22 October 2008

Rombongan Kerajaan Perak dan KPerak Inc Corp berada di China.

SUZHOU, CHINA, 22 Okt. :- Satu rombongan Jelajah Peluang Perniagaan wakil Kerajaan Perak dan KPerak Inc Corporation berada di China dari 21 Okt hingga 24 Okt 2008 dalam rangka memenuhi jemputan dari Kerajaan Tempatan Daerah Bandar Suzhou, China.

Mesyuarat yang diadakan pada hari pertama.


Kerajaan Perak diwakili oleh Pengerusi Jawatankuasa Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Komunikasi , YB. Su Keong Siong dan ADUN Titi Serong, Drs. Khalil Idham Lim. Manakala KPerak diwakili oleh CEO nya, Dato' Yaacob Nordin dan Ho Hsieh Hsiung(Head, KWorkers Development & Infrastructure Unit) serta ahli rombongan yang lain yang diurus oleh Walter Rhodes Global SSO Center

YB. Su, Drs. Khalil dan Dato' Yaacob mengetuai rombongan Perak

Rombongan perdagangan tersebut telah disambut oleh wakil kerajaan tempatan di Pudong Airport Shanghai dan dibawa ke bandar Xiangcheng, Suzhou.

Pada hari pertama satu mesyuarat resmi dari jam 1.00 petang hingga 5.oo petang telah diadakan antara kedua pihak.
YB. Su Keong Siong telah mengetui taklimat dengan memperkenalkan Kerajaan Perak kepada Wakil-wakil Kerajaan Tempatan.
Semua wakil rombongan telah memberikan penerangan berkaitan syarikat masing-masing terdiri dari KPerak Inc Corporation yang disampaikan oleh Dato' Yaacon Nordin sendiri.

Selain itu syarikat lain ialah Shinjiru Tecnology Sdn. Bhd, SMR Technologies Berhad, CSF Adviser Sdn. Bhd, Esente Communications Sdn Bhd. Metro Education Limited, TESS International Group of Companies dan SEAL Incorporated Berhad.


Makan tengah hari dengan minuman air jus jagung.

Semasa mengalu-alukan kedatangan rombongan dari Perak, Wakil Kerajaan Tempatan Suzhou berharap kedua-dua pihak dapat menjalinkan hubungan yang lebih erat dan mencapai hasil yang direncanakan.

Satu Memorandum Persefahaman (MoU) dan Memorandum Perjanjian(MoA) antara Kperak yang mewakili Kerajaan Prak dengan Kerajaan Tempatan Perbandaran Xiangcheng dan Walter Rhodes SSO Center akan diadakan pada akhir lawatan nanti.

Rais: Kawal rasuah Umno atau buka tender

Jika Umno tidak mengawal amalan rasuah dalam pemilihan barisan pemimpinnya, lebih baik parti itu membuka tender dan sesiapa yang lebih tinggi bidaan akan menjadi ketuanya, kata Datuk Seri Dr Rais Yatim.

"Saya kira mereka yang menyumbang (politik wang), kalau begini lebih baik Umno itu adakan sistem tender, siapa yang lebih tinggi dia jadi ketua.

"Kalau begitu Umno ambil duitnya, siapa yang banyak duit buat bidaan, kan jadi bahan ketawa, tetapi hal macam ni kena dibincang," katanya seperti dilaporkan Bernama.

"Politik wang atau korupsi politik tidak selesai sebab ia sudah menjadi
budaya di dalam Umno sekian lama. Cuma tak ramai yang mahu mengaku perkara ini berjalan.

"Lebih baik kita mengaku dan rakyat menghukum kita bersama-sama supaya orang ramai dapat melihat parti politik ini bersih dari amalan rasuah ataupun tumbuk rusuk dan penggunaan wang secara berleluasa."

Dr Rais, yang juga menteri luar, berkata antara kekangan utama dalam membanteras gejala itu ialah ketiadaan bukti kerana pihak yang terlibat cukup licik dan licin memainkan peranan mereka.

"Masalahnya ialah bukti. Bukti orang memberi cukup sukar sebab pihak-pihak ini memainkan peranan licik dan licin.

"Dalam masa tempoh orang tidur, masa tempoh orang tak sedar tidak dapat diambil gambar, tidak dapat diambil tindakan sebab buktinya tidak ada tapi dalam undang-undang baru Akta Pencegahan Rasuah, saya dapati hal ini dapat diatasi sekiranya laporan daripada pihak-pihak berkenaan ada," katanya.

Umno, kata Dr Rais lagi, tidak cukup berupaya untuk memantau dengan rapi amalan politik wang, justeru lebih wajar jika ia
diserapkan bawah bidang kuasa undang-undang negara, lapor agensi berita itu lagi.

Semalam anggota Majlis Tertinggi Umno itu dilaporkan berkata beliau diminta memberikan wang untuk mendapatkan undi bagi pencalonan jawatan naib presiden yang menjadi sasarannya dalam pemilihan, Mac tahun depan.

Beliau berkata "majoriti" ahli parti itu lebih berminat mengejar wang ketika kempen berlangsung sekarang daripada memilihan pemimpin yang benar-benar layak, lapor sebuah agensi berita.

"Kami didekati dengan berselindung sebalik bantuan dan sumbangan. (Tetapi) saya tidak bersedia (berbuat demikian), jadi anda lihat undi (pencalonan) saya tidak begitu banyak.

"Jika ada ingin turut serta (dalam perebutan jawatan), anda mesti mengiyakannya," beliau dipetik sebagai berkata.

Dr Rais hanya memperolehi enam pencalonan daripada bahagian-bahagian yang bermesyuarat setakat ini, sejak 9 Oktober.

Beliau memerlukan 14 lagi sokongan untuk layak pertandingan.

malaysiakini/kemaskini dari Xiangcheng District,Jiangsu Province, CHINA.

Exco: Peneroka tanah diperdaya k'jaan Pakatan 'prihatin'

Beberapa sindiket menjual tanah Perak secara haram dengan memberi gambaran kepada peneroka haram bahawa kerajaan Pakatan Rakyat itu "prihatin" dan tidak akan bertindak tegas. "Mereka memberi mesej konon kerajaan sekarang akan mengurniakan tanah yang diterokai itu dengan hanya mengenakan denda atau penalti sahaja...

"Kita ingin memberi amaran jangan melanggar undang-undang kerana kerajaan negeri tidak membenarkan tanah diterokai secara haram," tegas pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Pengangkutan Awam, Nga Kor Ming.

Menurut Bernama, beliau berkata mereka yang berbuat demikian boleh dikenakan tindakan mengikut Seksyen 425 Kanun Tanah Negara 1965 yang membawa hukuman denda tidak lebih RM10,000 dan penjara tidak lebih setahun atau kedua-duanya.

"Mereka (sindiket) turut menggunakan nama beberapa exco bagi tujuan menipu mangsa," beliau dipetik berkata.

Tanah bagi tujuan pertanian di daerah Batang Padang dan Manjung dijual dengan harga RM500 hingga RM5,000 seekar.

Nga menambah, kegiatan itu dikesan sejak beberapa bulan lepas dan tidak kurang 10 mangsa dipercayai telah terpedaya, lapor agensi berita itu lagi.

"Kita harap mangsa membuat laporan polis serta membuat aduan kepada kerajaan negeri supaya siasatan dapat dijalankan bagi mengenal pasti dalang terbabit dan tindakan dilakukan bagi mencegah kegiatan berterusan...

"Kita tahu mereka kena tipu dan ada yang malu untuk tampil," katanya pada sidang akhbar di pejabatnya di Ipoh hari ini.

Pengerusi Jawatankuasa Agama, Pendidikan Islam, Wanita dan Kebajikan negeri Mohd Zainuddin Mohd Yusof yang hadir di sidang akhbar itu, mengingatkan bahawa isu penerokaan tanah secara haram boleh merosakkan alam sekitar.

"Isu ini bukan setakat terokai tanah sahaja tetapi perbuatan itu menimbulkan masalah yang lebih besar kerana ia menganggu hutan simpan dan kawasan tadahan air.

"Ia menganggu ekologi dan menyebabkan pelbagai masalah seperti banjir. Mana boleh ganggu hutan sesuka hati," katanya.
malaysiakini/ dari Xiangcheng District,Jiangsu Province, CHINA.

Sokong Presiden PAS, Najib patut bersih dan dibersihkan


PARIT, 20 Okt (Hrkh) - PAS Kawasan Parit menyokong penuh saranan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang agar Perdana Menteri, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi membersihkan nama timbalannya yang bakal mengambil-alih tempatnya Mac depan, di mahkamah kerana terlalu banyak tuduhan terhadapnya. Menurut Ketua Penerangannya, Rafaie Kasini Haji Bahari, imej Dato' Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak yang kini diuar-uarkan sebagai pengganti Abdullah patut dibersihkan reputasinya dengan sebarang cara termasuk dengan menggunakan mahkamah jika Abdullah benar-benar ikhlas untuk melakukan reformasi.

Katanya kepada Harkahdaily sebentar tadi, adalah amat malang bagi rakyat Malaysia, jika Najib dilantik menjadi Perdana Menteri Mac depan dengan imej yang begitu buruk. Oleh itu, tegas beliau, menjadi tanggungjawab Abdullah untuk mempastikan penggantinya bersih dari sebarang rekod buruk atau kes mahkamah.

Saranan Presiden PAS itu juga disokong penuh Setiausaha PAS Kawasan Batu, Haji Ismail Yahya.Dalam satu kenyataannya kepada Harakahdaily, beliau mahu PAS mendesak Perdana Menteri agar menggunakan ruang selama lima bulan ini untuk mempastikan bakal penggantinya seorang yang amanah, bersih dan berakhlak.

"Abdullah boleh menggunakan kuasanya untuk berbuat demikian. Jangan terikat dengan mana-mana pihak. Utamakan kepentingan rakyat. PM suatu jawatan yang penting, jadi pastikan orang yang jadi PM itu bersih atau dibersihkan terlebih dahulu," tegasnya. -dipetik dari sumber HarakahDaily