03 December 2008

Kerajaan Somchai tumbang

Mahkamah Perlembagaan Thailand semalam membubarkan tiga parti utama pakatan kerajaan dan mengharamkan Perdana Menteri, Somchai Wongsawat, daripada terbabit dalam politik, sekali gus menjatuhkan kerajaan yang sejak Ogos lalu berdepan dengan bantahan penunjuk perasaan.

Berikutan keputusan mahkamah itu, kumpulan antikerajaan yang diketuai Pakatan Rakyat Untuk Demokrasi (PAD), memutuskan menamatkan tunjuk perasaan jalanan selama enam bulan, termasuk menawan pusat pentadbiran negara di Rumah Kerajaan dan menutup dua lapangan terbang utama Bangkok, hari ini.

Sehubungan itu, pihak berkuasa berkata Lapangan Terbang Antarabangsa Suvarnabhumi akan memulakan semula operasinya Jumaat ini dengan penerbangan ke Rom dan Sydney selepas ditutup sejak seminggu lalu apabila beribu penunjuk perasaan menduduki kemudahan itu dan Lapangan Terbang Don Muang, menyebabkan hampir 350,000 penumpang terkandas.


Somchai yang dilarang mahkamah daripada terbabit dalam politik selama lima tahun selepas partinya, Parti Kuasa Rakyat (PPP) bersama dua parti pakatannya, Machima Thipatai dan Chart Thai, dibubarkan atas kesalahan penipuan undi pada pilihan raya umum 2007, akur dengan keputusan itu.

“Tugas saya sudah selesai. Saya kini seorang rakyat biasa,” kata Somchai, 61, kepada wartawan di Chiang Mai.

Beratus penyokong kerajaan berhimpun di luar bangunan mahkamah di Bangkok yang dikawal polis antirusuhan ketika hakim mengumumkan keputusan pembubaran itu.

Ahli Parlimen pakatan enam parti yang memerintah berikrar untuk membentuk kerajaan baru tanpa Somchai pada 8 Disember ini - satu perkembangan yang mungkin mencetuskan semula bantahan PAD.

“Keputusan itu tidak memeranjatkan kami,” kata Jakrapob Penkair seorang pemimpin parti kerajaan.

“Ahli kami di Parlimen akan menubuhkan kerajaan baru kerana kami masih mempunyai majoriti,” katanya.

Sementara Perdana Menteri dan kerajaan baru dipilih Parlimen, Timbalan Perdana Menteri Pertama, Chavarat Charnvirakul akan menjalankan tugas sebagai Perdana Menteri Sementara, kata jurucakap kerajaan.

Somchai, seorang bekas peguam hanya menjadi Perdana Menteri selama tiga bulan selepas mengambil alih daripada Samak Sundaravej yang meletak jawatan 9 September lalu apabila Mahkamah Perlembagaan memutuskan beliau melanggar Perlembagaan dengan menjadi hos rancangan masakan di televisyen.

Samak sendiri menjadi Perdana Menteri selepas memenangi pilihan raya pada 2007 yang diadakan berikutan rampasan kuasa oleh tentera yang menggulingkan sekutunya, Thaksin Shinawatra pada 2006. - AFP/Reuters

Harga minyak turun lagi.

Harga minyak petrol dan diesel masing-masing turun 10 sen seliter berkuatkuasa mulai tengah malam ini.

Berikutan itu, harga petrol RON97 dikurangkan dari RM2.00 seliter kepada RM1.90 seliter dan harga petrol RON92 pula dikurangkan dari RM1.90 seliter kepada RM1.80 seliter.

Manakala diesel dikurangkan daripada RM1.90 seliter kepada RM1.80 seliter.

Penurunan harga minyak bagi kali keenam ini diumumkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi hari ini.

Katanya, keputusan untuk menurunkan lagi harga minyak dibuat ekoran harga minyak dunia yang turun secara ketara akhir-akhir ini.

Perdana menteri berkata, Kerajaan telah membuat keputusan untuk sekali lagi mempercepatkan pengurangan harga runcit bagi membolehkan orang ramai menikmatinya.

Kali ini kerajaan menurunkan harga minyak sebanyak 10 sen seliter berbanding 15 sen sebelum ini.

Zaid Ibrahim dipecat dari Umno

Datuk Zaid Ibrahim dipecat dari Umno ekoran tindakan bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu menghadiri perhimpunan parti pembangkang.

Keputusan tersebut dibuat dalam mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) yang berlangsung malam ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata, pemecatan Zaid itu berkuatkuasa serta merta.

Menjawab soalan pemberita dalam sidang akhbar selepas mesyuarat tersebut, Abdullah berkata, Zaid juga tidak boleh merayu terhadap pemecatannya itu.

Sabtu lalu, Zaid menghadiri majlis perasmian kongres nasional PKR di Stadium Malawati, Shah Alam.

Zaid juga dilaporkan berkata, beliau datang sebagai tetamu selepas menerima undangan daripada pucuk pimpinan PKR.

Jelas Zaid lagi, kehadirannya adalah untuk mendengar apa yang diperkatakan pucuk pimpinan dan perwakilan PKR mengenai keadaan semasa dalam negara.

Surat tunjuk sebab

Awal bulan lalu, Zaid Ibrahim menerima surat tunjuk sebab dari Umno berkaitan dengan surat terbukanya kepada perdana menteri dan perjumpaannya dengan ahli-ahli Parlimen berhubung desakan memansuhkan ISA.

Parti itu meminta penjelasannya kerana turut sama menyertai majlis anti-ISA anjuran Pakatan Rakyat di Parlimen.

Zaid meletakkan jawatan sebagai menteri kabinet kerana membantah tindakan kerajaan menggunakan ISA terhadap ahli Parlimen Teresa Kok, penulis blog Raja Petra Kamarudin dan wartawan Sin Chew Tan Hoon Cheng, September lalu.

Beliau juga turut melepaskan jawatan senator.

Pada 29 September lalu, Zaid menulis sepucuk surat terbuka kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, menggesa beliau supaya memansuhkan ISA.

Zaid turut menjadi sasaran apabila beliau, dalam ucapannya, telah mempersoalkan status orang Melayu.

Berikutan itu, beberapa pemimpin Umno mendesak parti itu mengambil tindakan terhadap Zaid.

'Tiada pilih kasih'

Abdullah berkata, tindakan dikenakan ke atas Zaid dibuat kerana Umno perlu konsisten dalam tindakannya dan memastikan tidak wujudnya pilih kasih dalam mengambil tindakan displin terhadap anggotanya yang didapati bersalah.

Ada tindakan-tindakan Zaid yang dilihat sebagai perkara yang menyalahi (peraturan) parti," katanya.

Mengikut perlembagaan parti, anggota yang telah dipecat tidak boleh membuat rayuan.

Sementara itu, Ketua Umno bahagian Petaling Jaya Selatan Kapten (B) Zahar Hashim pula digantung keanggotaannya selama tiga tahun kerana membuat beberapa kenyataan mengkritik parti.

Zahar sebelum ini telah membuat aduan kepada Badan Pencegah Rasuah (BPR) terhadap Abdullah yang didakwa telah menyalahguna kedudukannya sebagai presiden Umno menjelang pemilihan parti dan pencalonan.

Beliau juga mendakwa berlaku penyelewengan dalam proses tender kerajaan untuk membeli helikopter baru bagi Angkatan Tentera Udara Malaysia (TUDM).

Isu-isu sensitif

Menyentuh mengenai isu-isu sensitif yang ditimbulkan anggota parti-parti komponen Barisan Nasional (BN), Abdullah berkata perkara itu akan dibangkitkan dalam mesyuarat Dewan Tertinggi BN akan datang dan akan dibincangkan dalam suasana yang terkawal.

Bagaimanapun beliau menasihatkan mereka yang hendak menimbulkan sesuatu perkara atau reaksi yang tidak disenangi oleh kaum lain, perlu bertanggungjawab di atas tindakan yang dibuat.

"Kita semua kena berhati-hati tanpa mengira kaum dan agama. Negara ini mempunyai penduduk pelbagai kaum dan agama. Jadi isu agama dan bangsa boleh menimbulkan reaksi tidak menyenangkan, perlu latih diri supaya dikawal. Tidak bawa apa-apa keuntungan dan kebaikan pada rakyat," katanya.

Ditanya mengenai pendirian Umno yang dikatakan terlalu bertolak ansur terhadap tindakan-tindakan parti komponen BN yang lain, Abdullah berkata: "Itu bukan bermakna kita diam langsung. Kita juga cakap dengan pemimpin-pemimpin berkenaan."

Pilihanraya kecil

Mengenai pilihanraya kecil Parlimen Kuala Terengganu, Abdullah berkata, mesyuarat MT memutuskan supaya persiapan disegerakan.

MT juga, tambah beliau, mengarahkan bahagian-bahagian Umno lain, membantu Umno Terengganu dalam menghadapi pilihanraya kecil tersebut.

Kerusi parlimen tersebut kosong ekoran kematian penyandangnya Datuk Razali Ismail, Jumaat lalu.

Razali yang juga timbalan menteri pelajaran, meninggal dunia ketika bermain badminton di Institut Aminuddin Baki, Genting Highlands sewaktu menghadiri permukiman anjuran Umno Terengganu.

Abdullah juga berkata, soal pemilihan calon bagi pilihanraya kecil tersebut, belum lagi diputuskan.

Bagaimanapun, katanya, Jawatankuasa Pengurusan Umno boleh mencadangkan calon yang layak dan tidak perlu diadakan mesyuarat MT untuk membuat keputusan mengenainya.
malaysiakini.

Kerajaan Perak Umum Hakmilik Selama-lamanya untuk RPT dan Kg. Baru.

IPOH, 2 Disember :- Kerajaan Negeri Perak Pakatan rakyat hari ini mengumumkan mulai hari ini penghuni-penghuni Rancangan Perkampungan Tersusun (RPT) dan Kampung-kampung Baru di seluruh Negeri Perak boleh memohon untuk hakmilik selama-lamanya (In Perpetuity), demikian pengumuman dari Exco Kanan Kerajaan Negeri Perak ,YB Dato' Ngeh Koo Ham dalam Sidang media di Bilik Media Bangunan Perak Darul Ridzuan pagi ini.

Turut hadir dalam sidang media itu ialah Exco Kerajaan Perak, Yb. Mohd Zainuddin Yusuf, YB. Thomas Su dan YB. Tai Sing Ng. Sementara ADUN yang hadir ialah YB. Drs. Khalil Idham Lim( Titi Serong), YB. Ong Boon Piao (Tebing Tinggi) dan YB. Leong Mee Meng(Jalong). Hadir sama ialah Pengarah Urusetia Penerangan Negeri Perak, Ust. Zulkifli Ibrahim.

Permohonan hanya dapat dibuat sekarang kerana Kerajaan Negeri Perak telah mengambil masa beberapa Bulan yang lepas untuk menilai hartanah diseluruh 349 RPT dan 134 Kampung baru di seluruh Negeri Perak.



Dato Ngeh bersama Exco dan ADUN lain dalam sidang media tersebut.


Beliau juga mengumumkan proses permohonan hak milik selama-lamanya ini telah dipersingkatkan kepada 4 proses sahaja dan dapat dikeluarkan dalam masa sehari sahaja jika perlu.

Jumlah Premium yang perlu dibayar adalah 20 % daripada perbezaan nilai tanah hakmilik selama-lamanya dan nilai tanah baki tempoh pajakan. Nilai tanah hendaklah menggunapakai Jadual Penilalain Tanah RPT dan Kg baru yang disediakan oleh jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta (JPPH) Negeri Perak.

Dato' Ngeh juga menjelaskan pemberiaan hak milik ini adalah memenuhi janji parti-parti Pakatan Rakyat dalam pilihanraya lepas. Dasar ini juga merupakan polisi Kerajaan pakatan Rakyat untuk memperkayakan dan memperkasakan rakyat. Jelasnya dasar ini dapat meningkatkan nilai tanah dan rumah sehingga melebihi RM 1.5 billion.

Beliau menafikan tohmahan yang sengaja diputar belit oleh sesetengah parti politik bahawa ia memihak kepada sesuatu kaum sahaja. RPT mempunyai 102,00 hakmilik dan 134 Kg Baru mempunyai lebih kurang 47,000 hakmilik. Kebanyakan RPT adalah orang Melayu dan Kg baru didiami orang-orang Cina. Orang India juga menghuni dikedua-dua pertempatan itu.

Dengan pemberiaan hakmilik itu meleyakkan penghuni-penghuni boleh mendapat pinjaman daripada institusi kewangan untuk membina semula kediaman atau kedai perniagaan yang usang. Kerajaan menjangkakan lebih kurang 20,000 rumah dan kedai perniagaan di RPT dan kg Baru dalam masa 5 tahun akan datang.

Kerajaan juga menggalakkan penghuni di RPT dan kg Baru untuk memohon untuk hakmilik selama-lamanya jika tempoh pajakan hakmilik mereka tamat kerana kadar premium yang dikenakan adalah lebih rendah daripada permohonan untuk pajakan 60 tahun atau 99 tahun. Ini disebabkan diskaun tidak diberikan lagi diberikan pada masa kini untuk permohonan pajakan 60 tahun atau 99 tahun. Jelas Dato' Ngeh dalam sidang media itu.

Menjawab soalan mengenai dakwaan setengah pihak dasar ini menimbulkan masalah pengambilan tanah untuk pembangunan di masa akan datang beliau menafikan dakwaan itu kerana tanah tersebut tetap boleh dibangunkan dengan menggunakan dasar pengambilan tanah yang sedia ada dengan harga semasa yang dibayar kepada pemilik.

Sah, Hillary dicalon Setiausaha Negara AS

CHICAGO: Barack Obama menamakan Senator Hillary Rodham Clinton sebagai Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS) yang baru apabila beliau mengambil alih kepimpinan negara itu bulan depan.

Beliau akan menggantikan Condolezza Rice, dan dijangka muncul sebagai Setiausaha Negara ketiga di kalangan wanita.

Malah, Obama yang dipilih sebagai Presiden AS ke-44 bulan lalu menamakan Robert Gates, yang kini berkhidmat di bawah pentadbiran Presiden George W. Bush, untuk kekal Setiausaha Pertahanan.

Gates memegang jawatan Setiausaha Pertahanan sejak dua tahun lalu.

Dengan pengumuman penting itu yang diumumkan di sini semalam (awal pagi waktu Malaysia), Obama berkata, beliau akan berbincang dengan panglima tentera dan pemerintah sebelum memutuskan tempoh menarik keluar tentera Amerika dari Iraq.

Turut diumumkan ialah Jeneral (B) James Jones sebagai penasihat keselamatan kebangsaan White House, bekas pegawai Jabatan Kehakiman, Eric Holder sebagai Peguam Negara; Gabenor Arizona Janet Napolitano sebagai Setiausaha Keselamatan Dalam Negeri dan Susan Rice sebagai Duta AS ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.

"Saya menghimpunkan pasukan ini kerana saya seorang yang yakin dengan personaliti yang kental dan mempunyai pandangan mantap," kata Obama, yang akan mengetuai White House mulai 20 Januari depan.

"Saya merasakan begitu caranya keputusan-keputusan terbaik dibuat. Salah satu bahayab di White House adalah, berdasarkan saya tentang sejarah, anda berakhir dengan fikiran berkumpulan dan kesemua bersetuju dengan apa semua perkara dan tiada keputusan dan tiada pandangan lain. Justeru, saya mahu menggalakkan perbahasan dalam isu yang dibawa di White House.

"Tetapi, saya akan menetapkan dasar sebagai presiden. Saya akan bertanggungjawab terhadap visi yang pasukan ini bawa dan saya fikir mereka akan melaksanakan visi berdasarkan keputusan yang dibuat," katanya.

Minggu lalu beliau mengumumkan Timothy Geithner sebagai Setiausaha Perbendaharaan.

"Saya bangga untuk menyertai anda...," kata Hillary, bekas wanita pertama White House.

Pelantikan Clinton, Holder, Napolitano dan Rice memerlukan pengesahan Senat. - Utusan