10 December 2007

Pameran Khat Oleh Abdullah Ma dari China.

Sembahyang di Mesjid Yiwu yang boleh memuatkan sekitar 5000 orang jemaah pada Maghrib hari ini tidak berakhir begitu sahaja. Imam Mohammed yang saya kenali sejak 6 bulan lalu mengajak saya ke pejabat mesjid untuk bertukar-tukar pengalaman sebelum masuknya waktu Isya.



Bersama kami ialah bapa saudaranya Abdullah Ma dari wilayah Gansu yang beberapa bulan lalu balik dari Malaysia kerana mengadakan pamiran kaligrafi arab dan cina selama sebulan dibeberapa tempat di Malaysia. Kata Abdullah Ma dia sempat ke Johor Bharu, Melaka dan Kuantan.


Sebetulnya saya telah lama berhajat untuk mengurus ahli kaligrafi dari China untuk ke Malaysia. Mungkin paling menarik ke negeri kelahiran sendiri iaitu Kelantan. Seperti orang mengantuk disurungkan bantal, pertemuan dengan Abdullah Ma sebentar tadi memberi arti yang besar untuk memenuhi hajat lama yang masih belum kesampaian.


Saya merencanakan pada awal tahun depan dapat membawa sekali lagi Abdullah Ma ke Malaysia.




Sahabat-Sahabat Seperjuangan Di Tangkap Polis.

Saya mengikuti perkembangan siri tangkapan Naib Presiden Pas, Tn, Hj. Mohammad Sabu dan siri tangkapan lain pada 9 Disember kelmarin dengan penuh debaran. Doa dipanjatkan dari China untuk sahabat-sahabat yang telah terlibat dengan tindakan ganas Polis UMNO.



Duduk jauh apakan daya, terbayang sayalah antara yang akan memberi sokongan moral kepada yang ditangkap sekiranya saya berada di Parit buntar malam tadi. Balai Polis Jawi tempat mereka ditahan beberapa kilometer dari Parit Buntar.

Semua yang ditangkap khususnya sahabat-sahabat seperjuangan dari mereka adalah rakan baik yang cukup dikenali dengan kegigihan kerja kerja dalam jemaah selama ini di negeri perak. Contohnya Hj Abdul Rahim Md Arif, dari seorang pegawai bank akhirnya terjun secara aktif dalam kancah politik . meniti satu tangga ke satu tangga sehingga di amanahkan sebagai Bendahari PAS Perak dan YDP Gopeng. Pengarah Unit Amal Perak Zamarul Aini sangat gigih dengan kerja amal bersama pemuda setahu saya sejak melebihi 10 tahun lalu. Kami pernah bersama sama dengan anggota amal lain ke Aceh menyampaikan bantuan Tsunami Aceh. Selain itu saudara Bunyamin aktivis Pemuda Bukit Gantang, banyak masanya di gunakan untuk bersama kepimpinan pemuda khususnya di Bukit Gantang.

Semoga mereka dan seluruh ahli keluarganya diberikan ketabahan oleh Allah Yang Maha Kuasa. Lebih "Berkuasa" dari kuasa yang Pak Lah ada. Firaun dan Namrud yang begitu sombong dengan dakwah yang disampaikan oleh Nabi Allah Musa dan Nabi Allah Ibrahim, jatuh tersungkur dengan hinanya. Firaun tenggelam di Lautan Merah dan Namrud mati hanya dek seekor nyamuk. Apakah ada jaminan kepada usia yang masih tersisa yang telah digunakan untuk menzalimi sesama manusia yang menuntut dan bersuara untuk keadilan. Melainkan azab dan seksa yang sedang menunggu anda sekalian . Ingatlah doa orang yang dizalimi tidak ada pendindingnya melainkan akan dikabulkan oelh Allah SWT.

Mereka yang ditahan, Bendahari PAS Perak, Haji Abdul Rahim Md. Arif; Pengarah Unit Amal Negeri Perak, Zamarul Aini Osman; Ketua Pemuda PAS Tambun, Zairul Azrun Zainal Abidin; Ahli Jawatankuasa Unit Amal Negeri, Bunyamin Yamin dan aktivis PAS kawasan Tambun, Mat Lazim Osman.

Saya mencadangkan Kepimpinan PAS Perak supaya satu solat hajat perdana diadakan di Markaz Tarbiyah Ayer Kuning Perak dengan segera atau selewatnya pada Malam Jumaat ini untuk untuk memohon keselamatan dari Allah SWT kepada semua pemimpin PAS yang ditangkap .


Hari Raya Aidil Adha pada 20 Disember

Hari Raya Aidiladha bagi seluruh Malaysia ditetapkan pada hari Khamis, 20 Disember ini.
Pengisytiharan oleh Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja Malaysia, Tan Sri Engku Ibrahim Engku Ngah mengenai ketetapan itu diumumkan malam tadi.

Berarti dalam tempuh dua hari umat Islam akan mengadakan himpunan akhbar di seluruh mesjid, surau seluruh negara. Sesudah Sembahyang Aidil Fitri pada hari Khamis, pada hari Jumaat umat Islam berkumpul kembali untuk menunaikan fardhu Jumaat.


Semuga para khatib yang bertugas dapat menyampaikan khutbah yang terbaik . Bukan hanya menjadi pak turut kepada teks khutbah yang dibekalkan sahaja.

Laporan Utusan Berat Sebelah.

Utusan Malaysia pada edisi hari ini ( 10 Disember 2007) dalam ruangan "Dalam Negeri" melaporkan bahawa Jabatan Kesihatan Kelantan mendapati masalah kesihatan mental di kalangan penduduk negeri ini semakin membimbangkan dan tidak boleh dipandang ringan. Pengarahnya, Dr. Mohd. Kamil Hassan berkata, pada tahun lepas sebanyak 11,828 pesakit mental mendapatkan rawatan di klinik-klinik kesihatan di negeri ini.

Persoalannya kenapa hanya Kelantan sahaja? Saya melihat inilah bukti yang pemberita Utusan Malaysia yang sebetulnya sakit mental dengan hanya melaporkan sesuatu yang berat sebelah. Tidak lain ini adalah usaha untuk memburukkan Kerajaan Kelantan yang satu-satunya di perintah oleh PAS dalam suasana Pilihanraya semakin dekat.

Merujuk kepada Laporan Utusan Malaysia pada 23 November yang lepas dilaporkan :"Sebanyak 16 peratus atau tiga juta daripada 26 juta penduduk di negara ini disahkan mengalami sakit mental dan jumlah ini adalah sesuatu yang membimbangkan, kata Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Chua Soi Lek. Katanya, penemuan data terbaru Kajian Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan bagi tahun 2006 mendapati kes gangguan mental di kalangan rakyat Malaysia meningkat sebanyak hampir 6 peratus berbanding kajian yang dijalankan 10 tahun lepas."

Fakta ini sangat mendukacitakan kan memandangkan ianya boleh dianggap sebagai suatu malapetaka kepada negara kita. Bayangkan 16 pratus atau 3 juta dari 26 juta rakyat yang berpenyakit mental. Apa sudah jadi?Berdasarkan kenyataan Menteri Kesihatan di atas berarti dari jumlah yang berpenyakit mental sebanyak 3 juta di bahagi dengan 14 negeri, puratanya sebanyak 214,285 orang bagi setiap negeri untuk tempoh 10 tahun. Berarti purata untuk setahun sebanyak 21,428 orang.

Ini membuktikan bahawa jumlah yang berpenyakit mental di Kelantan masih kecil dari purata sebenar iaitu cuma 11,828 orang sahaja. Sekali gus mengesahkan keadaan yang belaku di 13 negeri yang lain lebih membimbangkan dan memerlukan pendedahan segera. Pastinya negeri tersebut adalah dibawah pentadbiran kerajaan BN.

Inilah kesan yang sangat nyata dari kedegilan BN dan UMNO untuk menggunakan Islam sebagai dasar dan panduan dalam pemerintahan yang dijalankan sejak 50 tahun yang lepas. Mereka lebih mementingkan dunia semata-mata berbanding akhirat yang akan pasti kita tempuh.Sebagai seorang yang beriman kita hendaklah yakin bahawa dengan acuan agama Islam tentu akan melahirkan rakyat yang bersih jiwa dan mentalnya. Mustahil melahirkan rakyat yang mendapat gangguan mental. Sepatutnya Pengarah Jabatan Kesihatan Kelantan walaupun mungkin pahit mesti memuji kejayaan Kerajaan Kelantan yang dapat membendung rakyatnya berpenyakit mental dengan usaha yang dilakukan Kerajaan PAS selama ini.

Islam cuma menjadi momokan dan tempelan sahaja, apa lagi Islam hadhari yang ada had dan hari nya sahaja. Suatu masa mereka boleh melakukan masiat, satu masa boleh jadi imam sembahyang. Gelagat ini memualkan kita. Sesudah itu segalanya seolah nampak halal dalam negara kita, judi, arak, zina, skandal, rasuah dan macam-macam lagi. Membenarkan slogan MALAYSIA BOLEH.

Laporan tersebut menyebut sebanyak 20.3 pratus adalah remaja di bawah umur 16 tahun. Keadaan ini pada hemat saya disebabkan oleh tekanan kepada remaja dalam beberapa hal termasuk dalam mengejar kejayaan sijil semata-mata. Dalam banyak hal kesan dari pendidikan Islam yang diterapkan seolah syarat dibibir mulut sahaja.

Ditambah pula dalam 5 tahun terakhir, hampir semua yang terlibat dengan institusi pendidikan mengalami gangguan mental dengan satu program iaitu mengajar Matematik dan Sains dalam bahasa Inggeris. Semuanya nya dikursuskan terutamanya guru yang ditugaskan mengajar, sampai ada yang tak tidur malam.Sebaliknya yang sakit mental tiba-tiba tidak sakit mental lagi, siapakah mereka? mereka tidak lain adalah kroni-kroni yang dapat limpahan banjir projek untuk melaksana program ini, berbilion ringgit dibelanjakan wang rakyat. Dari LCD, skrin, Lektop dan lainnya semua kena beli baru.

Tiba-tiba seolah-olah ikan keli telah bersisik, mereka juga yang telah mencadangkan Bahasa Melayu digunakan kembali untuk mengajar dua matapelajaran tersebut dengan berbagai alasan. Demikianlah perangai pemimpin BN yang "bodoh tidak boleh diajar, cerdik tidak boleh diikut"

Hanya Jauhari yang mengenal maknikam. Sudah tiba masanya rakyat menghukum mereka secara total. Kelemahan mereka tidak boleh diperbaiki dengan mengubah pemimpim tetapi menolak semuanya. Seperti perbandingan sebuah kenderaan yang tidak berjalan betul tidak selesai dengan menukar pemandunya tetapi dengan menukar dengan kereta baru.

Kita mencabar Utusan Malaysia dan Kementerian Kesihatan juga menyiarkan fakta seluruh perincian melibatkan negeri lain sesuai dengan fakta yang dikeluarkan oleh Menteri Kesihatan.