar itu menyaksikan kehadiran penduduk setempat yang memberangsangkan walaupun dalam keadaan hujan lebat. Semua kerusi yang diletakkan dalam khemah yang disediakan dipenuhi pengunjung.

Kehadiran ini menurut Pegawai Khas kepada YAB Menteri Besar Perak yang juga Ketua Penerangan PAS Kawasan, Sdr.Amran Harun mungkin disebabkan jamuan istemewa yang disediakan selepas ceramah iaitu 11,000 cucuk satey ayam dan nasi lemak.

Drs. Khalil sebagai penceramah tunggal dalam majlis itu meneruskan ceramahnya dengan tayangan LCD.

Beliau mempersoalkan kenapa rakyat Malaysia hanya menunggu jam 12.00 malam untuk menyambut tahun baru .apalagi diadakan dalam keadaan yang melanggar batas hukum Islam dan moral.

Drs. Khalil menyampaikan hadiah pertandingan badminton.


Kenapakah tidak boleh diubah seperti kita menyambut tahun Hijrah iaitu sesudah maghrib sudah dianggap boleh menyambut tahun baru. "Apalah lebih sangat menunggu detik 12 malam" soal Drs. Khalil kepada yang hadir.

Pada kesempatan itu beliau menjelaskan isu-isu semasa dengan paparan gambar yang menarik.
Majlis diakhiri dengan penyampaian hadiah oleh ADUN Titi Serong kepada pemenang pertandingan badminton sempena majlis ceramah tersebut.

Pakatan Rakyat teruskan pembangunan jasmani dan rohani di Perak

PARIT BUNTAR, 1 Jan :- Kerajaan Negeri Perak pakatan rakyat memberi jaminan akan meneruskan agenda pembangunan jasmani dan rohani yang dilakukan oleh kerajaan yang lepas termasuklah dalam bidang pendidikan. Demikian antara ucapan ADUN Titi Serong, Drs. Khalil Idham Lim dalam Majlis Anugerah Cemerlang UPSR Peringkat Parlimen Parit Buntar di sini pagi tadi.

Dr. Mujahid menyampaikan hadiah kepada pelajar SRJK Cina.

Program dengan kerjasama Yayasan Perak itu melibatkan 150 orang pelajar cemerlang yang memperolehi 5A dalam peperiksaan UPSR tahun 2008 yang lepas. Mereka adalah terdiri dari murid-murid tahun 6 yang akan melangkah ke Tingkatan 1 pada tahun ini di DUN Titi Serong dan DUN Kuala Kurau. Mereka terdiri dari pelajar Sekolah Kebangsaan (SK), Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) cina dan India.


Pelajar Cemerlang UPSR bergambar bersama Ahli Parlimen dan ADUN.


Sumbangan yang diserahkan kepada setiap pelajar ialah berupa sebuah kamus, satu set alat tulis dan sijil penghargaan.

Program tersebut telah dirasmikan oleh Ahli Parlimen Parit Buntar, Dr. Mujahid Yusuf. Hadir sama dalam majlis tersebut ialah ADUN Kuala Kurau,Abdul Yunus Jamhari,Ahli Majlis Daerah Kerian,Hj. Harun Hashim, En Khor, dan En Rajeswaren. Semua pelajar diiringi oleh ibu bapa masing-masing dengan jumlah kehadiran melebihi 500 orang yang memenuhi Dewan Merdeka tempat program berlangsung.

Semasa menyampaikan ucapan Dr. Mujahid menegaskan bahawa kita tidak mahu melihat rakyat khususnya di Parlimen Parit Buntar di kongkong dengan mentaliti subsidi. Beliau juga menyatakan dasar kerajaan Pakatan Rakyat adalah tidak mengira agama atau bangsa, jelasnya ini dibuktikan pada hari ini kita beri sumbangan kepada pelajar dari kaum melayu, Cina dan India.

Drs. Khalil juga menegaskan program ini adalah untuk kali kedua dalam masa terdekat dan akan diteruskan dengan satu program ketiga iaitu penyampaian bantuan pakaian sekolah kepada sejumlah 60 orang pelajar yang layak dan dipilih oleh ketua-ketua kampung dalam Parlimen Parit Buntar.

Ibu bapa memenuhi dewan.


Tegasnya program ini membuktikan tohmahan bahawa apabila kita memerintah kita tidak mampu meneruskan agenda kerajaan lepas. Sekaligus kata beliau membukti keprihatinan kerajaan Negeri perak melalui yayasan perak dalam memajukan bidang pendidikan.

"Sumbangan pada hari ini adalah tanda ke bersamaan kami dengan usaha gigih pelajar, ibubapa dan guru sehingga kejayaan diperolehi" Ucap Drs. Khalil.

Mengulas mengenai gambar Menteri Besar dan Halangan untuk masuk ke sekolah, Drs. Khalil berharap ianya tidak memakan tempoh yang agak lama.

Perak beri dermasiswa RM 3.3 juta untuk 550 pelajar miskin

IPOH , 1 Jan : - Kerajaan Pakatan Rakyat Perak telah menyumbangkan sejumlah lebih RM3juta kepada pelajar-pelajarnya dari keluarga yang miskin yang melanjutkan pelajaran ke luar negara.

Pemberian ini sekaligus menyangkal sekerasnya tuduhan pembangkang Umno-BN yang menidakkan usaha kerajaan negeri memberikan bantuan dermasiswa dengan dana yang tinggi untuk anak-anak Perak melanjutkan pengajian di universiti-universiti Islam luar negara.

Demikian ditegaskan oleh Exco Agama, Pendidikan Islam, Wanita dan Kebajikan, Mohd. Zainuddin Mohd. Yusof berhubung tuduhan tidak berasas itu.

Katanya walaupun Pakatan Rakyat baru berusia tidak sampai setahun 'jagung' tetapi tidak sekali mengabaikan tanggongjawab terhadap pelajar-pelajar dari keluarga miskin untuk menyambungkan pelajaran mereka di Universiti-universiti Islam luar negara dengan bantuan dermasiswa mengikut kadar dana mencukupi.

"Kini Kerajaan Perak dalam usaha murni itu telah menghantar seramai 550 pelajar ke beberapa Universiti Islam luar negara dengan dermasiswa sebanyak RM3,325,000.00 demi meringankan beban tanggungan keluarga mereka,? katanya kepada Harakahdaily.

Zainuddin menjelaskan pecahan pelajar dan jurusan yang terdiri daripada 25 orang pelajar dalam fakulti Sarjana (Masters), 360 pelajar dalam Sarjana Muda (Mesir), 50 pelajar Sarjana Muda (Indonesia), 50 orang (Jordan), 25 orang dalam Sarjana Muda di negara-negara lain dan 40 menduduki Sarjana Muda Perubatan.

Manakala sumber dana kewanganya, tegas beliau, adalah dari Majlis Agama Islam Negeri Perak melalui bahagian Zakat yang dikutip pada sepanjang tahun dari Umat Islam negeri ini dimana hasilnya amat memberangsangkan bagi digunakan semula dalam pembangunan kehidupan ummah.

Zainuddin menyeru masyarakat Islam yang mampu menyumbang dana dan zakat disamping mendapat pahala yang besar disisi Allah SWT termasuk dapat meningkatkan ekonomi rakyat. http://www.harakahdaily.net/