17 December 2008

PAS mahu tindakan telus dalam pencegahan rasuah

KUALA LUMPUR, 15 Dis - Timbalan Presiden PAS, Ustaz Nasharudin Mat Isa meminta agar kerajaan mengamalkan dasar dan tindakan yang lebih telus dalam pelaksanaan rang Undang-undang Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Beliau yang juga Ahli Parlimen Bachok berkata demikian dalam perbahasan rang undang-undang SPRM di Dewan Rakyat hari ini.

"Lembaga Penasihat yang dilantik oleh Yang Di Pertuan Agong seramai tujuh orang merupakan jumlah yang sedikit dan tidak mewakili segmen utama dalam masyarakat, sebagai contoh mempelbagaikan segmen dan bidang iaitu segmen agama,"katanya kepada sidang dewan.

tegasnya, ini disebabkan jenayah rasuah itu sendiri bukan sekadar kesalahan dari sudut undang-undang bahkan juga merupakan kesalahan dari segi agama.
Beliau turut mengulas pelantikan lima orang ahli jawatankuasa aduan dalam SPRM oleh menteri yang dianggap tidak bebas.

"Ia tidak sepatutnya dilantik oleh menteri bagi memastikan ia benar-benar bebas," ujarnya.

Dalam pada itu, Nasharudin sempat menempelak Umno-BN yang kini sedang giat memberikan habuan wang kepada penduduk terengganu menjelang Pilihan raya kecil Parlimen Kuala Terengganu pada 17 Januari akan datang.

"Kita lihat kini rakyat Terengganu dibayar royalti sebanyak RM400 juta, rasuah kah ini? kerana rasuah merupakan suapan untuk tujuan tertentu.

"Sinonimnya keadaan ini berlaku sebaik sahaja PRK diumumkan di Kuala Terengganu seolah-olah ianya merupakan rasuah berskala besar kini telah diterima umum sebagai norma sebaik sahaja tibanya pilihan raya kecil," katanya lagi.

Pada masa yang sama, beliau juga menegaskan ia merupakan perilaku kerajaan pusat yang sering menyalah gunakan kuasa dalam PRK seperti mana sebelum ini.

Terdahulu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz membacakan rang undang-undang SPRM buat kali kedua.

Beliau berkata, kerajaan telah bersetuju untuk meningkatkan keupayaan BPR sedia ada dengan menambah 5,000 anggota dalam tempoh lima tahun bagi membantu BPR mempercepat proses penyiasatan dan memberi perkhidmatan pencegahan rasuah yang lebih baik kepada masyarakat.mr - HarakahDaily_

Harga petrol, diesel turun kali ke-7

PUTRAJAYA 15 Dis. – Kerajaan hari ini menurunkan lagi harga petrol dan diesel sebanyak 10 sen seliter berkuat kuasa tengah malam ini, kali ketujuh sejak Ogos lalu sejajar dengan penurunan harga minyak mentah di pasaran.

Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dalam satu kenyataan berkata, petrol RON97 diturunkan daripada RM1.90 kepada RM1.80 seliter, manakala petrol RON92 dan diesel masing-masing daripada RM1.80 kepada RM1.70 sen seliter.

“Penurunan harga runcit petrol dan diesel sebanyak 10 sen seliter ini adalah sejajar dengan penurunan harga minyak mentah di pasaran.

“Berkuat kuasa tarikh yang sama (tengah malam ini) juga, harga petrol dan diesel bersubsidi bagi nelayan diturunkan sebanyak 13 sen seliter daripada RM1.43 kepada RM1.30 seliter seperti mana yang telah diumumkan sebelum ini,” kata Perdana Menteri.

Penurunan harga petrol dan diesel itu dibuat ketika harga minyak mentah di pasaran dunia hari ini berlegar pada kadar AS$47.35 (RM165.73) setong.

Harga minyak petrol dan diesel mengalami kenaikan tertinggi pada Jun lalu apabila kerajaan menaikkan harga runcit petrol kepada RM2.70 seliter dan diesel kepada RM2.58 seliter ketika harga minyak mentah dunia meningkat sekitar AS$125 setong.

Bagaimanapun dua bulan kemudian iaitu pada 23 Ogos, kerajaan menurunkan harga runcit petrol RON97 sebanyak 15 sen menjadikannya RM2.55 seliter.-Utusan Malaysia-

Bush dibaling kasut

BAGHDAD 15 Dis. – Seorang wartawan Iraq membaling sepasang kasut ke arah Presiden Amerika Syarikat (AS), George W. Bush semasa lawatan perpisahan beliau ke Iraq, semalam.

Insiden itu menonjolkan kebencian mendalam yang terus dirasai di negara ini terhadap Bush yang mengakui perang di Iraq masih belum dimenangi.

Wartawan berkenaan, Muntazer al-Zaidi bangun sewaktu Bush mengadakan sidang akhbar bersama-sama Perdana Menteri Iraq, Nuri al-Malik seraya menjerit dalam bahasa Arab, “ini kucupan perpisahan untuk kamu, anjing!” lalu membaling kasut yang dipakainya.
DIAIBKAN... (Gambar besar) Muntadar Al-Zeidi bangun secara tiba-tiba dari tempat duduk bahagian pemberita dengan memegang kasut di tangan kanannya ketika Bush dan Perdana Menteri Iraq, Nuri Al-Maliki mengadakan sidang akhbar bersama di Baghdad, semalam manakala gambar di bawah (dari kiri ke kanan) dia melontar kasut ke arah Bush sambil melaungkan “Ini kucupan perpisahan untuk kamu, anjing! Ini salam perpisahan daripada balu, anak yatim dan mereka yang terbunuh di Iraq.” Bush mengelak kasut yang dilontar dan berselindung di sebalik rostum ketika Muntadar mencapai satu lagi kasutnya sebelum melontar ke arah Bush sambil diperhatikan oleh Nuri Al-Maliki yang tergamam. – APn
“Ini salam perpisahan daripada balu, anak yatim dan mereka yang terbunuh di Iraq,” jerit Muntazer, wartawan untuk televisyen Al-Baghdadia, sebuah stesen milik Iraq berpangkalan di Kaherah.-utusan