06 July 2009

Husam: Manek Urai gelombang tumbangkan BN

Exco Kelantan, Datuk Husam Musa mahu menjadikan kemenangan di Manek Urai sebagai satu arus yang membawa gelombang untuk menumbangkan BN yang menguasai kerajaan persekutuan.

"Kita mahu hantar mesej bahawa rakyat sudah tidak mahu menerima BN. Dan BN Harus bersiap sedia keluar daripada Putrajaya.

"Dan Manek Urai adalah sebahagian daripada strategi untuk menaikkan gelombang kebangkitan rakyat itu," kata Husam.

Beliau menegaskan demikian dalam satu majlis "Amanat Tok Guru untuk Anak Manek Urai" di sebuah hotel di ibunegara malam tadi.

Majlis tersebut - anjuran Persatuan Anak Kelantan di perantauan (Perakan) dengan kerjasama urusetia penerangan Kerajaan Kelantan - dihadiri kira-kira 400 pengundi Manek Urai dari sekitar Kuala Lumpur dan Selangor.

Terdapat 867 anak Kelantan daripada Manek Urai yang tinggal sekitar Kuala Lumpur dan Selangor.

Husam yang juga timbalan pesuruhjaya PAS Kelantan turut mengingatkan agar rakyat negeri itu supaya pulang mengundi dalam pilihanraya kecil DUN Manek Urai pada 14 Julai ini.

'Ujian kepimpinan Nik Aziz'

Katanya, ini kerana mengundi merupakan satu kewajipan untuk meneruskan pemerintahan Islam di negeri yang terkenal dengan jolokan 'Serambi Mekah".

"Sebagaimana difardukan solat, begitulah kewajipan mengukuhkan kerajaan Islam Kelantan agar gagasan Islam tidak pupus dan lupus tidak kira dalam pilihanaraya kecil atau pilihanraya umum," katanya.

Turut hadir di majlis tesebut termasuk Bendahari PAS pusat, Mohd Hatta Ramli yang juga ahli Parlimen Kuala Krai; Pengerusi Perakan, Abdul Fatah Mahmood;

Setiausaha Perhubungan PAS Kelantan, Mohd Zaki Ibrahim; dan calon PAS di Manek Urai, Mohd Fauzi Abdullah.

Husam yang juga ahli jawatankuasa PAS Pusat menyifatkan pilihanraya kecil ini juga sebagai satu ujian Allah untuk menguji kepimpinan Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Katanya, Umno cuba untuk memperlekehkan calon PAS, Mohd Fauzi Abdullah yang tidak dilihat mempunyai sijil kelulusan yang tinggi untuk berkhidmat kepada rakyat.

Sebaliknya kata Husam, pengundi di Manek Urai mementingkan calon yang mempunyai tingkah laku yang baik dan melihat perangai calon yang bertanding.

"Mereka mahu calon seperti (Allahyarham) Pak Su Wei (Ismail), iaitu orang yang boleh dilihat (dalam masyarakat), tak kunci pintu rumah dan mudah mesra dengan rakyat. Berkhidmat untuk rakyat tidak perlu sijil tapi komitmen," katanya.

Jelas isu royalti minyak

Menurut Husam lagi, PAS Kelantan akan menjelaskan isu royalti minyak kepada pengundi sebagai satu isu yang akan menjadi strategi kempen di Manek Urai.

Pihaknya akan menaikan poster besar berhubung isu tersebut, sebagai isyarat "harapan rakyat Kelantan terhadap tuntutan royalti" tersebut.

Mengulas mengenai lawatan Menteri Mentor Singapura, Lee Kuan Yew yang mengunjungi Nik Aziz yang juga mursyidul am PAS bulan lalu, Husam berkata: "Lee kata parti PAS kuat disebabkan anak-anak muda dan orang yang berpelajaran menyokong perjuangan PAS."

Menurut Husam lagi, dasar keadilan untuk semua kaum, yang menjadi dasar parti, menyebabkan PAS diterima oleh semua kaum.

Dengan keadilan tersebut, tambah Husam, Lee menganggap, Kelantan akan berbuat baik dengan negara berjiran dengan Malaysia dan negara serantau.

"Ini kerana dasar PAS adalah Islam yang diterima umum. Kalau Kelantan boleh diiktiraf oleh negara luar, kita maju setapak lagi," katanya sambil menyatakan keyakinan bahawa

PAS akan mencapai kemenangan di Manek Urai.

Manakala Nik Aziz pula, ketika berucap di majlis itu, menggesa pengundi Manek Urai agar pulang mengundi pada 14 Julai ini - dengan apa cara sekalipun - untuk memberi kemenangan kepada PAS.

Islam sebagai cara hidup

"Kena balik, tak boleh naik bas, naik motosikal. Tak boleh naik motosikal, jalan kaki," katanya berseloroh sambil disambut gelak ketawa para hadirin.

Nik Aziz yang juga pesuruhjaya PAS Kelantan menasihatkan Umno supaya menjadikan Islam sebagai cara hidup.

"Bumi yang kita duduk ini, Tuhan buat. Udara yang kita bernyawa (dengannya) yang ada sukatan tertentu, ada oksigen, Tuhan buat... Sayur-sayuran yang kita tanam, kita makan, pun Tuhan buat.

"Semua benda yang manusia berkehendak, Tuhan buat belaka, tiba-tiba kita tolak Islam. Islam bukan datang daripada PAS. Islam datang daripada Allah Taala," katanya.

Sementara itu Pengerusi Perakan, Abdul Fatah Mahmood berkata kemenangan PAS di Kelantan pada 1990 adalah kerana anak Kelantan di perantauan menelefon ibu bapa dan keluarganya di kampung supaya mengundi PAS.

Beliau yang juga exco kerajaan negeri Kelantan berharap agar pengundi Manek Urai di luar mengambil langkah yang sama dalam pilihanraya kecil DUN Manek Urai pada 14 Julai ini.

"MU (Manek Urai) adalah langkah awal untuk memenangi piliharaya umum yang ke-13 dan (seterusnya) Pakatan Rakyat dapat menerajui kerajaan persekutuan," katanya.

Manakala calon PAS di Manek Urai, Mohd Fauzi turut memeriahkan perrtemuan dengan berucap selama lima minit untuk memperkenal dirinya.

Beliau juga meminta agar pengundi di luar Kelantan, dapat pulang ke kampung untuk memberi sokongan kepada parti PAS dan seterusnya mengekal kerusi tersebut. Malaysiakini/-

1 comment:

Rantong said...

Mudah2an BN akan dapat menawan Manik Urai.

View Profile: Rantong™