28 December 2008

Polis siasat blog didakwa hina Nabi Muhammad

Polis akan menyiasat perbuatan menyiarkan artikel menghina Nabi Muhammad S.A.W dalam sebuah laman blog seperti yang didakwa dalam laporan sebuah akhbar tempatan hari ini.

Timbalan Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar berkata perbuatan itu boleh menimbulkan perasaan marah dan tersinggung, khususnya umat Islam dan orang Melayu serta mengundang konflik perasaan, agama dan bangsa.

Ketika dihubungi Bernama, Ismail berkata, dari sudut perundangan, ia dianggap satu kesalahan di bawah Akta Hasutan dan polis akan segera menyiasat pemilik serta penulis blog berkenaan.

Dalam laporannya hari ini, akhbar berkenaan mendakwa terdapat sebuah laman blog, yang kononya milik seorang wanita Melayu, yang dikesan melemparkan penghinaan terhadap Rasulullah S.A.W dan menggunakan gambar dan lukisan.

Laporan itu juga memberitahu selain penuh dengan tohmahan, artikel tersebut turut disertakan gambar wajah orang yang diubah suai bagi tujuan menghina dan memburuk-burukkan Nabi Muhammad S.A.W.

Jumpa menteri

Sementara itu, Menteri Penerangan Datuk Ahmad Shabery Cheek berkata, Wanita yang gambar serta identitinya digunakan dalam sebuah laman blog yang artikelnya menghina Nabi Muhammad S.A.W, mendakwa, laman blog tersebut bukan miliknya sebaliknya disalahgunakan pihak lain yang
tidak diketahui motifnya.

Ahmad Shabery berkata wanita berkenaan membuat pengakuan tersebut dalam pertemuannya dengan beliau dua minggu lepas dan meminta RTM menyiarkan tentang perkara tersebut untuk membersihkan namanya.

"Wanita itu yang berusia dalam lingkungan 20-an ada berjumpa dengan saya untuk meminta pertolongan bagi membersihkan nama serta identitinya yang digunakan dalam sebuah laman blog menghina Nabi Muhammad S.A.W," katanya kepada pemberita di majlis perasmian Nur Sejahtera peringkat Parlimen Kemaman hari ini.

"Dia memohon bantuan RTM supaya menghebahkan perkara itu kerana laman blog yang turut mengandungi mesej serta ucapan Deepavali berbaur penghinaan terhadap penganut agama Hindu itu bukan dilakukan oleh dirinya dan telah menjejaskan nama baik dirinya serta syarikat tempat dia bekerja.

"Saya telah minta RTM muat cerita itu untuk mengingatkan orang ramai yang menerima kad ucapan dari laman blog itu supaya berhati-hati dan membuat laporan polis," katanya.

Ahmad Shabery berkata wanita yang bertugas sebagai akauntan di sebuah syarikat pemotoran besar di Lembah Klang sendiri mengakui beliau keliru dengan motif pihak tidak bertanggungjawab itu selain tertanya-tanya kenapa identitinya dijadikan mangsa.

"Dia mengesan kehadiran laman blog yang menggunakan nama serta identitinya itu beberapa bulan lepas dan telah pun membuat laporan polis serta Suruhanjaya Multimedia untuk mengesan pihak yang bertanggungjawab," katanya.

Sehubungan itu, menteri berkenaan meminta pihak terbabit menyiasat segera laman blog berkenaan untuk membersihkan nama wanita terbabit bagi mengelakkan sebarang kejadian yang tidak diingini.

Bagaimanapun beliau difahamkan laman blog terbabit mempunyai pelayar yang berpangkalan di luar negara dan menyukarkan Suruhanjaya Multimedia untuk mengesan pihak terbabit.

Katanya, beliau yakin laman blog itu sengaja diadakan-adakan oleh pihak yang mempunyai niat buruk terhadap wanita berkenaan serta majikannya.

Beliau berkata wanita itu kini berada dalam keadaan tekanan mental dan fizikal ekoran kejadian tersebut.

Ahmad Shabery yakin wanita tersebut tidak bersalah kerana jika benar beliau mempunyai tanggapan negatif terhadap agama Islam, tidak mungkin masa yang sama laman blog terbabit turut mempunyai ucapan berbaur penghinaan terhadap agama lain

Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan mangkat

Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tunku Jaafar Tuanku Abdul Rahman mangkat di Hospital Tuanku Ja'afar (HTJ) pada kira-kira pukul 11.45 pagi ini. Baginda berusia 86tahun.

Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Norzam Mohd Nor yang membuat pengumuman itu di HTJ berkata Almarhum baginda berada dalam keadaan tidak sihat pagi ini selepas mengadu sakit kepala dan tidak selesa.

"Baginda mengadu kurang sihat dan sakit kepala pada pukul 8.10 pagi dan pihak HTJ telah dihubungi dan dua Pakar Perunding Kanan HTJ, Datuk Dr Tarmizi Thayaparan dan Datuk Dr K. Sree Raman telah bergegas ke Istana Hinggap di Seremban untuk memberikan rawatan kepada Tuanku,' kata beliau dalam sidang akhbar khas mengumumkan kemangkatan baginda di Bilik VIP HTJ hari ini, lapor Bernama.



Turut hadir ialah anggota kerabat diraja Negeri Sembilan, Ketua Polis Negeri, Datuk Osman Salleh dan Pengarah Kesihatan Negeri, Dr Zainal Arifin Omar.

Norzam berkata ketika dua pakar itu tiba di Istana Hinggap pada jam 8.25 pagi, keadaan baginda terlalu lemah walaupun sedar dan selepas melihat keadaan itu, dua pakar berkenaan mengesyorkan supaya baginda di bawa ke HTJ untuk rawatan segera.

"Berdasarkan itu, baginda telah dibawa ke HTJ dan dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) dan pelbagai usaha telah dilakukan oleh doktor pakar termasuklah memberi rawatan kecemasan.

"Saya ingin memaklumkan di sini bahawa Tuanku Ja'afar telah mangkat pada pukul 11.45 pagi di HTJ," katanya.

Sehubungan itu, beliau memaklumkan bahawa jenazah Almarhum baginda akan dibawa pulang ke Istana Besar Seri Menanti, Kuala Pilah petang ini untuk majlis penghormatan terakhir serta menunggu kepulangan anakanda baginda yang masih berada di luar negara.

Berkabung 40 hari

Katanya jenazah Almarhum baginda ditempatkan di Dewan Balairong Seri, Istana Besar Seri Menanti, Kuala Pilah untuk penghormatan terakhir daripada kerabat Diraja, pemimpin dan orang ramai. Istiadat pengebumian jenazah Almarhum baginda akan diadakan pada hari Isnin selepas solat asar.

Sehubungan itu, Norzam berkata tempoh berkabung berikutan kemangkatan baginda ialah selama 40 hari, bermula hari ini.

"Semua premis termasuk pejabat kerajaan dan bangunan hendaklah mengibarkan bendera negeri separuh tiang dalam tempoh tersebut. Dalam tempoh berkabung itu juga, semua kakitangan kerajaan dikehendaki memakai songkok berlilit putih manakala wanita memakai lilitan putih di lengan.

"Semua majlis rasmi kerajaan akan ditangguh dalam tempoh tujuh hari. Premis pusat hiburan dan aktiviti keraian juga hendaklah ditangguhkan selama tujuh hari bermula hari ini,' katanya.

Katanya Menteri Besar Datuk Seri Mohamad Hasan yang kini bercuti di London telah dimaklumkan mengenai kemangkatan Tuanku Ja'afar pagi ini dan dijangka tiba di sini pada jam 10 pagi esok.

Tuanku Ja'afar yang dilantik menjadi Yang di-Pertuan Agong ke-10 bermula 26 April 1994 hingga 25 April 1999 diputerakan di Klang, Selangor, pada 19 Julai 1922.

Baginda merupakan putera kedua Almarhum Tuanku Abdul Rahman Ibni Almarhum Tuanku Muhammad, Yang di-Pertuan Agong yang pertama.

Baginda mendapat pendidikan awal di Sekolah Melayu Seri Menanti, Kuala Pilah dari tahun 1928 hingga 1933 dan seterusnya melanjutkan pengajian ke Maktab Melayu Kuala Kangsar dari tahun 1933 hingga 1944.

Kemudian, baginda melanjutkan pelajaran ke Raffles College Singapura pada tahun 1941, tetapi ia terganggu apabila meletusnya Perang Dunia Kedua.

Semasa pemerintahan Jepun, baginda berkhidmat sebagai pegawai di Pejabat Tanah, Seremban manakala dari 1946 hingga 1947, baginda bertugas sebagai Penolong Pegawai Daerah di Rembau, Negeri Sembilan.

Baginda juga pernah berkhidmat sebagai Penolong Setiausaha Kerajaan di Ipoh dan Pegawai Daerah di Tampin, Negeri Sembilan.

Tuanku Ja'afar meneruskan pengajian yang tertangguh disebabkan Perang Dunia Kedua, dengan memperoleh Ijazah Undang-undang LL.B di Universiti Nottingham, United Kingdom pada tahun 1951.

Semasa berada di Britain, baginda juga mengambil peluang untuk mengikuti beberapa kursus ikhtisas seperti Kursus Pentadbiran di Balliol College Oxford, Kursus Bidang Ekonomi dan Diplomat di Universiti Oxford.

Sebagai seorang yang dinamik dan berfikiran luas, baginda telah diamanahkan menjawat beberapa tugas penting di luar negera; antaranya sebagai Kuasa Usaha Tanah Melayu di Washington, Amerika Syarikat dan Setiausaha Pertama Suruhanjaya Tetap Persekutuan Tanah Melayu ke Bangsa Bangsa Bersatu di New York dari tahun 1957 hingga 1958.

Baginda juga berkhidmat sebagai Setiausaha Pertama dan Kounselor di Pejabat Pesuruhjaya Tinggi, Tanah Melayu di London, dan kemudian pada tahun 1958 hingga 1962 sebagai Timbalan Pesuruhjaya Tinggi di London.

Baginda dilantik sebagai Duta Malaysia di Republik Arab Bersatu yang beribu pejabat di Kaherah dari tahun 1963 hingga 1965 dan Pesuruhjaya Tinggi ke Nigeria dan Ghana dari tahun 1965–1967.

Tuanku Ja'afar menjadi Canselor Universiti Kebangsaan Malaysia pada 16 April 1976 dan sering menggesa supaya mutu pendidikan negara dipertingkatkan.

Baginda dianugerahkan Doktor Kehormat Undang-Undang oleh beberapa universiti seperti Universiti Filipina (27 Julai 1990), Universiti Nottingham (21 Julai 1995), Universiti Santiago, Chile (28 September 1995) dan Universiti Brunei Darussalam (11 September 1996).

Baginda pernah menerima Anugerah Pingat Keamanan Dunia Sri Chin Moy Centres International pada 11 Disember 2005 yang disampaikan oleh Sri Chin Moy yang mengasaskan pertubuhan antarabangsa itu sebagai menghargai sumbangan dan jasa baginda dalam kemajuan pendidikan, perkhidmatan awam, sukan, serta memartabatkan nama Negeri Sembilan dan Malaysia di mata dunia.

Tuanku Ja'afar dan keluarga juga turut dikenali sebagai "Keluarga Diraja Sukan" kerana baginda sekeluarga meminati sukan kriket, tenis, badminton, skuasy, hoki dan golf di dalam dan luar negara.

Baginda meninggalkan Tuanku Ampuan, Tunku Najihah Almarhum Tunku Besar Burhanuddin, tiga putera dan tiga puteri iaitu Tunku Dara Naquiah, Tunku Laxamana Tunku Naquiyuddin, Tunku Imran, Tunku Jawahir, Tunku Irinah dan Tunku Putera Nadzaruddin.

Diarah bayar AS$1 juta

Keluarga diraja Negri Sembilan yang diterajui oleh Tuanku Ja’afar mempunyai pegangan dalam beberapa buah syarikat, termasuk Antah Holdings, sebuah konglomerat yang terbabit dalam bidang kewangan, industri minyak dan gas serta dalam bidang pembuatan.

Pada 15 Oktober lalu, Mahkamah Khas yang ditubuhkan untuk mendengar kes membabitkan kerabat diraja hari ini mengarahkan Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Ja'afar Tuanku Abdul Rahman, membayar AS$1 juta (AS$1 = RM3.4) kepada Standard Chartered Bank Malaysia Berhad (SCBMB) selepas memutuskan Tuanku Ja'afar perlu mematuhi terma-terma dalam surat kredit.

Mahkamah juga mengetepikan saman balas Tuanku Ja'afar terhadap bank berkenaan untuk mengisytiharkan bank itu tidak berhak mengikut undang-undang untuk melepaskan simpanan tetapnya bagi menyelesaikan bayaran AS$1 juta itu.

Saman itu dikemukakan setelah Tuanku Ja'afar, pada atau kira-kira pada 12 Februari 1999, memperoleh melalui Standard Chartered Bank, satu surat kredit tunggu sedia (SBLC) bernilai AS$1 juta untuk Connecticut Bank of Commerce (CBC) di Amerika sebagai kemudahan kredit yang diberi kepada sebuah syarikat Amerika dikenali sebagai Texas Encore LLC (TEC).

TEC, yang bergiat dalam bidang pengeluaran getah tayar, sepatutnya menggunakan wang itu bagi membuka dan mengendalikan sebuah kilang yang terletak di kawasan kilang Ford Motors, di Detroit, Michigan, Amerika. Malaysiakini.

Nilai sepasang kasut.

“Hai orang-orang yang beriman, bertaubatlah kepada Allah dengan taubat yang semurni-murninya, mudah-mudahan Tuhan kamu akan menghapus kesalahan-kesalahanmu dan memasukkan kamu ke dalam surga.” (QS. At-Tahrim: 8).

Kebiasaannya harga kasut lebih mahal berbanding dengan harga topi atau kopiah. Tetapi kalau dilempar dengan kasut, kita mengganggapnya suatu penghinaan dan melempar topi adalah kepuasan dan menandakan suautu kegembiraan. Mungkin kerana kasut digunakan di bagian paling rendah dari tubuh manusia, sedangkan topi digunakan di bagian tubuh paling atas. Namun menurut Rasulullah SAW, dengan kasutlah seorang pelacur memberi minum seekor anjing yang kehausan sehingga diampuni dosanya dan dijanjikan surga.

Sebagaimana yang dilakukan oleh seorang wartawan Iraq, Muntazer yang melemparkan sepasang kasutnya kepada Bush merupakan suatu penghinaan yang menyebabkan dia dianggap wira oleh umat Islam bukan saja dinegaranya tetapi oleh umat Islam seluruh dunia.

Dalam suatu hadits riwayat Bukhari dari Abu Hurairah, “Seorang wanita pezina diampuni dosa-dosanya. Dia mendapati seekor anjing yang sedang berada di pinggir sumur yang sedang menjulurkan lidahnya. Nabi SAW bersabda, ’Ia (anjing itu) hampir mati karena kehausan.‘ Lalu wanita itu melepaskan kasutnya dan mengikat dengan tudungnya dan mengambil air dengannya untuk (memberi minum) anjing itu. pekerjaan itu mengampunkan dosanya.”

Kisah itu menjadi pengajaran berharga bagi kita. Di antara jika ampunan dosa dari Allah boleh diperolehi seseorang hanya kerana memberi minum seekor anjing, lalu bagaimana dengan orang-orang yang memberi makan manusia yang lapar, memberi minum manusia yang kehausan, memberitahukan jalan kepada manusia yang tersesat, memberi bantuan (lain) kepada manusia yang memerlukan? Oleh karena itu, tersangat penting bagi kita menolong orang lain yang memerlukan walaupun dalam keadaan yang menurut sebahagian manusia tidak begitu berharga, tetapi yakinlah ia berharga dalam pandangan Allah.

Amaran pada Umno:Usah 'permain' Hudud, Qisas

KUALA TERENGGANU, 26 Dis : - Tindakan menentang Hudud dan Qisas bukan sahaja melibatkan akidah seseorang tetapi dilihat sebagai 'menderhaka' kepada Sultan Terengganu yang telah memperkenankan Enakmen Jenayah Syariah Hudud dan Qisas di negeri Terengganu ini.

Angkatan Muda Keadilan (AMK) Negeri Terengganu tidak teragak-agak untuk mengadap dan menghantar memorandum kepada Duli Yang Maha Mulia Sultan Terengganu, sekiranya Umno-Barisan Nasional tidak menghentikan permainan politik murahan berkaitan isu hukum Hudud dan Qisas

Ketuanya, Fariz Musa berkata isu Hudud dan Qisas tersebut sengaja ditimbulkan oleh Naib Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin dengan tujuan memerangkap Naib Presiden PAS, Dato' Paduka Husam Musa dan menimbulkan polimik khususnya di kalangan masyarakat bukan Islam ketika berdebat di Kota Bharu, Kelantan baru-baru ini.

"Tujuan Khairy tidak lain adalah untuk menakut-nakutkan masyarakat Cina khusus di Parlimen Kuala Terengganu yang akan menghadapi Pilihan raya Kecil tidak lama lagi,"katanya yang dipetik dari laman web Buletin Online melalui wartawannya, SM Noor.

Beliau berkata demikian dalam sidang media yang diadakan di pejabat Perhubungan Parti Keadilan Rakyat Terengganu, Gong Kapas, semalam.

Beliau berkata isu Hudud dan Qisas tidak perlu dipolitikkan oleh Umno kerana ianya merupakan isu yang lapuk dan tidak akan memberikan apa-apa kesan kepada para pengundi berketurunan Cina di Kuala Terengganu dan rakyat Terengganu amnya.

Katanya, ia adalah kerana masyarakat keturunan Cina khususnya dan rakyat Terengganu amnya tidak jahil, telah arif dan matang berkaitan Hudud dan Qisas kerana mereka telah diberikan pengetahuan dan penjelasan oleh Kerajaan Negeri Terengganu sewaktu PAS memerintah Negeri Terengganu.

"Kerajaan PAS Terengganu telah membawa Enakmen Kesalahan Jenayah Hudud dan Qisas Terengganu 2002 kedalam Dewan Undangan Negeri dan diluluskan sebulat suara. Enakmen tersebut juga telah mendapat perkenan Sultan Terengganu, Tuanku Sultan Mizan Zainal Abidin pada 2 September 2002 dan kemudiannya diwartakan pada 25 September 2002.

"Walaupun masih belum berkuatkuasa namun kerajaan Umno-BN yang merampas kembali pemerintahan dari PAS pada tahun 2004 tidak menolak dan meminda Enakmen tersebut, di mana dalam kerajaan Umno-Barisan Nasional itu termasuk seorang wakil bukan Islam iaitu dari MCA,"jelas Fariz.

Katanya wakil MCA tersebut sehingga hari ini tidak pernah menyuarakan apa-apa ketidakpuasan hati terhadap enakmen itu yang telah menjadi sebahagian daripada undang-undang bagi negeri Terengganu.

Sehubungan dengan itu beliau berkata, sebenarnya Umno sudah terdesak dan tidak mempunyai isu sehingga isu hudud dan qisas cuba dipolitikkan .

"Khairy sebenarnya yang masuk perangkap sendiri dan akan menjadi liabiliti kepada Umno dan Barisan Nasional dalam pilihan raya kecil P036 Kuala Terengganu.

"Beliau harus sedar bahawa Enakmen Hudud dan Qisas telah menjadi undang-undang yang diperkenan oleh Sultan Mizan Zainal Abidin,"tegasnya.

Justeru katanya sebarang tindakan menentang atau mepelekehkan Hudud dan Qisas bukan sahaja membawa kepada menghina Islam dan implikasi aqidah, malah boleh dilihat sebagai 'menderhaka' kepada Sultan Terengganu yang telah memperkenankan Enakmen Jenayah Syariah Hudud dan Qisas di negeri Terengganu ini.

Beliau juga mendesak agar semua pihak menghentikan segera sebarang perbahasan isu politik murahan Hudud dan Qisas yang cuba dimainkan oleh Umno-Barisan Nasional.

"Semua pihak termasuk parti-parti yang bergabung dalam Pakatan Rakyat harus lebih matang menghadapi karenah Umno yang sudah 'bankrup'dan mestilah mengambil pendekatan tidak melayan sebarang propaganda yang cuba dicetuskan oleh Umno-BN dan media arus perdana,"tambahnya.-

Sumber : Harakahdaily.net