15 July 2008

Persiapan Sukan Olimpik Beijing selesai dibuat

BEIJING, 14 July :-Menurut laporan akhbar Harian Renminribao Edisi Seberang Laut, kerja-kerja persiapan untuk Sukan Olimpik Beijing telah selesai dibuat selepas usaha bersungguh-sungguh yang dilakukan dalam tempoh tujuh tahun yang lalu.

Sejak Beijing berjaya mendapat hak penganjuran Sukan Olimpik pada tahun 2001, peruntukan dana untuk membaiki alam sekitar Beijing telah mencatat 140 bilion yuan RMB. Jumlah hari yang kualiti udara menepati standard dalam bandar ini pula meningkat kepada 246 hari pada tahun 2007 berbanding 100 hari pada tahun 1998.

Tujuh matlamat berhubung kerja penanaman pokok di Beijing menjelang Sukan Olimpik yang dijanjikan Beijing ketika memohon menjadi tuan rumah temasya sukan itu semua telah dicapai.

Dalam bidang pembinaan gelanggang terdapat 12 buah gelanggang Sukan Olimpik baru termasuk "Sarang Burung" dan "Kubus Air" dan 11 buah gelanggang diubahsuai serta 8 buah gelanggang sementara. Peluasan pengangkutan awam seperti kereta api bawah tanah juga mendapat kemajuan ketara.

Enam bandar kerjasama Sukan Olimpik Beijing, iaitu Hong Kong, Qingdao, Shanghai, Tianjin, Shenyang dan Qinhuangdao juga telah menyelesaikan kerja persiapan dengan kualiti tinggi menurut jadual.

Kini, 205 buah negara dan wilayah mengesahkan akan menyertai Sukan Olimpik Beijing. Ini bermakna temasya kali ini akan menjadi Sukan Olimpik yang mempunyai paling ramai peserta dalam sejarahnya.

Siaran langsung debat perdana.

KUALA LUMPUR,14 July :- Bernama TV melalui saluran Astro 502 akan menyiarkan secara langsung debat isu kenaikan harga minyak antara Menteri Penerangan, Datuk Ahmad Shabery Cheek dan Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim, esok.

Debat satu jam setengah itu bertajuk 'Hari Ini Membentuk Kerajaan, Esok Turun Harga Minyak' anjuran portal berita Agenda Daily, akan berlangsung di Dewan Bahasa dan Pustaka di sini bermula jam 9 malam. TV9 juga akan menyiarkan debat itu secara langsung.

Pengerusi DBP, Datuk Johan Jaaffar yang juga moderator debat itu, berkata debat itu menyerupai debat presiden di Amerika Syarikat. “Kedua-dua pendebat itu akan berada di pentas dan diberi lima minit setiap seorang sebagai mukadimah dan saya akan tanya satu soalan setiap seorang,” katanya.

Johan berkata Anwar dan Ahmad Shabery masing-masing akan juga menjemput wartawan yang mereka pilih untuk bertanyakan soalan.

“Wartawan yang dijemput Ahmad Shabery akan bertanyakan soalan kepada Anwar dan wartawan yang dijemput Anwar akan menanyakan soalan kepada Ahmad Shabery. Saya lihat cara ini adil,” katanya.

Ditanya persediaan beliau sendiri untuk debat itu, Johan berkata beliau seboleh mungkin tidak mahu campur tangan terhadap soalan yang akan ditanya wartawan. “Saya hanya akan menumpukan kepada tajuk dan tidak tahu soalan apa yang mereka akan tanya,” katanya.

Usul tergempar ditolak : Semua Ahli Parlimen pembangkang keluar dewan

KUALA LUMPUR, 14 July :- Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia, hari ini menolak usul tidak percaya kepada kepemimpinan Perdana Menteri yang dikemukakan pembangkang, Khamis lalu.
Usul tergempar itu dikemukakan Ketua Pembangkang yang juga Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Wan Azizah Ismail. Pandikar Amin berkata, penolakan usul itu dibuat di kamar Speaker berdasarkan Peraturan 18 (7) dan ia sudah dimaklumkan kepada Wan Azizah.
Akibatnya semua Ahli Parlimen pembangkang bertindak keluar Sidang Dewan Rakyat kerana membantah keputusan Speaker, Tan Sri Pandikar Amin Mulia menolak usul tergempar pembangkang.

Mereka bertindak demikian jam 12.10 tengah hari sebaik dimaklumkan usul undi tidak percaya kepada Perdana Menteri yang dikemukakan Khamis lalu, ditolak Pandikar Amir. Mereka sebelum itu turut merayu Speaker menimbangkan semula usul itu, tetapi Pandikar Amir Mulia tetap dengan keputusannya.