19 January 2008

Menghormati Jenazah

Hadits Amir bin Rabi'ah r.a katanya: Rasulullah s.a.w telah bersabda: Apabila kamu melihat jenazah diusung, maka berdirilah kerananya sehinggalah jenazah tersebut diusung jauh dari kamu atau sehingga jenazah tersebut diletakkan di dalam kubur.

Kelaziman yang berlaku adalah disebaliknya dalam masyarakat kita pada hari ini. Bila jenazah diusung masuk kedalam mesjid ramai dikalangan hadirin yang berat untuk berdiri. Sedangkan pada suatu masa Rasulullah sedang duduk bersama sahabat yang lain menghormati jasad seorang Yahudi dengan berdiri.Apabila ditanya oleh sahabat beliau menjawab penghormatan tersebut atas dasar dia juga adalah keturunan Adam.



Persiapan Menempuh Kematian

Kematian adalah kesudahan kepada suatu kehidupan di dunia yang tidak dapat kita lari darinya. Sesudah itu roh dan jasad akan berpisah, jasad akan disemadikan menjadi makanan ulat dan cacing dan roh kita akan terus hidup untuk bertanggungjawap kepada segala amalan didunia.


أَيْنَمَا تَكُونُواْ يُدْرِككُّمُ الْمَوْتُ وَلَوْ كُنتُمْ فِي بُرُوجٍ مُّشَيَّدَةٍ وَإِن تُصِبْهُمْ حَسَنَةٌ يَقُولُواْ هَـذِهِ مِنْ عِندِ اللّهِ وَإِن تُصِبْهُمْ سَيِّئَةٌ يَقُولُواْ هَـذِهِ مِنْ عِندِكَ قُلْ كُلًّ مِّنْ عِندِ اللّهِ فَمَا لِهَـؤُلاء الْقَوْمِ لاَ يَكَادُونَ يَفْقَهُونَ حَدِيثاً

Di mana saja kamu berada, kematian akan mendapatkan kamu, kendatipun kamu di dalam benteng yang tinggi lagi kokoh, dan jika mereka memperoleh kebaikan , mereka mengatakan : "Ini adalah dari sisi Allah", dan kalau mereka ditimpa sesuatu bencana mereka mengatakan : "Ini (datangnya) dari sisi kamu (Muhammad)". Katakanlah : "Semuanya (datang) dari sisi Allah". Maka mengapa orang-orang itu (orang munafik) hampir-hampir tidak memahami pembicaraan sedikitpun ?(An-Nisaa`:100 )

Oleh itu terdapat beberapa langkah untuk kita sentiasa ingatkan kematian dan bersiap sedia untuk menempuhnya. Pertamanya , lazimkan diri anda menziarahi kubur. Adakah kubur orang yang terdekat atau siapa sahaja. Berhadap kepada kuburan dan ucapkan salam . Semuga dengan itu kita dapat bayangkan suatu masa kita adalah antara penghuninya.

Keduanya, banyakkan membaca Al Quran, tadabbur akan isinya kerana Al Quran bukan untuk hiasan atau digantung melainkan dibaca dan diambil pengajaran darinya. Semuga dengan bacaan tersebut menginsafkan diri sendiri. Siapa kita, kenapa kita dilahirkan, kemana arah tujuan kita dan apa kesudahan hidup kita.

Ketiga, banyakkan waktu duduk bersama orang yang berilmu. Nescaya anda mendapat nasihat dan petunjuk yang berguna. Mustahil orang alim akan menyeret anda ke neraka. Yang pasti kita akan dituntunnya ke syurga walaupun dalam keadaan merangkak sekalipun. Jauhkan diri dari duduk bersama orang jahil dan zalim kecuali untuk berdakwah kepadanya.

Lakukanlah untuk bersiap menghadapi mati.........

Najib : BN Tidak Penipu

Penipu biasanya tidak pernah mengaku dia menipu. Dan untuk mengelakkan dari dikatakan dia penipu seseorang itu akan sentiasa mempertahankan diri dengan berbagai alasan. Hari ini TPM tidak semena-mena mengatakan BN tidak penipu.


Kata Najib di Johor Bahru Kerajaan BN tidak rela menang pilihan raya dengan menipu rakyat, tegasnya jika benar BN menipu dalam pilihan raya seperti dakwaan segelintir pihak, tidak mungkin parti pemerintah kalah di Kelantan. Ujar beliau, keputusan yang tidak memihak kepada BN seperti di peringkat negeri di Kelantan, membuktikan pilihan raya yang diadakan sebanyak 11 kali di negara ini berlangsung secara bebas.``Kalau BN boleh memutarbelitkan keputusan, sudah tentu parti itu boleh menang di semua tempat.``Kita mahu menang dalam pilihan raya kerana dipilih oleh rakyat, bukan menipu rakyat,’’ katanya ketika berucap pada majlis perasmian projek rumah rakyat di PPR Desa Mutiara, Tebrau .

Kenyataan Najib di atas adalah membuktikan beliau dan kawan-kawannya dalam BN sudah sedar bahawa rakyat sudah menyedari bahawa BN selama ini menipu. Rakyat tidak sabar lagi untuk menukar kerajaan yang penipu kepada kerajaan yang tidak penipu.

Menipu tidak semestinya semuanya menjadi. Sebagaimana orang yang menipu dengan skim cepat kaya, ada yang berhasil ada yang tidak menjadi. Demikianlah penipuan BN dalam PR Umum yang lepas, yang tidak menjadi adalah di Kelantan. Mungkin faktor doa dan amalan orang Kelantan sehingga Allah memenangkan Tok Guru untuk memerintah Kelantan. Jadi alasan Najib BN tidak menipu sebab Kelantan pun PAS menang adalah hujah rapuh yang hanya boleh diterima oleh orang tidak cerdik.

Begitu juga dalam soal kelicikan penipu, lambat laun orang tahu juga. Begitulah kelicikan BN dalam menipu selama PR Umum yang lalu telah dicium baunya oleh rakyat. Sebab itulah penipu biasanya sering memikirkan cara baru untuk menipu. Itulah yang mereka fikirkan hingga tidak tidur malam.

BN menipu rakyat dalam setiap kali PR dengan gula-gula projek dan sebagainya, realitinya sesudah mereka menang mereka tinggalkan rakyat dan asyik memikirkan untuk menimbun harta. Rakyat dibiarkan susah selama 5 tahun, sesudah itu tipu lagi. Maka berulang kali rakyat telah tertipu.

Penipu juga akan selalu menggunakan pembantu atau ramai kawan untuk menipu. Nampaknya seluruh jentera kerajaan digunakan sepenuhnya semasa PR untuk membantu calon-calon BN. Pembangkang terpaksa berdepan dengan ratusan pemain dalam satu padang. Apalagi padangnya adalah tidak rata. Yang paling bahaya pengadil sentiasa menyebelahi BN. Adakah ini bukan penipuan?

Apa Sudah Jadi : Formula Satu (F 1) Di Waktu Malam

Mengulas mengenai F 1 bukan bermaksud saya meminatinya. Bila terbaca laporan akhbar bahawa ianya akan dilakukan pada malam hari saya terpanggil dan rasa bertanggung jawab untuk membuat sedikit ulasan segera.


Dilaporkan Malaysia ‘dipaksa’ Persekutuan Automobil Antarabangsa (FIA) menganjurkan perlumbaan kereta Formula Satu (F1) pada waktu malam mulai tahun 2011 sebagai salah satu syarat untuk terus menjadi tuan rumah.

Berikutan arahan FIA itu, Litar Antarabangsa Sepang (SIC) bercadang untuk mencuba melangsungkan perlumbaan di waktu malam mulai tahun depan.Pengerusi SIC, Datuk Mokhzani Mahathir berkata, pihaknya akan mengadakan perbincangan dengan sebuah konsultan minggu depan bagi merealisasikan hasrat itu secepat yang mungkin.“Ia adalah konsultan sama yang membantu Singapura melangsungkan perlumbaan malam pada September ini.“Kita juga akan mengkaji buruk baik menganjurkan perlumbaan di waktu malam termasuk dalam soal komersial, pemasangan lampu dan sebagainya,” katanya kepada pemberita selepas majlis pelancaran F1 Petronas GP Malaysia 2008 yang disempurnakan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi di Esplande KLCC di sini, malam tadi.

Mahu atau tidak F 1 sudah bertapak di negara kita sekian lama. Jika Kerajaan BA menang dalam PR akan datang kita berjanji kepada peminat F 1 untuk meneruskannya tetapi dalam bentuk baru yang lebih baik dan tidak bercanggah dengan peraturan Islam dan FIA.

Kita berharap suatu kajian langkah yang munasabah dilakukan untuk mengelakkan maksiat bertambah selama acara itu berlangsung diwaktu malam. Jika acara ini yang telah dilakukan diwaktu siang melibatkan percampuran muda muda tanpa batas, amat dibimbangi sesuatu yang lebih teruk berlaku bila acara diadakan pada waktu malam.

Kita setuju cadangan Mokhzani dalam hal menambah lampu, tetapi jangan lupa pencegah maksiat di negeri Selangor juga perlu difikirkan untuk ditambah. Kalau tidak kita takut semasa ada perlumbaan di litar, ada perlumbaan lain didalam gelap. Usaha pencegahan maksiat di Selangor nampaknya bertambah rumit dan pelbagai.

Akhlak Pendakwah

Berdakwah dijalan Allah memerlukan kesabaran dan kesungguhan. Betapa banyak kisah dan teladan yang telah ditunjukkan oleh Baginda Rasulullah s.a.w. Demikian juga Al Quran memaparkan kepada kisah-kisah yang pastinya menjadi teladan kepada pendakwah pada sepanjang zaman.


Dakwah bukannya boleh dijual beli, tidak ada harga yang boleh dinilai melainkan keikhlasan yang akan dinilai oleh Allah SWT. Sebab itulah pendakwah sejati akan sering berjalan atas dasar menegur orang lain dan sanggup menegur. Bukan hanya menghukum orang lain tetapi sedia menerima hukuman.

Penyampaian dakwah hendaklah secara berhikmah. Seorang pendakwah hendaklah menaburkan bunga-bungaan dan wangian untuk semua manusia tidak mengira siapapun, walaupun jasadnya dilemparkan dengan najis dan kotoran, dicerca dan dimaki hamun namun kesabaran menjadi bekal utama. Sebab itulah Allah berfirman :

ادْعُ إِلِى سَبِيلِ رَبِّكَ بِالْحِكْمَةِ وَالْمَوْعِظَةِ الْحَسَنَةِ وَجَادِلْهُم بِالَّتِي هِيَ أَحْسَنُ إِنَّ رَبَّكَ هُوَ أَعْلَمُ بِمَن ضَلَّ عَن سَبِيلِهِ وَهُوَ أَعْلَمُ بِالْمُهْتَدِينَ

Serulah (manusia) kepada jalan Tuhan-mu dengan hikmah dan pelajaran yang baik dan bantahlah mereka dengan cara yang baik. Sesungguhnya Tuhanmu Dialah yang lebih mengetahui tentang siapa yang tersesat dari jalan-Nya dan Dialah yang lebih mengetahui orang-orang yang mendapat petunjuk.
(Al-Israa`:039)

Pendakwah mestilah berwajah dengan akhlak Islam sebelum menyampaikan kepada orang lain. Sebagaimana yang ditanya kepada Isteri Baginda Rasulullah apakah akhlak baginda, iaitu "akhlak Al Quran". Mustahil dakwah kita berkesan dan diterima kalau pendakwah itu adalah seorang yang tidak boleh diteladani. Watak, wajah, pakaian, makan, minum dan sebagainya yang ada kepada pendakwah adalah "dakwah bil-hal" yang paling berkesan.

Tanggungjawab kita hanya diperintahkan untuk menyampaikan walaupun satu ayat yang kita fahami. Sesudah itu berserahlah kepada Allah untuk memberi hidayah dan petunjuk. Tidak ada sesiapapun yang mampu memberi hidayah melainkan Allahlah yang berkuasa kepada siapa ingin ditunjukiNya.








Tazkirah Jumaat : Ikhlas

Keikhlasan adalah sesuatu yang hanya terletak kepada penilaian dari Allah SWT semata-mata. Tidak ada hak dari sesiapapun dikalangan manusia untuk menentukannya. Ikhlas sangat berkait dengan hati, dan isi hati ini hanya Allah yang mengetahui.

قُلْ أَتُحَآجُّونَنَا فِي اللّهِ وَهُوَ رَبُّنَا وَرَبُّكُمْ وَلَنَا أَعْمَالُنَا وَلَكُمْ أَعْمَالُكُمْ وَنَحْنُ لَهُ مُخْلِصُونَ

Katakanlah: "Apakah kamu memperdebatkan dengan kami tentang Allah, padahal Dia adalah Tuhan kami dan Tuhan kamu; bagi kami amalan kami, dan bagi kamu amalan kamu dan hanya kepada-Nya kami mengikhlaskan hati. (An-Nisaa`:125)

Di dalam hati ini lah timbulnya niat sebenar dalam melakukan sesuatu. Setiap amalan pula adalah dinilai oleh Allah bergantung kepada keihlasan niat .

Hadis Sayidina Umar bin Al-Khattab r.a katanya: Rasulullah s.a.w bersabda: Sesungguhnya setiap amalan itu bergantung kepada niat. Sesungguhnya setiap orang itu akan mendapat sesuatu mengikut niatnya. Sesiapa yang berhijrah kerana Allah dan Rasul-Nya, maka Hijrahnya itu kerana Allah dan Rasul-Nya. Sesiapa yang berhijrah untuk mendapatkan dunia dia akan mendapatkannya atau kerana seorang perempuan yang ingin dikahwininya maka Hijrahnya itu mengikut apa yang diniatkannya.

Hadis Ibnu Abbas r.a: Diriwayatkan daripada Rasulullah s.a.w tentang hadis Qudsi yang baginda riwayat daripada Allah s.w.t di mana Allah telah berfirman: Sesungguhnya Allah mencatat kebaikan-kebaikan dan kejahatan-kejahatan. Kemudian baginda menerangkan hal itu: Sesiapa berniat ingin melakukan kebaikan, tetapi tidak lagi melakukannya, maka Allah mencatatkan niat itu sebagai kebaikan yang sempurna di sisi-Nya. Jika seseorang itu berniat ingin melakukan kebaikan lalu dia melakukannya, maka Allah mencatatkan di sisi-Nya sepuluh kebaikan hingga sampai tujuh ratus kali ganda seterusnya hingga kepada gandaan yang sebanyak-banyaknya. Jika seseorang berniat ingin melakukan kejahatan tetapi tidak melakukannya, maka Allah mencatatkannya sebagai satu kebaikan yang sempurna di sisi-Nya. Jika dia berniat untuk melakukan kejahatan lalu melakukannya maka Allah mencatatnya sebagai satu amalan kejahatan sahaja.

Oleh itu setiap amalan kita disamping tidak bercanggah dengan Islam hendaklah diiringkan dengan keihlasan supaya diterima oleh Allah SWT. Tidak ada gunanya sekiranya amalan yang bertimbun-timbun tanpa keiklasan kepada Allah SWT. Setiap amalan yang dilakukan bukannya mengharapkan balasan dari sesama manusia, jauh sekali untuk menunjuk-nunjuk dan mencari pujian. Apalagi pujian dan balasan manusia walaupun didapati ianya bersifat sementara dan terbatas sahaja. Sesungguhnya pembalasan dan pahala dari Allah adalah bersifat kekal abadi dan tidak ada tolak bandingnya, walaupun dinilai dengan dunia dan seisinya.