03 July 2008

Siapa akan kecundang ?

Perdebatan hangat antara kedua-dua pihak dalam isu liwat DS Anwar Ibrahim nampaknya menjadi berita utama semua akhbar dan media elektronik lain. Pemberitannya ditahap 100% dan pada suhu padang pasir yang sangat panas . Kalau dipadang pasir orang hampir tidak berbaju dek kepanasannya, sekarang orang Malaysia juga hampir tidak berbaju kepanasan dengan isu ini.

Apa lagi para blogger dengan blognya memaparkan berita sensasi dan terkini yang tidak disiarkan dalam media arus perdana.

Ke mana saja menjejakkan kaki cina islam ditanya pendapat mengenai persoalan ini, saya menjawab ringkas, kedua-duanya ada kekuatan untuk menang atau kencundang....macam mana YB tanya dia lagi. Saya secara spontan memberi pandangan peribadi. Kekuatan Najib dan teamnya dia ada media perdana dan kekuatan DS anwar dia ada rakyat marhain dan pelbagai lapisan lain yang sudah buat kesimpulan itu semua adalah fitnah belaka.

Dalam sebuah perlawanan pasti ada kalah dan akan ada yang menang, dalam soal ini siapa yang kalah dan siapa pula yang akan menang, Najib atau Anwar. Mustahil dua-dua akan menang.

Pilihanraya Umum ke 11 menyaksikan Calon PAS Cikgu Zakaria di DUN Banggol Judah di Parlimen Machang Kelantan menang hanya dengan 2 undi. Menang juga dengan hanya 2 undi tersebut.

Kita tunggu dan lihat siapa akan tersungkur jatuh rebah tertiarap, seperti kata MB Kedah misai bukan saja mencecah bumi tapi akan masuk ke bumi.

Bersabar hadapi dugaan fitnah - Muslimat PAS

KUALA LUMPUR, (Hrkh) - Dewan Muslimat PAS Pusat menasihati Presiden Parti Keadilan Rakyat (KeADILan), Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail agar bersabar menghadapi ujian dan dugaan.

Ketuanya, Ustazah Nuridah Saleh berkata, sebagai isteri, Wan Azizah tentunya berasa terlalu berat menanggung aib apabila suaminya Dato' Seri Anwar Ibrahim sekali lagi dituduh terlibat dengan kes liwat.

Katanya, isu yang dihadapi Wan Azizah cukup besar kerana ia berkait dengan maruah keluarganya.

"Dalam hal ini, sebenarnya Islam berpendapat soal liwat dan zina, pendakwa mesti membawa bukti, dan tidak boleh menuduh tidak tentu pasal dan ini yang dipegang oleh orang Islam," katanya semasa dihubungi Harakahdaily, hari ini.

Sabtu lalu, seorang pembantu sukarela pejabat Anwar, Mohd Saiful Bukhari Azlan, 23, membuat laporan polis di Hospital Kuala Lumpur (HKL) mendakwa Anwar meliwatnya beberapa kali termasuk di sebuah kondominium di Damansara pada 26 Jun lalu.

Dalam pada itu, Nuridah berkata, sama ada seseorang itu berniat tidak baik atau sebaliknya mereka yang dikaitkan itu harus bersabar di atas dugaan yang menimpa.

Apatah lagi katanya jika Ahli Perlimen Permatang Pauh itu yakin suaminya tidak melakukan perkara tersebut.

"Beliau hendaklah terus bersabar serta banyak berdoa kepada Allah SWT; Insya-Allah setiap ujian itu ada kebaikannya sekaligus boleh menambahkan keimanan dan kebergantungan kepada Allah," katanya.

Dalam pada itu katanya, Muslimat PAS berpegang kepada prinsip perundangan Islam iaitu seseorang itu tidak bersalah sehingga dibuktikan bersalah.

Oleh kerana itu, katanya adalah lebih wajar kerajaan mengguna pakai perundangan Islam.

Menurutnya, jika undang-undang Islam tidak dilaksanakan terlalu banyak isu-isu yang menjatuhkan maruah seseorang tidak dapat dibela dengan sebaiknya.

"Mungkin sekarang ini berlaku kepada Anwar, dan perkara sama mungkin juga akan berlaku kepada orang lain termasuk orang-orang besar BN sendiri," katanya sambil meminta kerajaan dan cerdik pandai agama memikirkan kewajaran pelaksanaan perundangan Islam secara serius.

"Tok Guru pesan sabarlah dalam hadapi dugaan" - Anwar

KUALA LUMPUR, (Hrkh) - Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat telah mengunjungi Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (KeADILan), Dato' Seri Anwar Ibrahim di Pejabat Anwar di Petaling Jaya jam 4.00 petang tadi.

Dalam pertemuan dua mata itu antaranya Tuan Guru Nik Aziz melahirkan keprihatinan beliau terhadap apa yang berlaku (tuduhan liwat), kata Anwar ketika mengulas pertemuan tersebut.

Image











Ujar Anwar Tuan Guru yang juga Menteri Besar Kelantan turut melahirkan rasa kesalnya dengan taktik kotor dan berterusan yang dihadapi kini.

"Tuan Guru berkata kepada saya, supaya sabar dan katanya adatlah seumpama 'pohon tinggi maka gelobang laut atau angin yang datang ia akan terkena juga' sabarlah dalam hadapinya," katanya.

Anwar mengucapkan terima kasih kepada kesudian Tuan Guru Nik Aziz mengunjunginya tatkala Ketua Umum KeADILan itu berhadapan dengan dugaan tersebut.

Tuan Guru Nik Abdul Aziz bertemu kira-kira 45 minit dengan Anwar dan meninggalkan pejabat Anwar pada jam 4.50 petang.

Menteri Besar Kelantan itu yang datang dengan jubah putihnya ditemani dengan pemandu dan beberapa orang pegawainya, sementara Anwar turut ditemani Naib Presiden, Sivarasa Rasiah.

Pegawai agama perlu bebas daripada politik kepartian: Raja Dr Nazrin

IPOH, 2 July :- Raja Muda Perak Raja Dr Nazrin Shah mahu supaya pegawai agama bebas daripada politik kepartian atau pengaruh mana-mana pemimpin atau kumpulan politik dalam melaksanakan amanah dan tanggungjawab urusan agama Islam.

“Urusan agama Islam sama sekali tidak harus dibenar untuk dipolitikkan,” titah baginda pada majlis menghadap oleh Orang Besar Jajahan dan pegawai tadbir agama daerah negeri Perak di Kompleks Islam di sini hari ini. Raja Nazrin menjelaskan bahawa masjid dan surau tidak wajar dijadikan pentas untuk mengadakan kegiatan politik sebaliknya hendaklah menjadi instrumen untuk menyatupadukan ummah.

Baginda bertitah, Orang Besar Jajah adalah wakil Sultan Perak di daerah masing-masing dan mereka perlu menjadi mata dan telinga kepada Sultan mengawasi kegiatan agama Islam di daerah masing-masing.

Raja Nazrin juga bertitah baginda wajib memberikan peringatan bahawa Perlembagaan Persekutuan meletakkan kedudukan Sultan sebagai Ketua Agama Negeri. “Raja Pemerintah memiliki kuasa mutlak dalam urusan agama Islam. Raja Pemerintah berada di atas politik kepartian, bersikap bebas dan berkecuali dari sebarang pengaruh atau kepentingan politik kepartian,” titah baginda.

Baru-baru ini semasa merasmikan Sidang DUN Perak, D.Y.M.M. Sultan Perak bertitah sebagai dipetik "Masjid dan surau adalah rumah suci Allah dan hendaklah bebas dari pengaruh mana-mana fahaman politik kepartian . Demi menjamin perpaduan ummah , Beta sama sekali tidak membenarkan masjid dan surau dijadikan pentas untuk menjalankan kempen-kempen politik kepartian . "

Mesyuarat Majlis Raja-Raja bermula hari ini

KUALA LUMPUR, 2 July :- Mesyuarat Majlis Raja-Raja yang ke-214 bermula hari ini di Istana Negara. Mesyuarat dua hari itu dipengerusikan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah. Semua Sultan dan Yang Dipertua Negeri menghadiri mesyuarat itu kecuali Sultan Pahang, Sultan Johor dan Sultan Terengganu yang masing-masing menghantar wakil.

Sultan Pahang diwakili Pemangku Raja Pahang, Tengku Mahkota Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah, Sultan Johor diwakili Tunku Mahkota Johor Tunku Ibrahim Ismail Sultan Iskandar dan Sultan Terengganu diwakili oleh Yang Di-Pertua Majlis Penasihat Pemangku Raja, Tengku Sri Panglima Raja Tengku Baderulzaman Sultan Mahmud.

Turut hadir menteri besar dan ketua menteri. Yang di-Pertuan Agong Sultan Mizan Zainal Abidin dijadual menghadiri mesyuarat hari kedua di Istana Melawati, Putrajaya esok dengan diiringi Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.