17 October 2008

Usaha wanita China mencapai kemajuan

Usaha meningkatkan taraf kemajuan wanita China mencapai kejayaan pada tahun-tahun kebelakangan ini. Jurang perbezaan antara wanita dengan lelaki dari segi pendidikan dan kadar mendapat peluang kerja kurang dengan ketara.

Demikian dinyatakan oleh pegawai Persekutuan Wanita Seluruh Negara China.

Sekarang, tempoh penerimaan pendidikan purata bagi kaum wanita mencapai 7.3 tahun. Kira-kira 45% jumlah orang yang bekerja ialah kaum wanita.

Selain itu, sistem undang-undang yang memelihara hak dan kepentingan wanita serta menggalakkan pembangunan usaha wanita juga ditubuhkan dan disempurnakan di China.

Kufur Nikmat

“Dan jika kamu menghitung nikmat Allah, tidaklah sanggup menghitungnya. Sesungguhnya manusia itu, sangat zalim dan mengingkari (nikmat Allah)” (QS. Ibrahim: 34).

Kalaulah jumlah kenikmatan yang kita dapat setiap hari dikurangi dengan jumlah rasa syukur kita kepada Pemberi kenikmatan, sudah pasti kita berhutang banyak. Selisihnya sangat jauh. Sangat sedikit rasa syukur kita kepada Allah, sedangkan kenikmatan kita terima berlimpah ruah. Namun ada juga di antara kita yang kufur nikmat atau tidak mensyukurinya langsung.

Tanda-tanda orang yang tidak mensyukuri kenikmatan atau kufur nikmat, menurut Imam al-Ghazali, tidak cukup dilihat dari keengganannya mengucapkan “alhamdulillah”. Tetapi juga kerana menggunakan kenikmatan pada jalan-jalan yang tidak diridhai Allah. Kenikmatan fikiran yang sihat, misalnya, banyak dicurahkan oleh orang yang kufur nikmat untuk memikirkan hal-hal yang tidak diridhai Allah SWT.

Kalau begitu halnya seseorang itu telah undur kebelakang, sehingga layak dikatakan sebagai manusia yang tidak pandai bersyukur. Sebab, fungsi utama dari kesihatan fikiran sebagai salah satu kenikmatan adalah membantu dalam beribadah dan mendekatkan diri kepada Allah sekaligus dalam berbuat amal sholeh lainnya.

Kerana itu, sepatutnya kita menyedari bahwa terlalu banyak kenikmatan yang tidak mampu dibayar oleh rasa syukur kita. Sehingga kita perlu berterima kasih kehadrat Allah SWT sebanyak-banyaknya dengan meningkatkan sifat takwa dan syukur kepada segala nikmat itu.

Malaysia promosi program pelancongan di Guilin

Ketua pejabat Pelancongan Malaysia di Guangzhou, Encik Suhaimi Shaharuddin mengetuai delegasi yang dianggotai Kumpulan Genting Heran, Syarikat Pelancongan Malaysia dan Syarikat Penerbangan Asia mempromosikan program pelancongan Malaysia di Guilin, Guangxi semalam.

Encik Suhaimi memperkenalkan sumber pelancongan yang kaya di Malaysia. Dengan beroperasinya penerbangan antara Guilin dengan Kuala Lumpur yang disediakan Syarikat Penerbangan AirAsia, telah menjimatkan banyak masa bagi pelancong Guilin ke Malaysia. Ini akan mendatangkan faedah kepada kedua-dua pihak.

AirAsia menyediakan penerbangan dari Kuala Lumpur ke Guangzhou, Hangzhou, Guilin, Shenzhen dan Haikou disamping penerbangan ke Hong Kong dan Macau.

Kenyataan khas Majlis Raja-Raja Melayu

Mesyuarat Majlis Raja-Raja ke-215 yang berlangsung di Istana Maziah di Kuala Terengganu hari ini mengeluarkan satu kenyataan akhbar khas berhubung beberapa perkara yang terkandung dalam Perlembagaan Persekutuan.

Mesyuarat dua hari itu yang berakhir hari ini dipengerusikan Sultan Kedah, Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah.

Berikut adalah salinan penuh kenyataan akhbar khas berkenaan yang dikeluarkan oleh Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja Engku Tan Sri Ibrahim Engku Ngah hari ini.

"Kenyataan akbar yang dikeluarkan oleh Penyimpan Mohor Besar Raja-raja Mengenai Peranan Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong dan Duli-duli Yang Maha Mulia Raja-raja Melayu berhubung dengan hak-hak keistimewaan, kedudukan, kemuliaan atau kebesaran Raja-raja Melayu, Agama Islam, Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, kedudukan istimewa orang Melayu dan kepentingan sah kaum-kaum lain mengikut Perlembagan Persekutuan.

"Raja-raja Melayu yang menghadiri Mesyuarat Majlis Raja-Raja telah berunding mengeluarkan kenyataan akhbar khas bersama pada hari ini.

"Raja-raja Melayu mempunyai peranan perlembagaan untuk melindungi keistimewaan, kedudukan, kemuliaan dan kebesaran Raja-raja Melayu, melindungi Agama Islam, Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan dan kepentingan sah kaum-kaum lain di Malaysia.

"Tindakan pihak-pihak tertentu mempertikai dan mempersoalkan perkara-perkara tersebut yang menjadi asas utama pembentukan negara Malaysia dan termasuk dalam Perlembagaan Persekutuan telah menimbulkan kegusaran dan keresahan di kalangan rakyat.

Sebagai tindakbalas, beberapa pihak terutama pemimpin-pemimpin Melayu sama ada yang berada dalam kerajaan atau pertubuhan bukan kerajaan dan orang perseorangan telah menyuarakan rasa tidak puas hati dan marah terhadap pihak yang membuat kenyataan dan laporan dan menganjurkan forum-forum berkenaan.

"Antara sebab-sebab yang dikenalpasti berlakunya perkara ini ialah kedangkalan pengetahuan pihak berkenaan terhadap latar belakarang sejarah mengapa peruntukan-peruntukan tersebut dimaktubkan dalam Perlembangaan Persekutuan dan pengaruh prinsip-prinsip kesaksamaan dan keadilan yang cuba diimplikasikan di negara ini tanpa berjunjungkan latar belakang sejarah dan keadaan sosial negara ini. Kepentingan politik sempit juga merupakan penyebab berlakunya perkara ini.

"Gejala ini jika tidak ditangani dengan segera boleh menyebabkan negara terjebak dalam kancah perpecahan dan persengketaan antara kaum yang boleh menjejaskan keharmonian dan keamanan yang selama ini telah membawa kemajuan, pembangunan dan kejayaan kepada negara.

"Justeru, adalah perlu Majlis Raja-raja menegaskan dan memperingatkan semua pihak tentang peruntukan-peruntukan perlembagaan tersebut di samping memberi penekanan tentang jaminan perlindungan hak-hak sah kaum lain. Perlu ditegaskan bahawa setiap peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan telah melalui proses perbincangan pertimbangan, konsultansi, pengorbanan dan sifat tolak ansur yang sangat tinggi nilainya bagi apa yang telah diperjuangkan, diperbincangkan, dipertimbangkan, dimanfaatkan serta dipersetujui oleh semua pihak yang terlibat, sehingga wujudnya peruntukan-peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan yang dikenali sebagai Social Contract.

Social Contract ini tidak wajar dipertikai dan dipersoalkan lebih-lebih lagi disemak semula atau diubah kerana ia adalah merupakan asas utama pembentukan negara Malaysia. Untuk itu Raja-raja Melayu wajar mempertingkatkan supaya isu berkaitan Social Contract tidak sekali-kali cuba diuji dan dicabar.

"Sesungguhnya, angkatan pemimpin di era pra kemerdekaan, berfikiran dalam berpandangan jauh. Raja-raja Melayu telah dibawa bersama semasa rundingan menuntut kemerdekaan. Institusi Raja dikekalkan dan dimaktubkan secara perundangan dalam Perlembagaan Malaysia Merdeka. Institusi raja diberikan kemuliaan, ditempatkan di puncak Kerajaan, sebagai Ketua Negara dan Ketua Negeri, laksana payung pelindung, menjamin berlakunya kesaksamaan di kalangan warga. Institusi Raja Berperanan sebagai faktor penyemak dan pengimbang, untuk merungkai sebarang kekusutan, sekiranya berlaku.

"Majlis Raja-raja juga membuat seruan kepada orang Melayu supaya bersatu-padu untuk mempertahankan keistimewaan, kedudukan, kemuliaan dan kebesaran Raja-raja Melayu, melindungi agama Islam, Bahasa Melayu sebagai bahasa Kebangsaan dan kepentingan sah kaum-kaum lain di Malaysia seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan. Penekanan juga perlu dibuat bahawa agenda ini adalah lebih penting dan utama dari kepentingan politik atau kelompok.

"Kaum bukan Melayu tidak perlu merasa khuatir dan bimbang tentang hak-hak sah mereka kerana hak-hak tersebut telah dijamin mengikut Perlembagaan Persekutuan dan peruntukan-peruntukan yang terkandung dalam Undang-undang Tubuh Negeri-negeri di Malaysia yang termaktub dalam Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan.

"Adalah diharapkan dengan penegasan tersebut, segala kekeliruan berhubung dengan perkara ini di kalangan rakyat jelata dapat dibendung dan suatu suasana yang harmoni, aman dan sikap saling hormat menghormati di kalangan rakyat dapat terus diwujudkan demi menjaga ketenteraman negara."

Kesemua Sultan dan Yang Dipertua Negeri menghadiri mesyuarat itu kecuali Pahang, Johor, Terengganu, Perlis dan Negeri Sembilan.

Sultan Pahang diwakili Pemangku Raja Pahang Tengku Mahkota Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah, Sultan Johor diwakili Tunku Mahkota Johor Tunku Ibrahim Ismail Sultan Iskandar dan Sultan Terengganu diwakili Yang Dipertua Majlis Penasihat Pemangku Raja Tengku Sri Panglima Raja Tengku Baderulzaman Sultan Mahmud.

Negeri Sembilan diwakili Pemangku Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan Tunku Naquiyuddin Ibni Tuanku Ja’afar dan Perlis diwakili Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail.

Turut hadir menteri-menteri besar dan ketua-ketua menteri kecuali Sarawak yang diwakili Menteri II Perancangan dan Pengurusan Sumber Datuk Seri Awang Tengah Ali Hasan.

Penyimpan Mohor Besar Raja-raja Tan Sri Engku Ibrahim Engku Ngah berkata, perkara-perkara berkaitan pertahanan, keselamatan, kedudukan ekonomi negara, Biasiswa Yang diPertuan Agong termasuk cadangan pelantikan Ketua Hakim Negara Persekutuan, Presiden Mahkamah Rayuan dan Hakim Besar Malaya telah dibincangkan dalam mesyuarat itu.
malaysiakini.

Krisis ekonomi global tanda gagal sistem kapitalis

KUALA LUMPUR, 16 Okt (Hrkh) - Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang menyifatkan krisis ekonomi global sebagai tanda kegagalan sistem kapitalis yang selama ini didewa-dewakan oleh negara Barat.Kesan dari krisis ekonomi global ini, kata Ustaz Hadi memaksa negara seperti Amerika Syarikat mengeluarkan dana yang besar untuk membantu syarikat yang hampir muflis. "Amerika Syarikat begitu angkuh sebelum ini hingga sanggup menyerang negara lain semata-mata untuk kepentingan ekonomi mereka," kata beliau. Beliau turut menegaskan sistem ekonomi kapitalis yang lebih mementingkan keuntungan kepada satu pihak menyebabkan banyak syarikat kewangan yang muflis. Mengambil contoh kegagalan Bank Bumiputera yang kini hanya tinggal nama akibat mengamalkan riba untuk mendapatkan keuntungan yang berlebihan.

"Pinjaman yang banyak dikeluarkan kerana mahu mengaut riba yang tinggi, akibatnya ramai peminjam yang gagal membuat pembayaran dan akhirnya bank yang mengalami kerugian," kata Ustaz Hadi. Berucap di Dewan Rakyat ketika sesi perbahasan pembentangan belanjawan 2009, Ustaz Hadi turut mengkritik pengagihan ekonomi yang tidak sama rata dilakukan oleh kerajaan Barisan Nasional (BN). Beliau berkata BN lebih menumpukan pembangunan dari segi ekonomi dan infrastruktur di neger-negeri tertentu berbanding negeri di Pantai Timur, Sabah dan Sarawak. Dari segi infrastruktur kata beliau, Sabah dan Sarawak jauh lebih ketinggalan berbanding Semenanjung biarpun BN sudah memerintah lebih dari 50 tahun. "Pemimpin-pemimpin BN hanya tahu untuk mengambil balak di Sabah dan Sarawak tetapi tidak penderitaan yang ditanggung oleh rakyat di sana," tegas beliau.

Ustaz Hadi berkata sepatutnya pengagihan ekonomi sama rata dilakukan tanpa mengira agama dan kaum bersesuaian dengan ajaran Islam yang menjadi agama rasmi negara ini. "Kita tidak sepatutnya meminggirkan kaum Cina, India, Iban, Kadazan dan lain-lain kerana mereka juga rakyat negara ini," tegas Ustaz Hadi. Beliau juga mengesa agar ekonomi rakyat dimantapkan bagi meringankan beban yang ditanggung akibat krisis ekonomi global. Dengan mengambil contoh kadar gaji di Singapura yang jauh lebih tinggi berbanding Malaysia,Ustaz Hadi menegaskan sepatutnya rakyat negara ini juga menikmati gaji yang lebih tinggi agar mereka dapat hidup dengan lebih sempurna. Sehubungan dengan itu, ahli parlimen Marang itu seterusnya mencadangkan agar sistem ekonomi kapitalis yang turut diamalkan di negara ini digantikan dengan sistem ekonomi Islam yang lebih menjamin kesejahteraan rakyat. - mks. Sumber HarakahDaily

Pesta Bola Merdeka, Malaysia didakwa jemput pasukan lemah sahaja?

KUALA LUMPUR, 16 Okt (Hrkh) - Mohd Firdaus Jaafar (PAS-Jerai) mendakwa Malaysia hanya menjemput pasukan-pasukan yang lemah sahaja bagi menyertai Pesta Bola Merdeka yang sedang berlangsung kini. Dakwaan itu dibuat Mohd Firdaus ketika mengutarakan soalan tambahan kepada Menteri Belia dan Sukan, Dato' Ismail Sabri Yaakob dalam sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat pagi tadi.

"Kenapa Malaysia tidak menjemput pasukan seperti Singapura dan Thailand, adakah setakat nak menang," dakwanya semasa memanjangkang soalan yang asalnya diutarakan oleh Dato' Dr Mohd Shahrum Othman (BN Lipis). Beliau juga kecewa dengan prestasi pasukan bolesepak negara yang kini berada pada tahap yang kurang memuaskan, malah mengharapkan sesuatu tindakan dilakukan segera bagi mengembalikan kegemilangannya. Terdahulu Dr Mohd Shahrum bertanyakan kepada KBS, bagaimana untuk mengembalikan kecemerlangan sukan negara kebelakangan ini. Bagaimanapun Menteri Belia dan Sukan yang bingkas bangun menjawab soalan Mohd Firdaus hanya menyatakan ia di bawah bidang kuasa penganjur.
sumber HarakahDaily.