03 May 2008

Apa kata hati ?

Mintalah pertimbangan hatimu. Kebaikan adalah apa yang dirasakan jiwa dan hatimu tenang kerananya (HR Imam Ahmad dan Ad Darimi).

Kadangkala kita dihantui keraguan, antara berdosa dan tidak melakukan sesuatu. Dalam keadaan tersebut, Rasulullah SAW menganjurkan kita untuk meminta pendapat hati. Sebab, menurut Rasulullah, pasti ada perbezaan antara kebaikan dengan kebatilan. Bila itu suatu kebaikan, pasti hati dan jiwa kita akan tenang. Sedangkan perbuatan batil atau berdosa,tentunya jiwa kita akan terganggu dan ragu-ragu, walaupun kadangkala dikatakan betul oleh orang lain.

Demikian jawaban Rasulullah SAW ketika ditanyakan oleh Wabishah bin Ma´bad radhiallhu´anha tentang kebaikan. Jawaban tersebut menggambarkan peranan hati nurani terhadap kelakuan kita. Oleh karena perlu menjaga kesucian hati agar selalu tepat dan benar dalam memberi pertimbangan. Bagi yang berhati bersih, seperti seorang Muslim yang taat, ia akan selalu merasa tenteram dengan melakukan perbuatan-perbuatan yang baik. Sebaliknya, ia merasa susah, malu, kalau hendak melakukan perbuatan-perbuatan buruk.

Melihat saja suatu perbuatan maksiat, hatinya akan memberontak untuk mencegah sesuai dengan kemampuannya, dengan tangan atau lisan atau dengan hati sesuai dengan sabda Nabi. Jauh sekali untuk ikut sama melakukannya. Orang seperti ini akan merasa tidak selesa sebelum ia melakukan suatu suruhan Allah, dan merasa suatu kelegaan ketika sudah menyempurnakannya. Hatinya sentiasa ingat dan bergantung kepada Allah SWT.

Kenyataan rasmi Istana Perak berhubung pertukaran Pengarah JAIP

Berikut ialah kenyataan akhbar yang dikeluarkan atas titah Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Perak Darul Ridzuan berhubung arahan pertukaran serta-merta Pengarah Jabatan Agama Islam Negeri Perak Darul Ridzuan:

Menjunjung titah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan, Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Perak Darul Ridzuan, Raja Nazrin Shah, atas nama Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIAMP), telah menitahkan Yang Amat Berhormat Menteri Besar Perak Darul Ridzuan, Dato’ Seri Ir. Mohammad Nizar bin Jamaluddin untuk menghadap Baginda pada jam 11.00 pagi ini, di Istana Raja Muda Perak Darul Ridzuan untuk menyembah maklumkan kepada Baginda berhubung arahan Menteri Besar Perak supaya Yang Berbahagia Dato’ Haji Jamry Sury ditukarkan serta-merta daripada jawatan Pengarah Jabatan Agama Islam Perak.

2. Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Ir. Mohammad Nizar telah dimaklumkan bahawa Yang Berbahagia Dato’ Haji Jamry Sury selaku Pengarah Jabatan Agama Islam adalah juga berperanan sebagai Setiausaha kepada Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIAMP).
Bahawa lantikan Yang Berbahagia Dato’ Haji Jamry Sury dilakukan hanya selepas mendapat perkenan daripada Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzwan.

Bahawa urusan Agama Islam serta badan dan agensi yang bertanggung jawab dengan agama Islam adalah di bawah kuasa langsung Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak. Oleh itu pada tafsiran Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak, Yang Amat Berhormat Menteri Besar mempunyai tanggungjawab untuk menghadap dan berdatang sembah, memaklumkan kepada Baginda Sultan dan juga kepada Baginda Raja Muda, memohon mendapat perkenan sebelum mengambil sebarang tindakan berkaitan hal ehwal agama Islam, badan dan agensi yang bertanggung jawab dengan agama Islam, merangkumi urusan lantikan, penempatan dan pemindahan pegawai dan kakitangan yang menguruskan hal ehwal agama Islam, apatah lagi bagi penjawat jawatan penting dan jawatan utama.

3. Hubungan kerja yang menghormati Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan merupakan satu konvensyen dan budaya kerja yang senantiasa diamalkan dan dihormati oleh setiap Mamanda Menteri Besar dengan pihak istana selama hari ini. Baginda Raja Muda memperingatkan bahawa hubungan yang dapat menjalinkan persefahaman ini wajiblah dihormati pada setiap masa. Sebarang perbuatan dan tindakan yang dilakukan tanpa terlebih dahulu mendapat perkenan Baginda Sultan dan Baginda Raja Muda adalah dianggap telah membelakangkan kedudukan Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan sebagai Ketua Agama Islam dan Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Perak selaku Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak.

4. Pada masa yang sama Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Perak telah menyampaikan nasihat dan pandangan Paduka Seri Sultan Perak bahawa seseorang Ketua Kerajaan dalam melaksanakan sesuatu tindakan hendaklah memperlihatkan berlakunya keadilan dengan mematuhi prosedur dan tata cara pentadbiran berlandaskan peraturan dan undang-undang yang ada. Baginda berpendirian bahawa kestabilan sesuatu pentadbiran dan kerajaan adalah berlandaskan kepada prinsip yang berpegang kepada peraturan dan prosedur yang telah ditetapkan. Baginda Sultan amat mementingkan hubungan kerja harmoni dan baik berlaku di kalangan para pentadbir dengan pemimpin politik di negeri Perak demi kepentingan dan kesejahteraan rakyat.

5. Adalah menjadi pegangan Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak supaya Kerajaan Baginda mengamalkan dan memperlihatkan amalan yang adil dan proses keadilan itu hendaklah dipatuhi, supaya tidak ada di kalangan rakyat Baginda yang merasakan diri mereka menjadi mangsa kepada mana-mana perbuatan fitnah atau penindasan daripada mana-mana pihak yang lebih berkuasa. Sebelum sesuatu keputusan atau hukuman dijatuhkan, proses dan prosedur yang memperlihatkan berlakunya keadilan hendaklah dipatuhi sepenuhnya terlebih dahulu. Prinsip keadilan sejagat (natural justice) perlu dihormati, oleh itu mana-mana pihak yang dikenakan sebarang tuduhan hendaklah diberikan hak untuk membela diri dan memberikan penerangan, supaya satu pertimbangan yang saksama lagi adil dapat dilakukan.

6. Dalam semangat yang demikian, Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Perak telah menyampaikan pandangan dan pendirian Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak supaya arahan pertukaran serta-merta yang dikenakan kepada Yang Berbahagia Dato’ Jamry Sury ditarik balik. Sekiranya terdapat sebarang perlanggaran peraturan dan kesalahan terhadap pentadbiran Kerajaan Negeri yang ada dilakukan oleh Yang Berbahagia Dato’ Jamry Sury, maka Kerajaan diminta mempersembahkan perkara tersebut secara rasmi kepada Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan untuk Baginda menitahkan proses undang-undang selanjutnya disusuli sebelum dijatuhkan apa-apa keputusan secara muktamad.

Y.D.H. Toh Raja DirajaKol. Dato’ Abd. Rahim Mohamad Nor

Setiausaha Sulit kepada
Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan.
Pejabat Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak
2 Mei 2008

Siapa yang buat kecoh, rakyat sendiri akan menilai !


Menteri Penerangan, Ahmad Shabery Cheek berkata bahawa slot siaran langsung sidang Dewan Rakyat selama setengah jam akan dikaji semula berikutan kekecohan yang berlaku pada hari pertama sidang semalam. Beliau telah memohon maaf kepada seluruh rakyat Malaysia kerana bertindak membenarkan siaran langsung sidang Dewan Rakyat selama setengah jam semalam.

Menurut beliau, rakyat benar-benar tertipu dengan tingkah laku wakil pembangkang yang membuat kecoh di Dewan yang mulia itu hingga mengubah persepsi rakyat terhadap Parlimen. Sementara itu Menteri Besar Kelantan, Nik Abdul Aziz Nik Mat mahu Kementerian Penerangan meneruskan siaran langsung sidang Dewan Rakyat walaupun ia hanya memaparkan lebih banyak kekecohan. Beliau yang juga Mursyidul Am Pas berkata, siaran langsung itu ada kebaikannya kerana melaluinya rakyat dapat menilai baik buruk tindakan dan peri laku wakil-wakil yang mereka pilih dan berikan kepercayaan.

‘‘Siaran langsung sidang patut diteruskan. Walaupun gelagat wakil rakyat teruk sangat, pada hari permulaan, itu mereka punya pasal.

‘‘Rakyat boleh menilai, bahawa inilah orang yang aku undi. Kalau mereka tidak berpuas hati dengan perangai mereka, undi orang lain pula,” katanya. Selain itu beberapa pemimpin Barisan Nasional (BN) dan pembangkang menggesa Kementerian Penerangan meneruskan slot siaran langsung sidang Dewan Rakyat selama setengah jam untuk memberi ruang kepada wakil rakyat menjalankan tanggungjawab masing-masing.

Antaranya Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO, Datuk Shahrir Abdul Samad berkata, slot siaran langsung itu patut diteruskan kerana rakyat boleh melihat dan menilai kebolehan setiap wakil rakyat termasuk pihak pembangkang.Saya berpandangan biarlah rakyat sendiri yang menilai pihak mana yang salah dan siapa pula yang salahdan semgaja buat kecoph di Parlimen. Sepatutnya Kementerian Penerangan memikirkan lebih masa lagi diperuntukkan untuk siaran langsung itu. Waktu sejam sememangnya tidak memadai.

Yang dibimbangi ialah isu ini sengaja diperbesarkan sebagai "baling batu sembunyi tangan" bagi mencari alasan bagaimana sisran tersebut di hentikan.

Jika bayar sewa umno pun boleh guna – ADUN Titi Serong

PARIT BUNTAR, 30 April :- PAS tidak akan menghalang sesiapa sahaja yang ingin menggunakan dewan di bawah Majlis Daerah Kerian asalkan membayar sewa. PAS tidak akan mencontohi sikap umno semasa memerintah yang menghalang PAS dari menggunakan kemudahan di bawah Majlis Daerah Kerian dan kerajaan negeri. Demikian antara ucapan YB Drs Khalil Idham semasa menyampaikan ucapan aluan di Mesyuarat Agung Dewan Pemuda PAS Parit Buntar di sini.

“ Kita guna dewan hari ini pun bukan percuma, kita bayar sewa. Dulu kita nak bayar sewa pun tidak dibenarkan. Sekarang kalau umno nak guna, gunalah tetapi sewa kena bayar sama macam PAS “ Jelas ADUN Titi Serong itu.

Drs. Khalil juga mengambil kesempatan dalam ucapannya mengucapkan terima kasih kepada pemuda Kawasan, UPU dan Cawangan yang berkerja keras dalam pilihanraya yang lalu sehingga PAS berjaya memenangi kerusi Parlimen Parit Buntar dan DUN Titi Serong.

Sementara itu, Ketua Pemuda PAS Kawasan Sdr. Khairulzami Muhammad yang ditemui memberitahu semasa BN memerintah, Majlis Daerah Kerian diarahkan oleh umno untuk tidak membenarkan aktiviti PAS di premis di bawah Majlis Daerah Kerian.

“ Macam-macam alasan diberi selalunya diberitahu sudah ada orang tempah tetapi pada masa program tiada sesiapa guna pun. Sebenarnya umno yang halang “ Jelas beliau.

sumber : http://paritbuntar.pas.org.my/