21 July 2008

Drs. Khalil : Pejabat saya sentiasa akan menyokong usaha untuk memajukan sukan.

KUALA KANGSAR, 20 July :- Saya akan sentiasa menyokong usaha untuk memajukan sukan dalam DUN Titi Serong, demikian antara ucapan yang diberikan oleh ADUN Titi Serong, YB. Drs. Khalil idham Lim semasa memberikan perangsang dan nasihat kepada Pasukan bolasepak Kampung Kedah FC di sini hari ini.


Drs. Khalil hadir sama dalam perlawanan akhir Liga Kuala Kangsar antara pasukan dari DUN Titi Serong itu dengan Danish FC dari Beruas. Keputusan berakhir dengan keputusan Danish FC menang dengan kelebihan gol 3-2.


Drs. Khalil menyampaikan ucapan kepada pemain didampingi sdr. Azhar

Pada kesempatan itu beliau mengucapkan tahniah dengan usaha gigih dari pengurus pasukan, En. Azhar sehingga membawa pasukannya dari jauh untuk menyertai Liga Kuala Kangsar malah mampu masuk perlawanan akhir.

ADUN Titi Serong bergambar bersama pasukan Kampung Kedah FC

Katanya lagi "saya akan memperttimbangkan secara wajar sekiranya ada apa-apa permohonan dan keperluan dari pasukan Kg. Kedah FC pada masa akan datang".

ADUN Titi Serong resmi Seminar Perubatan Islam.

IPOH, 20 July :- Satu Seminar Perubatan Islam, Anjuran Jabatan Agama Islam Perak dengan kerjasama Persatuan Kebajikan Dan Perubatan Islam Malaysia (Darussyifa’) Cawangan Perak telah diresmikan oleh ADUN Titit Serong, YB. Drs. Khalil Idham Lim, yang mewakili Y.A.B. Menteri Besar Perak di sini pada pagi ini.



Dalam ucapannya Drs. Khalil menyatakan program tersebut menjadi titik tolak usaha jalinan kerjasama yang erat di antara badan-badan kebajikan dan pihak pemerintah ke arah memartabatkan Syariat Allah di muka bumi ini.



Drs. Khalil menyampaikan ucapan peresmian

Beliau mwenyifatkan usaha murni Persatuan Kebajikan dan Perubatan Islam Malaysia (Darussyifa’), yang diasaskan oleh Sohibul Fadhilah, Tuan Guru Dato’ Dr. Haron Din Al-Hafiz, yang menyusun kaedah-kaedah rawatan Al-Quran ini dengan teratur, kemudiannya menyebarkannya disamping menabur bakti kepada menyelesaikan keperluan Umat Manusia bukanlah merupakan satu usaha yang boleh dianggap remeh. Dalam menghadapi masyarakat yang sudah semakin menjauhi Al-Quran, usaha ini perlu dilihat bukan sahaja dalam konteks menyelesaikan masalah masyarakat, malah merupakan kaedah dakwah yang amat hebat dan berkesan. Ianya tidak hanya terhad semata-mata kepada Umat Islam malah meliputi Umat Manusia seluruhnya.

Dewan INTIM dipenuhi oleh hadirin dan hadirat yang datang dari seluruh Perak.

Selain itu katanya lagi , "Sebagai kerajaan yang berpegang teguh kepada kepada Syariat Allah, maka pastinya Kerajaan Negeri Perak akan sentiasa memayungi usaha-usaha murni seperti ini. Badan-badan seperti ini tidak seharusnya dibiarkan berseorangan,. Kerajaan Negeri Perak akan berusaha mencari jalan terbaik untuk membantu agar badan-badan seperti dapat berperanan secara lebih aktif. Pihak jawatankuasa persatuan perlulah memikirkan dan memberikan cadangan atau mengemukakan permohonan agar kerajaan negeri dapat menyalurkan bantuan. Semoga kerjasama yang erat di antara persatuan dan kerajaan akan mampu merobah masyarakat ke arah gaya hidup sihat yang bertepatan dengan kehendak Allah."

Hadir sama dalam seminar itu ialah Dato’ Dr. Haron Din Al-Hafiz, Timbalan Pengarah Jabatan Agama Islam Perak, Tn. Hj. Mohd Yusuf Hussin, Imam Besar Mesjid Negeri, Dato' Sheikh Mohd. Nor Al hafiz , Pengerusi Darussyifa', dan Tn. Hj. Abd. Rahman bin Ahmad.

Sebahagian muslimat yang hadir.

Majlis dimulai dengan bacaan ayat-ayat suci Al Quran oleh Johan Qari Tilawah Al Quran Peringkat Antarabangsa , Tuan Haji Radzi Kamarul Hailan.

Teks Ucapan ADUN Titi Serong semasa meresmikan Seminar Perubatan Islam

Bersyukur kita ke hadrat Allah swt yang telah memberi kekuatan kepada kita untuk bersama-sama dalam Seminar Perubatan Islam, Anjuran Jabatan Agama Islam Perak dengan kerjasama Persatuan Kebajikan Dan Perubatan Islam Malaysia (Darussyifa’) Cawangan Perak pada pagi ini. Saya ingin menyampaikan salam daripada YAB Menteri Besar Perak Darul Ridzuan yang tidak dapat hadir bersama-sama kita pada pagi ini, disebabkan ada tugasan lain yang tidak kurang pentingnya. Walaubagaimanapun ini bukanlah bermakna beliau tidak melihat betapa pentingnya program-program seumpama ini.

Di kesempatan yang amat berharga ini, saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan atas kesudian pihak penganjur menjemput saya merasmikan seminar ini. Ini menjadi titik tolak usaha jalinan kerjasama yang erat di antara badan-badan kebajikan dan pihak pemerintah ke arah memartabatkan Syariat Allah di muka bumi ini.

Perubatan Islam yang merupakan kaedah perubatan yang diwarisi daripada Rasulullah saw yang bersumberkan Al-Quran dan As-Sunnah. Dalam Al-Quran swt ;

وَنُنَزِّلُ مِنَ الْقُرْآنِ مَا هُوَ شِفَاءٌ وَرَحْمَةٌ لِلْمُؤْمِنِينَ وَلاَ يَزِيدُ الظَّالِمِينَ إِلاَّ خَسَارًا


Dan Kami turunkan dengan beransur-ansur dari Al-Quran Ayat-ayat Suci yang menjadi ubat penawar dan rahmat bagi orang-orang yang beriman kepadanya dan (sebaliknya) Al-Quran tidak menambahkan orang-orang yang zalim (disebabkan keingkaran mereka) melainkan kerugian jua.(Surah Al-Isra’ : 82)

Al-Quran diturunkan kepada manusia bagi menjadi panduan dan pedoman ke arah kesejahteraan hidup di dunia dan di akhirat. Selain menjadi pedoman hidup Al-Quran juga membawa rahmat kepada orang-orang yang beriman dan menyakini Al-Quran serta berkesanggupan untuk menghayati Al-Quran sepenuhnya. Namun Al-Quran memberikan penyelesaian bagi membantu manusia yang lalai dan diganggu oleh berbagai gangguan termasuk iblis,syaitan, jin dan hawa nafsu,. Al-Quran didatangkan dengan membawa penawar agar manusia kembali ke pangkal jalan.


Masalah terbesar manusia di muka bumi ini adalah akibat penyakit yang ada di hati dan dada-dada manusia. Malah tanpa ketenangan jiwa manusia jauh sekali untuk hidup aman dan bahagia. Manusia sanggup melakukan berbagai jenayah, memutuskan silaturrahim sesama mereka, benci-membenci malah menderhakai Allah kerana penyakit yang ada di hati mereka. Gambaran ini dinyatakan oleh Allah swt dalam Surah Al-Baqarah ayat 8-10 :



وَمِنَ النَّاسِ مَنْ يَقُولُ آمَنَّا بِاللَّهِ وَبِالْيَوْمِ الآخِرِ وَمَا هُمْ بِمُؤْمِنِينَ. يُخَادِعُونَ اللَّهَ وَالَّذِينَ آمَنُوا وَمَا يَخْدَعُونَ إِلاَّ أَنْفُسَهُمْ وَمَا يَشْعُرُونَ. فِي قُلُوبِهِمْ مَرَضٌ فَزَادَهُمُ اللَّهُ مَرَضًا وَلَهُمْ عَذَابٌ أَلِيمٌ بِمَا كَانُوا يَكْذِبُونَ



Dan di antara manusia ada yang berkata: Kami telah beriman kepada Allah dan kepada hari akhirat; padahal mereka sebenarnya tidak beriman. Mereka hendak memperdayakan Allah dan orang-orang yang beriman, padahal mereka hanya memperdaya dirinya sendiri, sedang mereka tidak menyedarinya. Dalam hati mereka (golongan yang munafik itu) terdapat penyakit (syak dan hasad dengki), maka Allah tambahkan lagi penyakit itu kepada mereka dan mereka pula akan beroleh azab seksa yang tidak terperi sakitnya, dengan sebab mereka berdusta (dan mendustakan kebenaran).

Al-Quran berfungsi menjadi penawar kepada penyakit-penyakit batin yang di hadapi oleh manusia. Ini adalah antara fungsi terpenting Al-Quran selain membawa pengajaran, hidayah dan rahmat daripada Allah. Allah swt berfirman :

يَا أَيُّهَا النَّاسُ قَدْ جَاءَتْكُمْ مَوْعِظَةٌ مِنْ رَبِّكُمْ وَشِفَاءٌ لِمَا فِي الصُّدُورِ وَهُدًى وَرَحْمَةٌ

Wahai umat manusia! Sesungguhnya telah datang kepada kamu Al-Quran yang menjadi nasihat pengajaran dari Tuhan kamu dan yang menjadi penawar bagi penyakit-penyakit batin yang ada di dalam dada kamu dan juga menjadi hidayat petunjuk untuk keselamatan, serta membawa rahmat bagi orang-orang yang beriman. (Surah Yunus : 57)

Usaha murni Persatuan Kebajikan dan Perubatan Islam Malaysia (Darussyifa’), yang diasaskan oleh Sohibul Fadhilah, Tuan Guru Dato’ Dr. Haron Din Al-Hafiz, yang menyusun kaedah-kaedah rawatan Al-Quran ini dengan teratur, kemudiannya menyebarkannya disamping menabur bakti kepada menyelesaikan keperluan Umat Manusia bukanlah merupakan satu usaha yang boleh dianggap remeh. Dalam menghadapi masyarakat yang sudah semakin menjauhi Al-Quran, usaha ini perlu dilihat bukan sahaja dalam konteks menyelesaikan masalah masyarakat, malah merupakan kaedah dakwah yang amat hebat dan berkesan. Ianya tidak hanya terhad semata-mata kepada Umat Islam malah meliputi Umat Manusia seluruhnya. Tidak sedikit hati-hati yang asalnya keras membatu menjadi lembut apabila diperdengarkan dengan bacaan Al-Quran. Sejarah telah mengukirkan peristiwa yang amat bermakna dalam sejarah perkembangan dakwah baginda Rasulullah saw dimana Islamnya Saidina Omar Al-Khattab hanya semata-mata mendengar beberapa ayat dari Surah Taha. Sukar hendak membayangkan jika tidak kerana Al-Quran, Saidina Omar akan berkekalan sebagai musuh Allah yang mungkin menjadi batu halangan terbesar kepada berkembangnya Islam di kalangan masyarakat Arab.

Sebagai kerajaan yang berpegang teguh kepada kepada Syariat Allah, maka pastinya Kerajaan Negeri Perak akan sentiasa memayungi usaha-usaha murni seperti ini. Badan-badan seperti ini tidak seharusnya dibiarkan berseorangan, ibarat melukut di tepi gantang, ada tak menambah, tiada tak mengurang. Usaha-usaha seperti ini wajib ditonjolkan ke tengah-tengah masyarakat dengan bersungguh-sungguh. Kerajaan Negeri Perak akan berusaha mencari jalan terbaik untuk membantu agar badan-badan seperti dapat berperanan secara lebih aktif. Pihak jawatankuasa persatuan perlulah memikirkan dan memberikan cadangan atau mengemukakan permohonan agar kerajaan negeri dapat menyalurkan bantuan. Semoga kerjasama yang erat di antara persatuan dan kerajaan akan mampu merobah masyarakat ke arah gaya hidup sihat yang bertepatan dengan kehendak Allah.

Tidak ada jalan pintas untuk merobah masyarakat untuk menerima Islam sebagai penyelesai kepada masalah sejagat, kecuali mengubat hati-hati mereka agar mereka dapat menerima Al-Quran sepenuhnya. Jiwa yang tidak terubat dan penuh dengan penyakit akan senantiasa keluh kesah apabila menerima perintah Allah. Sedaya mungkin mereka akan mencari alasan untuk membolehkan mereka tidak melaksanakan Syariat Allah, bukannya berusaha untuk mencari jalan bagi merealisasikannya.

Dengan Lafaz Bismillahirrahmannirrahim, saya merasmikan Seminar Perubatan Islam, Anjuran Jabatan Agama Islam Perak dengan kerjasama Persatuan Kebajikan Dan Perubatan Islam Malaysia (Darussyifa’) Cawangan Perak pada pagi ini.

Tolong menolong dalam kebaikan.

“Dan hendaklah kamu bantu-membantu dalam berbuat kebajikan dan bertawwa dan janganlah kamu bertolong-tolongan dalam melakukan dosa (maksiat) dan pelanggaran” (QS. Al-Maidah: 2).

Kebahagiaan yang tidak terhingga akan dirasakan (sebahagian) manusia bila mereka mahu membantu orang lain secara ikhlas. Hati akan terasa puas ibarat baru menjuarai suatu permainan bola sepak. Itulah kurnia Allah yang diselipkan pada hati manusia yang ikhlas. Yang lebih penting lagi, membantu orang lain dalam kebaikan bukan hanya mendapatkan kelegaan atau kepuasan hati semata-mata.

Dalam sejumlah ayat dan hadits disebutkan, membantu orang lain dalam kebaikan juga akan mendapat ampunan Allah. Bahkan ampunan bukan hanya kerana membantu manusia, tetapi juga membantu makhluk lain. Sebagaimana dikisahkan Rasulullah SAW, suatu hari seorang kehausan di tengah padang pasir. Lalu ia menuju suatu perigi dan minum airnya. Namun ia mendapati seekor anjing yang sedang menjilat-jilat debu karena kehausan. Mengetahui anjing itu kehausan, orang itu membuka kasutnya, mencelupkan ke perigi itu untuk mengambil air, serta memberikannya kepada anjing itu. Menurut riwayat, orang itu diampuni dosa-dosanya yang terdahulu oleh Allah.


Membantu orang lain dalam kebaikan adalah pembeza antara ahli neraka dengan ahli surga. Menurut Rasulullah SAW, ahli surga akan selalu berjuang di jalan kebaikan, sedangkan ahli neraka akan selalu berjuang dan bantu-membantu di jalan kejahatan. Jalan mana yang selalu menjadi pilihan hati kita, itulah diri kita yang sebenarnya.