16 July 2008

Analisa ringkas Debat Shabery, Anwar berhubung isu minyak

Debat antara Menteri Penerangan, Datuk Ahmad Shabery Cheek dan Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim baru berakhir di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) di sini, yang bermula jam 9 malamberakhir sejam kemudian.

Debat bertajuk “Hari Ini Membentuk Kerajaan, Esok Turun Harga Minyak”, diadakan untuk kedua-dua pihak menyampaikan hujah-hujah dan fakta dalam isu berkaitan.

Menariknya untuk sekiankalinya Debat selama sejam itu disiarkan secara langsung oleh TV9 dan Bernama TV menerusi saluran 502. Tajuknya “Hari Ini Membentuk Kerajaan, Esok Turun Harga Minyak" itu anjuran portal berita Agenda Daily itu membabitkan moderator, Datuk Johan Jaafar yang juga Pengerusi DBP.
Kedua-dua pendebat melantik dua wakil untuk bertanya soalan tambahan.Tan Sri Nordin Kardi mewakil Shabery dan Zulkifli Sulung mewakili anwar.
Saya berpandangan, DS Anwar Ibrahim mendahului debat dengan fakta dan penguasaan materi debat secara matang dan konkrit.

Sebaliknya Shabery nampaknya mengulang-ulang serangan peribadi dan sering terkeluar dari topik perbahasan sebenar. Antaranya seingat saya dia mengulangi mengenai Anwar demo dibaling sebanyak 2 kali, selain itu mengaitkan Anwar dengan IMF dan kejatuhan ekonomi tahun 1998.

Hujah-hujah Anwar sangat bernas berbanding dengan Shabery yang tersasar kepada serangan peribadi. Satu masa dia menyebut mengenai "minyak urut", yang menampakkan hujah yang kebudak-budakan.

Formula menurunkan harga minyak oleh Anwar nampaknya berasas berbanding dengan penjelasan Shabery alasan kenaikan harga minyak yang rapuh.
Namun kita mengucapkan tahniah kepada Menteri penerangan UMNO itu dengan keberanian mewakili parti dan kerajaan BN dan bersedia untuk berdebat dalam keadaan orang lain yang nampak "penakut".

Munajat Rakyat di Stadium Perak

SLIM RIVER, 15 Julai : - Kerajaan Pakatan Rakyat Negeri Perak yang baru melepasi 100 hari pemerintahanya skali lagi cuba digugat oleh pihak tertentu berikutan kenyataan bekas Menteri Besar Perak, Dato' Tajol Rosli Ghazali, yang menyatakan Kerajaan Pakatan Negeri ini akan tumbang sebelum 31 Ogos ini.

Sehubungan itu Dewan Ulama PAS Negeri Perak menganjurkan majlis Munajat Rakyat pada 17 Julai ini di Stadium Perak untuk memohon pertolongan Allah bagi menyelamatkan Kerajaan Pakatan Rakyat negeri ini daripada sebarang bentuk perancangan jahat oleh musuh-musuh Pakatan Rakyat untuk menjatuhkan kerajaan yang ada sekarang.

Demikian dinyatakan oleh Setiausaha Dewan Ulama PAS Negeri, Ustaz Zulqarnain Hassan dalam satu pertemuan dengan wartawan Harakah hari ini.

Menurut beliau, setiap ahli dan penyokong PAS diminta datang seramai mungkin ke majlis Munajat Rakyat di Stadium Perak pada hari Khamis ini.

"Program ini juga melibatkan seluruh PAS kawasan serta dewan sempena mengambil keberkatan 14 Rejab 1429, pada hari itu seluruh ahli dan penyokong PAS di minta berpuasa," ujarnya.

Majlis tersebut bermula jam 7.00 malam dan majlis berbuka puasa diadakan di Stadium tersebut dan orang ramai diminta membawa makanan sendiri untuk tujuan tersebut.
Selepas selesai solat maghrib, diadakan pula solat hajat, disusuli dengan tazkirah daripada Ketua Dewan Ulamak PAS Negeri, Ustaz Shuid Din.

"Munajat Rakyat akan kita jalankan selepas menunaikan solat isya', dikuti dengan ceramah perdana daripada Pesuruhjaya PAS Perak, Ustaz Ahmad Awang dan Menteri Besar Perak, Dato' Seri Mohammad Nizar Jamaluddin," katanya.

Beliau menyeru seluruh ahli dan penyokong dan orang ramai supaya mengambil bahagian pada majlis Munajat Rakyat sebagai bukti keprihatinan mereka terhadap sebarang unsur dan perancangan jahat pihak tertentu yang mahu Kerajaan Pakatan Rakyat tumbang di negeri ini. -

UMNO Perak Tak Sanggup Terima Kekalahan

Maksud firman Allah SWT: “Dan jika mereka bertujuan hendak menipumu, maka sesungguhnya cukuplah Allah (menjaga dan memberikan perlindungan) kepadamu. Dialah yang menguatkanmu dengan pertolonganNya dan dengan (sokongan) orang-orang yang beriman.” Al-Anfal:62.
Jerit pekik dan suasana gempar berlaku di kediaman mantan Menteri Besar Perak di Jalan Raja Dihilir, Ipoh pada malam 8 Mac 2008. Dato’ Seri DiRaja Tajol Rosli dan isterinya Datin Seri Kamariah di antara mereka yang seperti sesak nafas apabila keputusan PRU Ke-12 yang diumumkan menunjukkan UMNO/BN hanya memenangi 28 kerusi DUN Perak, manakala selebihnya 31 kerusi dimenangi oleh parti-parti pembangkang PAS-PKR-DAP.
Pada waktu yang sama di ibupejabat Badan Perhubungan PAS Negeri Perak di Jalan Medan Istana 2, Ipoh Raya, kami pimpinan PAS dan PKR (BA) berunding untuk menimbangkan tawaran DAP bagi membentuk kerajaan campuran. Akhirnya kira-kira jam 2 pagi (9 Mac), kami berenam dari pimpinan PAS, PKR dan DAP membuat sidang media di ibupejabat DAP (yang terletak kira-kira hanya 100 meter jaraknya dari ibupejabat PAS) dan mengumumkan persetujuan bersepakat membentuk kerajaan campuran di antara ketiga-tiga parti yang kami namakan pada ketika itu Barisan Rakyat (kini dinamakan Pakatan Rakyat).
UMNO tidak sanggup menerima kekalahan kerana parti itu memenangi hanya 27 kerusi dari 35 kerusi yang mereka bertanding di kawasan majoriti Melayu menentang PAS dan PKR. Bermula dari saat itu UMNO berusaha dengan begitu yakin untuk membentuk kerajaan melalui pelbagai cara dan pendekatan. Pada mulanya mereka menawarkan puluh jutaan ringgit kepada beberapa orang ADUN PAS supaya melompat parti dan menyebelahi mereka. Orang yang pertama mendapat tawaran rasuah itu ialah ADUN Pasir Panjang yang menjadi menjadi Menteri Besar Perak sekarang., mereka mengajak PAS Perak membentuk kerajaan campuran dengan UMNO/BN.
Pelbagai pihak digunakan sebagai agen mereka menemui saya selaku Pesuruhjaya PAS Perak. Bahkan ada agen mereka yang menemui Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat. Mereka gunakan beberapa orang mufti, pegawai tinggi kerajaan negeri, pertubuhan NGO dan seorang ADUN BN yang ada hubungan keluarga dengan saya. Namun Tajol Rosli sendiri tidak sanggup berhubung terus dengan saya walaupun saya ada dijemput untuk bersemuka dengan beliau.
Tajol Rosli terus berbincang bersama pimpinan UMNO untuk memujuk PAS walaupun pada kira-kira jam 4 petang 10 Mac kami pimpinan dari ketiga-tiga parti Pakatan telah diterima mengadap oleh DYTM Raja Muda Tuanku Raja Nazrin Shah di Istana Kinta. Saya selaku ketua rombongan pakatan kemudiannya mengadakan sidang media di ibupejabat PAS selepas selesai mengadap DYTM Raja Muda. Turut hadir ialah YB Dato’ Husam Musa, Naib Presiden PAS. Dalam sidang media itu saya menjelaskan bahawa sekiranya Menteri Besar Perak dilantik dari pimpinan PAS, maka ia bukanlah kerajaan PAS, begitu juga sebaliknya. Yang paling penting bahawa kerajaan campuran yang akan dibentuk adalah mengikut perlembagaan negeri Perak. YB Dato’ Husam juga turut memberikan penjelasan mengapa PAS bersepakat membentuk kerajaan campuran dengan DAP dan PKR.

Peserta senamrobik anjuran MPKB BRI dipastikan tutup aurat

KOTA BHARU, 14 Julai- Keupayaan Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandar Raya Islam (MPKB-BRI) mengurus aduan awam turut menarik minat Majlis Bandar Raya Shah Alam (MBSA).

Baru-baru ini seramai 12 kakitangan Bahagian Aduan Awam dan Bahagian Audit Dalaman MBSA yang diketuai Ketua Bahagian Audit Dalaman, Ridzuan Mazlan mengadakan lawatan sambil belajar ke MPKB BRI.

Taklimat mengenai MPKB-BRI disampaikan Pengarah Perhubungan Awamnya, Azman Mohd Daham, manakala berkaitan audit pula disampaikan Ketua Bahagian Audit, Haji Che Mohamad Che Hassan.

Azman berkata, Jabatan Perhubungan Awam MPKB-BRI merupakan jabatan yang penting bertanggungjawab melaksanakan pelbagai program kemasyarakatan.

Antaranya menganjur Program Sihat Cergas Ceria, Majlis Penerangan MPKB-BRI Bersama Masyarakat, menganjurkan Hari MPKB-BRI Bertemu Pelanggan dan Majlis Muafakat MPKB-BRI Bersama Masyarakat.

Bagi program sihat cegas diadakan sekali sebulan di Taman Perbandaran Tengku Anis Tanjung Chat di mana semua peserta senamrobik disyarat menutup aurat atau berpakaian sopan bagi bukan Islam, katanya.

Manakala majlis muafakat pula diadakan sebanyak tiga kali setahun di tiga kawasan Parlimen yang terletak di kawasan MPKB-BRI iaitu Kota Bharu, Pengkalan Chepa dan Kubang Kerian.

Akhir bulan lalu seramai 16 pegawai Badan Dakwah MBSA juga mengunjungi Kota Bharu bagi meninjau peraturan berteraskan Islam yang dilaksanakan MPKB BRI.

Khidmat Ahli Majlis akan ditamatkan jika prestasi tidak baik

IPOH, 15 Julai (Hrkh) - Menteri Besar Perak, Dato' Seri Ir Mohammad Nizar Jamaluddin mengingatkan semua ahli majlis pihak berkuasa tempatan (PBT) agar menunjukkan prestasi yang baik dalam melaksanakan tugas dan tanggungjawab mereka sehingga tahun ini jika mereka mahu terus kekal sebagai ahli majlis, tetapi jika mereka gagal melaksanakan tugas tersebut dengan baik, Kerajaan Negeri tidak lagi akan melanjutkan tempoh kontrak mereka.

"Kita beri peluang kepada ahli majlis untuk menunjukkan prestasi kerja dalam tempoh enam bulan ini, jika mereka gagal menunjukkan kerja yang baik, kita ada sekumpulan calon lain yang boleh dipilih,"katanya selepas Majlis Anugerah Khidmat Cemerlang Perkhidmatan Awam Negeri Perak di sini kelmarin.

Menurut beliau, pihak Kerajaan Negeri telah memilih ahli majlis berasaskan prinsip meritokrasi dan ahli majlis yang dilantik mewakili Badan Bukan Kerajaan (NGO), Golongan Kurang Upaya (OKU), wanita, Orang asli, Melayu, Cina, India dan Sikh, ini merupakan gabungan adil yang merangkumi semua kaum.

Mengenai memorandam yang dihantar oleh Barisan Bertindak Hak-Hak Hindu (Hindraf) Perak yang diserahkan kepadanya, Kerajaan Negeri tidak dapat memenuhi 100 peratus kehendak semua kaum, tetapi apa yang dapat dilakukan, sekurang kurangnya ada sekumpulan calon yang boleh dipilih untuk lantikan akan datang

"Kerajaan Negeri tidak dapat mencari calon yang kesemuanya terbaik dari semua kumpulan dalam tempoh yang singkat," katanya.

Hindraf sebelum ini meminta Kerajaan Negeri mengkaji semula komposisi kaum ahli majlis PBT yang baru diumumkan. Seramai 48 orang kaum India telah diterima sebagai ahli majlis PBT. Hindraf meminta bilangan ahli majlis dari kaum India ditambah menjadi 60 orang.

Pelik, sekatan jalan raya masih berterusan

KUALA LUMPUR, 15 Julai - Pengguna jalan raya dari arah Brickfield ke Pasar Seni dekat sini hari ini terkejut kerana polis masih mengadakan sekatan jalan raya di jalan berkenaan.

Sekatan diadakan di bahagian jalan belakang Stesen Keretapi Kuala Lumpur menghampiri Pasar Seni oleh beberapa anggota polis.

Mereka meletakkan kon di bahagian tengah jalan sementara sebuah 'Black Marea' pula diletakkan di bahu jalan dengan seorang polis mengawal di tengah-tengah jalan dan beberapa orang lagi memerhati di tepi jalan.

Sekatan itu mengejutkan beberapa penumpang yang menaiki bas bersama penulis dari Seremban.

Seorang penumpang dengan spontan bertanya "ada himpunan lagikah?, dalam laporan televisyen semalam kata tak ada himpunan di Parlimen pun, kenapa hari ini ada sekatan lagi?".

Timbul tanda tanya mengapa sekatan itu masih diteruskan, dan seperti apa yang dikatakan Ketua Penerangan PAS, Mahfuz Omar dalam satu ulasannya bahawa sekatan itu seolah-olah menjadikan 'zon perang'.

Namun dalam kenyataan balas Menteri Dalam Negeri, Dato'Seri Syed Hamid Albar, sekatan itu katanya dibuat untuk menjaga sebarang kemungkinan berlaku himpunan yang boleh menjejaskan Parlimen.

Malangnya, sehingga petang semalam tiada sebarang himpunan diadakan, malah Ketua Umum KeADILan, Dato' Seri Anwar Ibrahim sendiri mengakui Pakatan Rakyat tidak merancang untuk mengadakan himpunan di Parlimen. _