27 December 2008

Dewan Ulama PAS : Penerangan mengenai hudud sebelum dilaksana.

KOTA BHARU 26 Dis. - Sayap utama dalam PAS iaitu Dewan Ulama Pas menyifatkan pelaksanaan hudud dan qisas di negara perlu didahulukan dengan penerangan kepada semua pihak sebelum ia dilaksanakan.

Ketua Dewan Ulama PAS Pusat, Datuk Mohamed Daud berkata, perkara utama yang akan ditekankan jika pakatan pembangkang memerintah Malaysia ialah keamanan dan keadilan kepada rakyat di negara ini.

Beliau berkata, hudud dan qisas sukar untuk dilaksanakan secepat mungkin kerana masih ramai yang tidak memahami kebaikan hukum tersebut.

"Apa yang penting kita hendak mencari keamanan dan keadilan dahulu, selepas itu kita akan memberikan penerangan kepada semua pihak agar mereka dapat menerimanya. Ini hukum Allah bukan hukum yang direka oleh Pas." Tegasnya.

"Pun begitu ia tidak lari daripada dasar perjuangan PAS . Apabila pakatan memerintah tidak jadi masalah untuk dilaksanakan cuma perlu sedikit masa saja lagi supaya semua dapat memahaminya," katanya di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai pendirian parti itu dalam melaksanakan hudud dan qisas di negara jika pakatan pembangkang memerintah.

Naib Presiden Pas, Datuk Husam Musa menegaskan dalam satu wacana di sini beberapa hari lepas bahawa Pas akan melaksanakan hukum hudud sekiranya pakatan pembangkang dapat memerintah.

Kenyataan itu disusuli oleh media arus perdana yang menyiarkan kenyataan beberapa rakan dari DAP menggambarkan masalah hudud masih memerlukan penjelasan.

Apa yang berlaku terdapat pihak tertentu yang sering memutar belit isu berkenaan denga agenda tersembunyinya seolah-oleh banyak pihak yang tidak dapat menerima pelaksanaan hukum tersebut.

Mohamed merupakan salah seorang daripada panel yang merangka Enakmen Kanun Jenayah Syariah Kelantan sewaktu parti itu mengambil alih pemerintahan negeri ini pada tahun 1990.

"Kita pernah memberikan penerangan kepada DAP berhubung isu ini, tetapi yang faham hanya mereka yang datang, yang tidak datang tetap tidak faham.

"Insya-Allah selepas ini Dewan Ulama akan mengadakan kempen besar-besaran untuk memberikan penerangan mengenai hudud dan ia tambah mudah sebab kita menguasai lima negeri," katanya.

Katanya, parti itu akan terus memberikan penerangan tentang kebaikan hukum hudud dan qisas sehingga semua pihak dapat menerimanya walaupun ia terpaksa mengambil sedikit masa.

"Kita akui memang hudud dan qisas tidak dapat dilaksanakan serta merta sekiranya dapat memerintah negara ini," katanya.

Hudud: DAP hormati PAS,bukan Islam tidak terjejas

IPOH, 25 Dis :-Masyarakat bukan Islam di negara ini tidak akan terjejas dengan pelaksanaan hukum hudud.

Menurut Naib Pengerusi DAP, M Kulasegaran, beliau menghormati pendirian PAS dalam pelaksanaan hukum hudud dan yakin bukan Islam di negara ini tidak akan terjejas kehidupan mereka jika ia dilaksanakan.

Mengulas situasi dan suasana pilihan raya kecil Kuala Terengganu, Kulasegaran menambah bahawa,para pengundi Cina tidak akan terpengaruh dengan isu hudud menjelang pilihan raya kecil di sana.

Menurutnya, mereka matang dan mampu melihat dengan lebih jelas permainan yang cuba dibawa oleh Barisan Nasional (BN).

"Perkara ini telah didebat banyak kali.Tiada yang baru,"katanya kepada wartawan selepas perasmian pusat khidmat masyarakat Adun Jelapang (DAP),Hee Yit Foong.

Tambahnya, dia menghormati pendirian PAS untuk melaksanakan hudud dan ia merupakan inspirasi parti tersebut.

"Ia masih memerlukan perubahan perlembagaan persekutuan,"jelasnya sambil menegaskan PAS akan sukar mendapat majoriti untuk melakukannya.

Pengundi-pengundi Cina dilaporkan membentuk 11 peratus dalam daftar pemilihan untuk pilihan raya kecil di Kuala Terengganu dan ia penting buat BN.

Kulasegaran yang juga merupakan Ahli Parlimen Ipoh Barat menegaskan,seandainya hukum hudud dilaksanakan gaya hidup masyarakat bukan Islam tidak akan mendapat kesan.

"Ia adalah pendirian PAS. Saya hormati pendirian mereka.Itu merupakan urusan mereka,"tegasnya.

http://www.harakahdaily.net.