19 December 2007

Memori Pulang Beraya

Perjalanan pulang untuk berhari raya sekali ini nampaknya meninggalkan suatu sejarah dan kenangan tersendiri kepada penulis. Bermula dari seawal sesudah subuh sudah bergegas ke stesen bas untuk balik dari Tian Tai, Chai Zhou. Sudah empat hari ber kampung di suatu daerah yang agak terpencil namun Allahlah jua tempat kita berserah di mana kita berada.
Doa dipanjatkan setiap hari dan masa supaya dapat balik beraya di Malaysia, Alhamdulillah pucuk dicita ulam mendatang, seperti orang mengantuk disarung bantal. Urusan dapat diselesaikan pada malam tadi.

Sesampai di Yiwu saya menyelesaikan sedikit urusan di sana dan membeli tiket untuk balik. Distenasi Hangzhou ke Shenzhen. Waktu yang ada sangat meragukan takut-takut tidak sempat sampai ke Lapangan Terbang Hangzhou untuk penerbangan tiket jam 3.50 petang dengan China Shoutern Airline. Ini disebabkan bas yang saya naiki dari Yiwu ke Hangzhou lewat 15 minit.

Alhamdulillah dalam keadaan penuh debar, bas sampai di lapangan terbang tepat jam 2.50 petang, setengah jam lagi kaunter pendaftaran masuk hendak ditutup. Sekitar jam 3.10 saya telah selesai untuk daftar masuk setelah berada dalam barisan beberapa orang penumpang sahaja.

Sesudah masuk waktu digunakan untuk solat jamak takdim, selesai solat pengumuman kedengaran memanggil penumpang CZ 6329 untuk menaiki pesawat. Tidak ada yang lain yang diingat melainkan doa dan syukur kepada Allah SWT yang memberikan nikmat dan kesempurnaan dan perjalanan hari ini.

Nikmat naik kapal terbang hari ini lain dari biasa, pesawat Airbus 300 siri yang dinaiki adalah transit dari Lapangan Terbang Dalian yang letak tidak berapa jauh dari Beijing. Jarang saya naik kapalterbang domestik sebesar itu yang mempunyai laluan dua lorong itu. Cuaca dalam penerbangan sebagaimana biasa ada gegaran kalau dengan kapal terbang kecil. Tetapi pada hari ini seolah tiada gangguan cuaca dan gegaran. Tepat jam 5.50 kapal terbang selamat mendarat setelah melalui perjalan sekitar 2 jam. Jarak nya 1400 kilometer. Pramugari mengumumkan suhu di Shenzhen ialah 22 darjah. terasa juga suatu kejutan kerana cuaca di Hangzhou dan Yiwu pagi tadi ialah 12 darjah, pada waktu malam pula di bawah paras 10 darjah. kadang-kadang sampai mencecah 4 dan 5 darjah.

Alhamdulillah pada malam ini saya akan meneruskan penerbangan dengan pesawat Thai AirAsia ke Bangkok jam 11.25 dan akan sampai sekitar jam 1.30 waktu tempatan. Esok pagi jam 7.25 penerbangan dengan AirAsia ke Pulau Pinang melengkapkan perjalan yang jauh ini untuk kembali kepada jemaah dan keluarga tercinta.

Menunggu masa terluang terjumpa cyber cafe yang terletak dalam Lapangan Terbang BaoAn Shenzhen lalu penulis luangkan masa yang ada sekitar 5 jam dalam transit ini untuk membuka blog peribadi ini.Walaupun bayarannya RMB 20 untuk sejam namun berbaloi untuk menghilangkan kepenatan berkerja dan berjalan. Allahdulillah......