05 October 2008

Hari Raya Aidilfitri Disambut Meriah di Niujie, Beijing.

Hari Raya Aidilfitri di Beijing disambut dengan meriah oleh umat Islam setempat antaranya dengan berbagai aktiviti di Niujie, sebatang jalan yang terletak di Beijing yang biasanya menjadi kunjungan pelancong asing bila sampai di sini. "niujie" berarti "jalan lembu' dengan maksud tempat penyembelihan lembut yang dilakukan oleh umat Islam.

Hari raya Aidilfitri merupakan perayaan terpenting bagi 10 etnik minoriti yang beragama Islam di China, termasuklah etnik Hui. Hari ini, seramai 100 ribu orang penduduk Muslim dan warga asing di Beijing telah datang ke Niujie untuk menyertai pelbagai aktiviti yang menarik bagi menyambut hari raya Aidilfitri.

Jalan Niujie dibanjiri oleh umat Islam.


Anggota Jawatankuasa Tetap Bandar Beijing Parti Komunis China, Puan You Lantian ketika menghadiri aktiviti perayaan di Niujie berkata: "Hari ini kita menyambut dua perayaan, iaitu hari raya Aidilfitri bagi semua umat Islam di China, dan juga hari kedua dalam cuti panjang Hari Kebangsaan China. Saya mengucapkan 'Selamat Hari Raya Aidilfitri' kepada semua penduduk Muslim di Niujie."


Jalan Niujie ditutup untuk sambutan Aidilfitri


Niujie merupakan kawasan kediaman orang Muslim yang terbesar di Beijing. Terdapat lebih kurang 54 ribu orang penduduk yang tinggal di kawasan ini, antaranya seramai 12 ribu orang ialah umat Islam. Masjid Niujie yang bersejarah selama 1012 tahun dibina di tapak seluas 10 ribu meter persegi adalah terletak di kawasan tersebut.

Bermula pukul 7.00 pagi hari ini, Jalan Niujie telah ditutup secara sementara kepada semua kenderaan bagi menjamin kelancaran pelbagai aktiviti sambutan. Dengan ini, Jalan Niujie telah menjadi "pasar" jual makanan dan barang kegunaan Muslim.

Jualan kopiah memeriahkan suasana.


Selain daripada "pasar jual makanan", pelbagai aktiviti seperti pameran gambar dan pertandingan catur China juga telah diadakan untuk menyambut hari raya Aidilfitri. Aktiviti-aktivit tersebut telah menarik ramai orang Muslim. Seorang gadis yang bernama Mai Na memberitahu bahawa: "Saya rasa hari ini sangat meriah. Aktiviti-aktiviti di Niujie juga amat menarik. Kami sekeluarga datang ke Niujie untuk merayakan hari raya Aidilfitri."

Untuk menjamin kelancaran aktiviti-aktiviti di Niujie, kerajaan tempatan telah menyediakan pelbagai perkhidmatan yang berkaitan. Encik Wang Jinhua ialah tauke sebuah kedai makan halal di Niujie. Beliau menjelaskan: "Pada pendapat saya, pada tahun ini, kerajaan telah memberikan perhatian tinggi terhadap aktiviti sambutan hari raya, misalnya mereka menutup Jalan Niujie kepada semua kenderaan, dan menyediakan gerai jualan makanan untuk kami."

Perayaan di Niujie bukan sahaja menarik ramai orang Muslim, tetapi juga bagi mereka yang bukan Muslim. Pelajar etnik Han dari Universiti Ekonomi dan Perdagangan Ibu Negara, Xu Shaochi memberitahu berkata : "Ini merupakan kali pertama saya melawat ke Niujie. Hari ini hari raya Aidilfitri, dan juga hari kedua bagi cuti panjang Hari Kebangsaan China, maka saya datang untuk merasakan suasana perayaan di sini, dan menggunakan peluang ini untuk mengenali lebih banyak tentang budaya Islam."

Makanan halal di Kawasan Niujie, Beijing

Makanan ringan tradisional di Beijing amat pelbagai dan diwarisi secara turun temurun. Demikian juga makanan halal untuk penduduk Islam China. Makanan halal yang mengutamakan kuih-muih serta masakan daging lembu dan kambing merupakan bahagian yang penting dalam makanan tradisional di Beijing. Makanan halal di kawasan Niujie, iaitu kawasan kediaman secara berkelompok bagi penganut Islam merupakan makanan halal yang paling terkenal dan asli di Beijing.

Mesjid Niujie Beijing.

Pada abad ke-14, sejumlah besar orang Arab dan Parsi telah berhijrah ke China. Mereka membawa bersama jenis makanan diperkenalkan ke Beijing sebagai makanan halal untuk orang Islam. Lama-kelamaan, jenis makanan dari Asia Barat tersebut telah menerima perubahan dengan beberapa cara masakan tradisional China dan menjadi makanan halal yang unik dan lazat di Beijing. Kawasan Niujie merupakan pusat penempatan penduduk Islam di Beijing dan juga merupakan tempat asal bagi makanan halal di bandar tersebut.

Gerai "Nailao Wei" di kawasan Niujie sudah wujud lebih seratus tahun dan merupakan gerai terkemuka di Beijing. Rakyat China menyebut "Nailao" sebagai keju China. Bentuk "Nailao" seperti puding. Pengurus gerai itu, Li Shufeng berkata: "Gerai itu ditubuhkan pada tahun 1888 dan ditutup pada tahun 1954. pada tahun 1988, Wei Guanglu, pengurus generasi ketiga membuka semula gerai tersebut."

Penaja gerai itu, Wei Hongchen mempelajari kaedah untuk memasak "Nailao" daripada kaum kerabatnya yang berkhidmat sebagai tukang masak Diraja. Makanan Nailao yang disediakan oleh gerai "Nailao Wei" mendapat sambutan yang baik daripada penduduk Beijing, Malah, ramai yang datang dari jauh ke gerai itu semata-mata untuk menikmati pencuci mulut yang lazat itu. Kata Li Shumin, "Gerai kami menjual kira-kira seribu mangkuk 'Nailao" pada tiap-tiap hari. Gerai kami dibuka pada pukul 2:00 petang dan tutup pada pukul 9:00 malam. Kadang-kadang, jika pelanggan terlalu ramai, gerai kami tutup pada pukul 11:00 dan 12:00 malam." Kedai Makanan Hongji di bahagian timur kawasan Niujie amat terkenal di Beijing. Selalunya terdapat ramai pelanggan berbaris di depan pintu kedai tersebut untuk membeli makanan. Seorang pelanggan berkata: "Makanan di kedai ini amat lazat. Kami selalu membeli makanan di kedai ini."

Makanan yang disediakan oleh Kedai Makanan Hongji amat pelbagai termasuk beberapa jenis "Nian Gao"(iaitu sejenis kuih), "Huo Shao"(sejenis roti) serta masakan daging lembu dan daging kambing. Pengurus kedai itu, Hong Yuchun berkata: "Pada mula-mula diwujudkan, kedai kami kecil sahaja dan hanya menyediakan beberapa jenis pencuci mulut. Kami berusaha menjamin kualiti bahan makanan dan memasak makanan dengan sebaik mungkin. Lama-kelamaan, kedai kami semakin terkenal, dan jenis makanannya kian bertambah."

Restoran "Baodu Feng" juga merupakan restoran Islam yang terkenal di kawasan Niujie. Makanan "Baodu" menggunakan perut kambing dan lembu yang diiris, kemudian direbus enak dan dimakan dengan sos yang berkenaan. Pengasas restoran tersebut, Feng Lishan, mula menjual makanan tersebut pada tahun 1875. Terdapat ramai tokoh yang tersohor meminati makanan tersebut termasuk seniman Opera Peking, Mei Lanfang, pujangga Lu Xun dan Laoshe. Pengurus generasi keempat restoran itu, Feng Qiusheng pernah memasak makanan tersebut untuk pemimpin negara dan duta besar negara asing ketika China menyambut ulang tahun ke-50 hari kebangsaan. Katanya, "Ketika menyambut ulang tahun ke-50 hari kebangsaan, saya bertugas memasak "Baodu" untuk pemimpin negara dan duta besar negara asing ke China. Saya amat gembira kerana pencuci mulut tersebut dapat masuk dalam senarai jamuan negara."

Pasaran Raya Islam Niujie menubuhkan sebuah pusat makanan halal yang menyediakan berbagai-bagai makanan halal dari seluruh negara. Pengurus pasar raya itu, Ping Guodong berkata: "Pusat makanan halal kami menyediakan makanan yang lazat dari kawasan Niujie dan beberapa tempat di bahagian utara China."

Pusat makanan tersebut telah mendapat sambutan yang baik daripada penganut Islam di kawasan Niujie dan seluruh Beijing. Setelah selesai menunaikan solat Jumaat di Masjid Niujie berhampiran, iaitu masjid yang tertua di Beijing, mereka selalu makan beramai-ramai di pusat makanan tersebut. Semasa sedang makan itu, selalunya terdapat warga emas yang secara sukarela membacakan terjemahan kitab suci al-Quran kepada orang muda di pusat tersebut. Ketika menyambut hari kebesaran Islam, pusat makanan itu dibanjiri dengan penganut Islam. Ping Guodong menyatakan terdapat ramai penganut Islam dari luar negara menikmati makanan halal yang lazat di pusat tersebut. Beliau berharap ramai penganut Islam dari luar negara menjamu selera di pusat tersebut ketika berlangsungnya Sukan Olimpik. Katanya, "Pusat makanan halal Niujie telah siap untuk meraikan saudara Islam dari seluruh dunia ketika Sukan Olimpik diadakan di Beijing. Kami akan berusaha menyediakan makanan halal China yang lazat untuk mereka."

SEMUA DI JEMPUT HADIR