30 December 2008

Tumpu pembangunan, bebas daripada kemelut ekonomi

IPOH: Raja Muda Perak Raja Dr Nazrin Shah bertitah supaya gerak kerja pembangunan dan membebaskan negara daripada kemelut ekonomi yang sedang melanda dunia menjadi tumpuan bagi tahun baru Islam 1430 Hijrah.

Baginda menyeru supaya tahun ini juga dijadikan tahun di mana pemimpin kurang berpolemik, kurang berpolitik, kurang bercanggah dan bertelagah kerana ada kalanya kegiatan politik yang keterlaluan bukan sahaja tidak produktif tetapi bersifat 'counter' produktif.

“Dalam menghadapi suasana begini, pemimpin wajib meletakkan keutamaan rakyat, mencari kata sepakat, pendekatan selari untuk menangani masalah dan cabaran yang memerlukan penyatuan pendekatan dan persefahaman pelaksanaan,” titah baginda ketika merasmikan Perhimpunan Sambutan Maal Hijrah 1430 Negeri Perak di sini hari ini.

Turut berangkat ialah Raja Puan Besar Perak Tuanku Zara serta Raja Dihilir Raja Jaafar Raja Muda Musa, Puan Muda Perak Raja Normahani Raja Shahar Shah dengan diiringi Menteri Besar Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin dan isteri Datin Seri Fatimah Taat.

Tahun ini juga perlu dijadikan tahun mencerminkan negara memiliki kekuatan untuk bertindak tegas memerangi rasuah, membuktikan keberanian negara melaksanakan keadilan iaitu menjatuhkan hukuman kepada mereka yang menodai amanah, kepercayaan dan tanggungjawab, titah baginda.

“Tahun 1430 Hijrah juga hendaklah tahun bagi setiap rakyat membuktikan kejujuran dan keikhlasan dan selaras dengan ajaran Islam, bersedia melakukan sifat bermuhasabah, memperlihatkan semangat kebertanggungjawaban sendiri yang tinggi dengan secara rela mengundurkan diri dari memegang amanah iaitu secara rela meletakkan jawatan apabila nama baik telah tercalar atau tercemar,” titah baginda.

Raja Nazrin Shah turut bertitah ekonomi pada 1430 juga diramalkan mengalami pertumbuhan yang paling lemah dalam tempoh 25 tahun di mana aktiviti pengurangan kredit yang sedang dilaksanakan akan mengakibatkan persekitaran ekonomi global muram sekaligus memberi tekanan kepada perbelanjaan pengguna dan korporat.

“Bahawa negara kita tidak terlepas daripada menghadapi kesan negatif dari suasana ekonomi yang muram ini. Berapakah peluang baru pekerjaan yang dapat diwujudkan? Dan bagaimana nasib graduan yang akan meninggalkan kampus universiti dan anak-anak yang akan tamat pengajian di sekolah?

“Bagaimana pula dengan nasib mereka yang mungkin terpaksa menelan pahit menghadapi realiti terpaksa diberhentikan kerja. Bagaimana perit yang perlu ditanggung di kalangan mereka yang berada dalam kemiskinan,” titah baginda.berita harian.

Tunku Mukhriz dilantik Yang di-Pertuan Besar ke-11

KUALA PILAH: Tunku Besar Seri Menanti, Tunku Mukhriz Tuanku Munawir dilantik sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan ke-11 dengan Istiadat Pemasyhuran baginda diadakan di Balairong Seri, Istana Besar Seri Menanti, jam 3.46 petang ini.

Pemilihan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan yang baru itu diadakan berikutan kemangkatan Tuanku Ja'afar Tuanku Abdul Rahman kerana angin ahmar, pagi kelmarin.

Pemilihan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan yang baru diputuskan oleh Datuk Undang Yang Empat, iaitu Datuk Undang Luak Sungai Ujong, Datuk Undang Luak Johol, Datuk Undang Luak Jelebu dan Datuk Undang Luak Rembau mengikut Perlembagaan Negeri.

Pelantikan pengganti Almarhum Tuanku Ja'afar membabitkan di kalangan Putera Yang Empat iaitu terdiri daripada Tunku Mukhriz; Tunku Laxamana Tunku Naquiyuddin Tuanku Ja'afar; Tunku Muda Serting, Tunku Imran Tuanku Ja'afar dan Tunku Panglima Besar, Tunku Nazaruddin Tuanku Ja'afar.

CERAMAH KENANGAN BERSAMA UST. BUNYAMIN




video