02 December 2007

Indahnya Islam Tanpa "HADHARI"

Setiap ucapan kalimah Islam yang disampaikan oleh pemimpin BN dan UMNO akan di gandingkan dengan kalimah "Hadhari". Termasuklah ucapan yang telah disampaikan oleh PM Malaysia kelmarin sempena dengan peresmian Perkampungan Islam Hadhari Melaka di Pantai Tanjung Bidara, Mesjid Tanah Melaka. Alangkah Indahnya setiap kali kalimah Islam yang diucapkan oleh mereka tidak disebut lagi kalimah hadhari, seterusnya pengamalan mereka sesuai dengan ajaran sebenar Islam sehinggakan melahirkan satu masyarakat Islam Malaysia yang tidak bertopengkan kepada kalimah Islam. Persoalannya pengamalannya jauh sekali dengan ajaran Islam yang sebenar.Itulah yang menyebabkan lahirnya perjuangan Islam dengan wadah PAS yang kita dokong bersama bagi melahirkan masyarakat yang ditadbir berpandukan kepada Islam yang sebenar. Pemberhentian pengunaan kalimah "Islam Hadhari" yang penting dapat membendung dari lebih ramai orang Islam menjadi rosak aqidahnya. Sila baca berita petikan dari Utusan Malaysia hari ini, dengan edit dari penulis dengan membuang kalimah "Hadhari". Teks asal rujuk Utusan Malaysia hari ini.

Konsep Islam sesuai semua kaum
Oleh: NORIZAN ABDUL MUHID
ALOR GAJAH 1 Dis. – Konsep Islam yang dilaksanakan oleh kerajaan merupakan satu pendekatan baik yang memberi keuntungan kepada semua kaum, kata Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.
Sehubungan itu, Perdana Menteri mahukan masyarakat bukan Islam di negara ini tidak melihat pendekatan itu sebagai suatu yang menimbulkan keburukan kepada mereka.
“Ia bukan mazhab baru, bukan... bukan agama baru. Ia bukan sesuatu yang menentang agama kita, yang direka di luar Ahli Sunah tetapi ia diasaskan apakah yang terbaik untuk negara kita.
“Semua rakyat Malaysia inginkan pembangunan bersama melalui prinsip-prinsip yang diterima baik,” kata Perdana Menteri.
Abdullah berkata demikian ketika berucap pada majlis perasmian Perkampungan Islam Melaka, di pantai Tanjung Bidara, Masjid Tanah dekat sini hari ini.
Turut hadir, isteri beliau, Datin Seri Jeanne Abdullah; Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam dan isteri, Datin Seri Asmah Abdul Rahman dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Abdullah Mohd. Zain.
Perdana Menteri berkata, di bawah prinsip Islam , kerajaan amat menekankan keadilan dan saksama antara kaum di mana semua rakyat tanpa mengira bangsa mendapat tempat di dalam negara ini, termasuk kaum minoriti.
“Golongan minoriti di negara ini sama ada kaum India, Cina atau lain-lain tetap ada tempat dalam negara ini dan hak-hal dalam Perlembagaan dan mereka juga dapat perlindungan undang-undang.
“Pembangunan negara kita juga adalah untuk mereka dan mereka telah meningkat maju dari semasa ke semasa,” kata beliau.
Menurut Perdana Menteri, kerajaan Barisan Nasional yang memerintah negara ini adalah sebuah kerajaan yang mengamalkan prinsip berkongsi kuasa di mana semua kaum mempunyai wakil masing-masing.
“Kaum bukan Melayu dan Melayu sama-sama duduk semeja bermusyawarah. Tiada sesuatu tindakan dilakukan untuk menindas mana-mana kaum.
“Tiada dasar untuk menghina mana-mana kaum. Tiada tindakan untuk hapus mana-mana kaum... tidak sekali-kali,” tegas Abdullah.
Sebaliknya, jelas beliau, kerajaan mengamalkan prinsip keadilan dan kesaksamaan dan ini dibuktikan melalui kejayaan-kejayaan kaum lain seperti India yang telah dapat melanjutkan pelajaran sehingga ke universiti, mencapai kejayaan dalam hidup dan malah ada yang sudah kaya-raya.
“Tiada satu-satu usaha untuk ketepi kumpulan ini bahkan kita bantu mereka sepanjang masa. Kita perlu adil dan saksama. Inilah prinsip penting Islam ,” kata beliau.
Kira-kira 50,000 orang terdiri daripada pelbagai lapisan masyarakat memeriahkan sambutan pelancaran Perkampungan Islam yang berlangsung di dataran pantai perkelahan Tanjung Bidara itu.
Pada majlis itu, Perdana Menteri dan isteri meluangkan masa kira-kira 20 minit melawat gerai pameran berdasarkan prinsip Islam sebelum merasmikan Kompleks Falak Al-Khawarizmi yang terletak dalam kawasan tapak pelancaran Perkampungan Islam tersebut.

........kalau beginilah ucapan PM dan mereka beramal dengannya, dah berulang kali kitakan akan bubar parti PAS dan orang Islam akan bersatu dalam satu wadah perjuangan yang sama.