10 December 2008

Arif Shah hadir program PKR.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seberang Jaya, Datuk Arif Shah Omar Shah yang sebelum ini dikaitkan dengan Parti Keadilan Rakyat (PKR) hari ini dilihat menghadiri majlis anjuran parti pembangkang itu.

Perkembangan itu sekali gus menimbulkan semula cakap-cakap mengenai cubaan untuk membawa bekas Ketua Pemuda dan Bendahari UMNO Bahagian Permatang Pauh itu menyertai pembangkang.

Pada majlis kenduri sempena sambutan Aidiladha anjuran PKR di surau Permatang Rawa di sini, Arif dilihat bersalaman dengan Penasihat parti itu, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika hendak meninggalkan majlis tersebut.

Ketika itu, Anwar baru sahaja tiba di surau tersebut bersama Timbalan Ketua Menteri I, Fairus Kamaruddin, pemimpin yang disebut-sebut akan digantikan oleh Arif jika beliau bersetuju menyertai PKR.

Arif Shah yang ditemui selepas itu bagaimanapun menegaskan, pertemuan itu berlaku secara kebetulan dan beliau menghadiri majlis tersebut selepas dijemput oleh kariah surau berkenaan baru-baru ini.

''Pertemuan ini bukan dirancang. Kebetulan saya hadir atas jemputan rakan-rakan dan dapatlah saya bertemu dengan penduduk sekitar kawasan saya," katanya.

Ketika diminta oleh seorang jurugambar untuk mengambil gambar bersama Anwar, Arif menolak dengan baik sambil berkata: ''Saya dah lambat... ini dok kalut nak pergi majlis lain pula."

Baru-baru ini Zaid Ibrahim dipecat keahliannya serta merta daripada Umno kerana kesalahan melanggar etika parti termasuk yang terkini menghadiri Kongres Tahunan Nasional Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Mengulas tindakan tersebut Abdullah Ahmad Badawi berkata Majlis Tertinggi (MT) Umno memutuskan tindakan berkenaan berdasarkan beberapa tindakan Zaid sebelum ini khususnya apabila menghadari sebagai tetamu jemputan ke majlis anjuran parti pembangkang.

Persoalannya adakah tindakan Arif juga boleh dikategorikan menyalahi etika atau sebaliknya. Kita tunggu dan lihat apa komen pemimpin BN selepas ini.

Pohon perkenan sebelum buat kenyataan: Raja Nazrin

IPOH: Raja Muda Perak Raja Dr Nazrin Shah hari ini mengingatkan Menteri Besar, Exco kerajaan negeri dan Pengarah Jabatan Agama Islam Perak agar tidak membuat sebarang kenyataan mengenai isu agama Islam sebelum mendapat perkenan daripada Sultan Perak Sultan Azlan Shah.

Raja Dr Nazrin bertitah sebarang perkara yang berkaitan dengan hal ehwal agama Islam hendaklah dirujuk terlebih dahulu kepada baginda (Raja Dr Nazrin) selaku Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak untuk dipersembah bagi mendapat perkenan Sultan Perak sebelum sebarang kenyataan mengenainya dikeluarkan

"Beta juga mengingatkan kepada Memanda Menteri Besar, Pengerusi Jawatankuasa Agama, Pendidikan Islam, Wanita dan Kebajikan, Pengarah serta kakitangan Jabatan Agama Islam Perak untuk terlebih dahulu merujuk kepada Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak, untuk diangkat sembah mendapatkan perkenan Sultan sebelum membuat apa-apa kenyataan awam dan kenyataan media bagi apa juga perkara yang jelas terletak di bawah bidang kuasa Sultan," titah baginda pada Persidangan Ke-164 Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak di sini.



Baginda turut menegaskan bahawa selain sebarang keputusan oleh Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan, proses permulaan untuk menimbang, memutus dan mengeluarkan fatwa juga hendaklah terlebih dahulu dirujuk untuk mendapat perkenan daripada Majlis Raja-Raja.

"Apa yang berlaku pada masa ini, terdapat satu lagi forum dikenali sebagai Muzakarah Jawatankuasa Fatwa. Badan ini telah melakukan pengumuman sesuatu fatwa secara langsung tanpa terlebih dahulu menyembahkannya kepada Majlis Raja-Raja.

"Keadaan ini jika tidak diperbetulkan boleh menimbulkan kekeliruan," titah baginda.

Raja Dr Nazrin bertitah pada masa yang sama perlu diingatkan bahawa Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) juga tidak mempunyai sebarang kuasa perundangan untuk memberi arahan pentadbiran kepada pentadbiran agama Islam di negeri.

"Demi menjamin hubungan yang harmoni dapat dijalin, adalah penting untuk bidang kuasa Jawatankuasa dan Jabatan masing-masing sentiasa difahami dan dihormati; terutama sekali untuk sentiasa memahami dan menghormati kedudukan, hak, kelebihan, kedaulatan dan kuasa-kuasa yang ada pada Raja mengikut yang telah diperuntukkan di dalam Perlembagaan Malaysia dan dalam Perlembagaan Negeri," titah baginda.

Raja Dr Nazrin juga mahu pengurusan masjid baik daripada segi pengurusan kewangan, keharmonian dan kegiatan perlu berasaskan program keilmuan yang inovatif dan kreatif serta memastikan masjid bebas daripada disalahgunakan bagi kegiatan politik berparti dan khutbah yang menyimpang yang boleh memecah-belahkan ummah.

"Untuk maksud memantau aktiviti masjid dari menyimpang, Beta dengan ini menitahkan Orang Besar Jajahan, Pegawai Tadbir Agama Daerah, Penghulu serta Polis Diraja Malaysia menyembahkan laporan secara mingguan sebaik sahaja berlakunya kegiatan yang menyimpang di dalam masjid di daerah atau jajahan masing-masing, terutama dari segi kandungan khutbah dan kandungan tazkirah," titah baginda. - Bernama

Pengerusi BBC dan ADUN Jalong serah lembu korban.

KUALA KANGSAR, 7 Dis :-Penduduk Kampung Baru Tasik Perkasa yang rata-ratanya berkerja dalam bidang pertanian seperti penoreh getah, dan pekebun sawit dengan Ketua Kampung Pakatan Rakyat yang baru, Dahari Mat Doran menerima kunjungan tetamu Istimewa iaitu Pengerusi BBC, Drs. Khalil Idham Lim dan ADUN Jalong YB.Leong Mee Meng hari ini.

Kunjungan tersebut adalah dalam rangka menyerah wang sumbangan untuk membeli seekor lembu bagi ibadah korban pada tahun ini. Kehadiran rombongan disambut oleh ketua kampung bersama dengan beberapa JKKK setempat.


Drs. Khalil dan YB. Leong menyerahkan sumbangan.


Sebelum diadakan majlis penyerahan, Drs. Khalil bertanyakan masalah yang timbul dalam pentadbiran JKKK tersebut. Antara perkara yang timbulkan ialah masalah pengisian 65 lot kampung tersusun tersebut yang masih kosong..

Ketua kampung juga melaporkan mengenai keadaan dewan yang telah diambil kelengkapannya oleh pihak yang tidak bertanggung jawab.Antara yang hilang adalah langsir, kerusi, meja, almari, komputer dan pingang mangkuk.


Ketua kampung juga berharap supaya pihak Kerajaan memerhatikan hasrat JKKK untuk mendapatkan sebuah dewan sebaguna ditapak tanah kosong yang terdapat dikampung tersebut.

JKKK juga menyerahkan surat kepada Drs. Khalil untuk disampaikan kepada pihak YAB Menteri Besar.