22 March 2008

Siapa Dia Exco Agama Perak ?

Setakat ini belum ada pengumuman siapakah dia Exco yang akan memenuhi cuma satu quata Exco yang diperuntukan untuk PAS dalam barisan 10 Exco yang akan terlantik. Saya telah banyak dihubungi oleh ramai rakan taulan dari dalam dan luar negeri mengenai siapakah yang telah dipilih untuk menduduki kerusi tunggal tersebut.
Namun apa yang perlu saya berikan jawapan tidak lain dari...Allahuaklam, kerana saya setakat ini tidakpun dipanggil dan dimaklumkan secara resmi siapakah yang telah terpilih.

Sayapun sendiri tertanya-tanya siapakah yang sebenarmya akan dipilih menduduki tempat tersebut.
Tulisan ringkas ini juga bagi menjawab beberapa komentar dari blog Cina Islam ini tentang siapakah yang akan dipilih.

Anggapan kuat saya dalam soal ini adalah kami ADUN-ADUN yang dipilih di Perak iaitu Pasir Panjang, Gunung Semanggol, Changkat Jong, Lubok Merbau, Selingsing dan Titi Serong akan dipanggil berbincang untuk menentukan siapakah yang akan kami persetujui bersama bagi mewakili kami . Sebagaimana kami persetujui Ir Mohammad Nizar Jamaluddin sebagai MB.

InsyaAllah kamilah yang akan mempertahankan apa saja persoalan sikap, dasar dan tindakan selama kerjaaan ini berjalan , terutamanya dalam sidang DUN Negeri Perak selama tempoh tersebut.

Siapa Dia Sepuluh EXCO Negeri Perak ?

IPOH 20 Mac – Tanda tanya siapakah yang akan dilantik sebagai Exco Kerajaan negeri campuran di Perak dijanka akan diumumkan oleh pakatan Barisan Rakyat(BR)pada hari ini.Kemungkinan besar gabungan tersebut tetap mengemukakan cadangan pelantikan dua Timbalan Menteri Besar walaupun perkara itu tidak termaktub dalam Undang-Undang Tubuh Negeri Perak.

Dalam satu kenyataan kelmarin,Pengerusi DAP Perak, Ngeh Koo Ham berkata, calon bagi jawatan itu akan dipilih dari kalangan 10 anggota Exco yang bakal dilantik dalam tempoh terdekat.

‘‘DAP, PKR dan Pas hampir memuktamadkan senarai berkenaan dan kemungkinan akan diumumkan esok dengan majlis angkat sumpah jawatan diadakan Isnin ini,’’ katanya kepada para pemberita selepas menemui para penyokongnya di Air Tawar di sini hari ini.

Koo Ham yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sitiawan berkata, mesyuarat antara ketiga-tiga parti berkenaan sebelum ini memutuskan DAP diberikan enam jawatan Exco, PKR diperuntukkan tiga manakala dua lagi untuk Pas termasuk jawatan Menteri Besar yang telah diisi oleh Mohammad Nizar Jamaluddin.

Beliau yang turut memenangi kerusi Parlimen Beruas pada pilihan raya umum lalu, sebelum ini mengumumkan akan mengisi jawatan Timbalan Menteri Besar 1 manakala Timbalan Menteri Besar 2 akan dipegang wakil PKR dari kalangan kaum India.

Kerajaan campuran perlu yakinkan rakyat

IPOH, 19 Mac (Hrkh) - "Seluruh rakyat Perak sedang memerhatikan gaya dan cara kerajaan campuran yang diterajui DAP, PKR dan PAS sejauh mana ketiga-tiga parti mampu membentuk sebuah kerajaan berjiwa rakyat".

Demikian ditegaskan Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat, Salahuddin Ayob, dalam satu pertemuan dengan wartawan Harakah sejurus mengadakan kunjungan hormat terhadap Menteri Besar Perak yang baru, Ir Mohammad Nizar Jamaluddin.

Kerajaan Campuran Negeri Perak akan menjadi model kepada negeri-negeri lain khususnya yang ditadbir oleh BA dan DAP, kerana itu kepimpinan Menteri Besar, Ir Mohammad Nizar bersama barisan Exconya perlu menunjukkan contoh terbaik dan memimpin negeri berlandaskan cita-cita dan hasrat kerajaan rakyat.

"Rakyat umumnya sedang menantikan sebuah kerajaan yang adil, mesra rakyat, menentang penyelewengan dan rasuah serta mengutamakan kepentingan rakyat terutama mereka yang kurang berkemampuan.

"Sekiranya ini dapat dilakukan oleh barisan kepimpianan kerajaan campuran di negeri ini, rakyat pastinya merasa gembira dan akan memberikan sokongan sekali lagi pada pilihan raya umum akan datang," jelasnya

Menurutnya, kejayaan kerajaan campuran mentadbir negeri yang cekap dan baik adalah aset utama yang boleh dijadikan contoh kepada negeri-negeri lain di kawasan Pantai Barat Sememenanjung Malaysia khususnya yang ditadbir oleh BA dan DAP.

Dewan Pemuda PAS Pusat katanya, menyokong penuh kepimpinan Haji Mohammad Nizar sebagai Menteri Besar Perak dan berharap kerajaan campuran yang mentadbir negeri ini benar-benar melaksanakan pemerintahan yang adil, tidak mengamalkan diskriminasi, memerangi rasuah serta mesra rakyat.

"Saya percaya Ir Haji Mohammad Nizar mempunyai kebolehan untuk memimpin negeri ini kerana beliau mempunyai pengalaman yang luas sewaktu berkhidmat dengan kerajaan dan juga swasta, di samping itu beliau mempunyai kebolehan menguasai bahasa Cina serta mampu pula memberi tazkirah, boleh menjadi imam dan mengajar agama, inilah Menteri Besar yang dikehendaki oleh rakyat," katanya.

Beliau amat percaya jika kerajaan campuran di negeri Perak ini mampu bertahan lama dengan persefahaman serta kerjasama yang utuh dari ketiga-tiga oparti, Kerajaan Campuran Negeri Perak akan menjadi model kepada Kerajaan Negeri yang lain.