22 May 2008

Kecurian kabel telekom membimbangkan banyak pihak

ADUN Titi Serong dan ADUN Kuala Kurau bersama tamu dari Telekom

PARIT BUNTAR, 21 Mei: Kejadian mencuri kabel telekom semakin menjadi-jadi di kawasan utara melibatkan negeri Kedah, Perak, Pulau Pinang dan Perlis. Kerugian kasar yang diandaikan untuk 3 bulan pertama tahun 2008 berjumlah 11 juta. Kerugian pada tahun 2007 ialah sebanyak 23 juta.

Demikian antara fakta yang diperolehi dalam pertemuan rasmi antara ADUN Titi Serong YB Drs. Khalil Idham Lim dan ADUN Kuala Kurau, YB Ab. Yunus Jamhari dengan pihakTelekom Malaysia Berhad(TM). TM diwakili oleh Pengurus Besar Wilayah Utara, Dr Mazlan Ismail, Penolong Pengurus Besar Negeri Kedah dan Perlis, Hjh Junaidah Hanum Abdul Wahab dan Pengurus Zon Parit Buntar, En. Nazri Abu Bakar.

Pertemuan selama sejam itu melahirkan beberapa cadangan untuk mengatasi masalah tersebut. Antaranya meningkatkan program kerohanian dan kesedaran islam seperti sembahyang hajat dan baca yassin.

Selain itu, pihak TM berharap ADUN Titi Serong dapat menyelitkan secara berhikmah dalam setiap khutbah jumaat.

Perbincangan juga melibatkan peranan Ketua Kampung dan JKKK dalam mengatasi masalah tersebut.

Mokhzani keluar daripada Umno

Bekas Penolong Bendahari Pergerakan Pemuda Umno, Datuk Mokhzani Mahathir pagi ini mengumumkan keluar daripada Umno mengikuti jejak bapanya, Tun Dr Mahathir Mohamad yang mengumumkan hasrat serupa dua hari lalu.

Datuk Mokhzani Mahathir mengesahkan bahawa beliau sudah menghantar surat keluar daripada Umno ke pejabat Umno Bahagian Merbok menerusi faks, semalam.

"Saya membuat keputusan untuk keluar Umno kerana bersetuju dengan pendapat ayah saya bahawa Umno yang ada sekarang bukan lagi Umno sebenar," katanya.

Mokhzani, 47, bekas Ketua Pemuda Bahagian Merbok, kini lebih aktif dalam sektor korporat.

Semalam adik beliau, Datuk Mukhriz yang juga Ahli Parlimen Jerlun, membuat keputusan untuk terus berada dalam Umno sungguhpun beliau bersependapat dengan bapanya mendesak Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi untuk meletak jawatan dengan segera "bagi menyelamatkan Umno".

Dua hari lalu, Dr Mahathir mengumumkan beliau keluar Umno kerana hilang keyakinan terhadap kepimpinan Abdullah, dan menyatakan akan kembali menyertai Umno selepas Abdulllah meletak jawatan atau tidak lagi menjadi pemimpin negara.

Di SUNGAI PETANI, Timbalan Ketua Umno Bahagian Merbok Datuk Tajul Urus Md Zain melahirkan rasa kecewa dengan tindakan Mokhzani itu tetapi menjelaskan bahawa ia tidak memberi sebarang kesan terhadap kepemimpinan Umno bahagian itu kerana beliau hanyalah seorang anggota biasa dari Umno Cawangan Sungai Layar Hujung.